Penggunaan Kalimah “ALLAH"

>> Monday, November 23, 2009

Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka saya sukacita menjelaskan pendirian saya mengenai hal ini.

Saya berpendirian bahawa, keinginan rakyat bukan Islam menggunakan kalimah "Allah" sebagai Tuhan adalah suatu perkembangan yang sangat positif dan perlu diterima secara terbuka dan berlapang dada. Umat Islam di Malaysia tidak perlu menjadi gelisah dan "over react" dengan pelbagai andaian dan kemungkinan dengan fenomena yang dikata baharu ini. 

Sesungguhnya, saya melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud: 

"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." 
(Al Quran, Az-Zumar (39):38)

Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). 

Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. 

Gereja di Indonesia

Begitu juga bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak. Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. 

Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?

Malahan, perjuangan untuk menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah dan selesa sepertimana firman Allah:

"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan tidak mensyirikkan Allah dengan satu apapun serta janganlah ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah. Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" 
(Surah Ali `Imran(3):64)

1 comments:

Anonymous January 12, 2012 at 12:34 AM  

Shalom.

Pengunaan kalimat Allah oleh orang Kristian bukanlah merujuk kepada Allah yang disembah oleh orang Islam.

Kerana kalau ditinjau dari segi maksudnya Allah itu bermaksud al-lah, al - the, lah/ilah - god jadi allah bermaksud 'the god' tapi bukan Tuhan atau Allah cuma merujuk Dia sebagai Tuhan dan Allah.

Semasa penterjemahan Alkitab orang Kristian untuk orang Arab perkataan Allah diambil kerana is sesuai dengan budaya dan bahasa orang Arab yang menyebut ilah itu Allah.

Demikian juga halnya dengan penterjemahan dan pengunaan Allah oleh negara Indonesia dan Malaysia kerana disebabkan tidak ada dalam bahasa Melayu Nusantara perkataan untuk 'Allah' kecuali 'Tuhan' maka dengan sepakat perkataan Allah digunakan tetapi bukan merujuk kepada Allah yang disembah ornag Islam kerana karakter dan sifat Allah dalam ajaran Islam berlainan dengan ajaran Kristian.

Jadi pengunaan kalimat Allah oleh orang Kristian bukanlah merujuk kepada Allah yang disembah oleh orang Islam tetapi merujuk kepada Allah Yang Hidup yang dikenal melalui Sang Penebus Yesus Kristus.

Tuhan memberkati.

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP