Kisah Nabi Musa a.s Dengan Seekor Burung Helang

>> Tuesday, November 29, 2011

Pada suatu hari Nabi Musa a.s. telah keluar dan pergi berjalan-jalan bersama dengan Yusa' bin Nun , tiba-tiba ada seekor burung putih yang hinggap pada bahu Nabi Musa a.s.

Burung itu berkata : "Wahai Nabi Allah lindungilah aku dari suatu pembunuhan pada hari ini".

Nabi Musa a.s bertanya : "Dari siapa?"

Jawab burung itu : "Dari burung helang yang mahu memakan aku."

Burung itu lalu masuk kelengan baju Nabi Musa a.s dan tidak berapa lama datanglah burung helang terbang menghadap Nabi Musa a.s dan berkata 

Burung helang berkata : "Hai Nabi Musa, janganlah engkau menghalangi aku dari buruanku."

Nabi Musa berkata : "Aku akan menyembelih seekor kambingku untukmu sebagai gantinya."

Jawab burung helang : "Daging kambing tidak sesuai bagiku."

Selanjutnya burung helang itu berkata : "Sebagai ganti, aku ingin makan dua biji matamu sebagai ganti."

Jawab Nabi Musa a.s : "Baiklah kalau demikian."

Kemudian Nabi Musa a.s tidur menelentang dan datanglah burung helang itu hinggap di dada Nabi Musa a.s dan hendak mematuk dua matanya dengan paruhnya.

Melihat yang demikian ini Yusa' bin Nun berkata : "Wahai Nabi Allah, apakah engkau menganggap mudah dua mata engkau, hanya dalam urusan burung ini sahaja?"

Maka burung itu terbang dari lengan baju Nabi Musa a.s dan helang pun mengejarnya. Akhirnya kedua-dua burung itu kembali menghadap kepada Nabi Musa a.s seraya berkatalah seekor dari antara keduanya : "Aku sebenarnya adalah malaikat Jibril dan kawanku ini adalah malaikat Mikail. Tuhanmu telah menyuruh kami menguji kepadamu boleh bersabarkah engkau dari qadha' Tuhanmu atau tidak."

Memang kesabaran itu harus dimiliki oleh setiap orang, lebih-lebih lagi orang yang beriman kepada Allah kerana memang orang yang beriman tidaklah akan dibiarkan begitu sahaja setelah ia menyatakan beriman kepada Allah, melainkan ia harus melalui ujian atau cubaan pula.

Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sabar itu ada tiga:
  1. Sabar terhadap bencana.
  2. Sabar berlaku taat.
  3. Sabar menjauhi perbuatan derhaka.

Barangsiapa sabar terhadap bencana, maka dicatat baginya tiga ratus darjat yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jauhnya antara langit dan bumi.

Barangsiapa sabar berlaku taat, maka dicatatkan baginya enam ratus darjat yang jarak jauhnya antara dua darjat seperti jarak jauh antara permukaan bumi yang paling atas dengan dasar bumi yang ketujuh.

Barangsiapa sabar menjauhi perbuatan derhaka, maka dicatatkan baginya sembilan ratus darjat, yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jarak jauhnya antara Arsy dengan bumi."

Read more...

Apa Kata Mereka Mengenai Islam

>> Friday, November 25, 2011

William Ewart Gladstone (1809-1898), bekas PM Britain zaman Queen Victoria pernah mengucapkan "Selagi mereka (umat Islam) berpegang dengan kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu pisahkan mereka dari Kitab ini". Ucapan beliau sambil mengangkat Al-Qur'an dalam Parlimen Britain ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan.

Theodore Hertzel, pencetus idea penubuhan negara Yahudi (menulis buku Negara Yahudi : 1895), "Misi kalian bukanlah mengeluarkan mereka dari Islam, walaupun yang terakhir ini merupakan keberhasilan yang paling gemilang. Tapi lebih pada usaha bagaimana menjauhkan mereka dari Islam. Jadikanlah mereka sebagai orang Islam yang tidak kenal agamanya sendiri, orang Islam yang gemar berfoya-foya, suka dengan kemaksiatan, hidup semata-mata untuk cari harta dan kekuasaan. Jika umat Islam sudah menjadi seperti ini, maka misi kalian sudah berhasil. Laksanakan dan tunaikan misi kalian ini dengan penuh kesedaran" - ucapan di Persidangan Yahudi di Basel, Switzerland : 1897.

Arnold Toynbee menulis dalam bukunya, Islam, Barat dan Masa Depan: “Sesungguhnya kesatuan Islam sedang tidur. Tetapi kita mesti meletakkan di bawah perhatian kita bahawa, orang yang tidur boleh jadi akan bangkit.”

Samuel Zweimer, Ketua Organisasi Kristian dalam satu ucapannya dihadapan para orientalis di sebuah konvensyen, “sesungguhnya peranan Kristianisasi yang menyebabkan negara-negara Krsitian mengutus kamu untuk melaksanakannya di negara-negara Muhammad (negara umat Islam) bukanlah untuk memasukkan orang Islam ke dalam agama Krsitian. Sesungguhnya ini adalah kemuliaan yang mereka tidak berhak untuknya. Sesungguhnya peranan kamu ialah mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam supaya ia menjadi satu makhluk yang tiada hubungan yang mengikatnya dengan akhlak yang menjadi pegangan semua ummah dalam kehidupannya. Dengan aktiviti kamu akan jalani, maka kamu telah membentuk tinjauan pra penjajahan di dalam kerajaan-kerajaan Islam. Kamu mesti membekalkan dan mempengaruhi ramai orang bijak pandai dalam kerajaan–kerajaan Islam bagi menjayakan perjalanan di atas jalan yang telah kamu asaskan, iaitu jalan mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam. Sesungguhnya kami mahu kamu mempersiapkan satu generasi yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh penjajahan iaitu generasi yang tidak mengambil berat terhadap perkara-perkara yang besar, suka bersantai dan malas serta berusaha untuk mencapai kepuasan syahwat dengan apa cara pun. Apabila mereka mengumpul wang, maka ianya hanya untuk kehendak hawa nafsunya dan ianya menjadi matlamatnya dalam kehidupan. Mereka memperelokkan setiap benda demi memuaskan nafsunya. Wahai para penyebar Kristian, apabila kamu lakukan perkara demikian, maka sesungguhnya peranan kamu itu telah sempurna dengan sebaik-baik cara.”

Fidel Castro, pemimpin sosialis Cuba mengutarakan sebuah nasihat kepada ahli-ahli diplomatik Israel dengan meluangkan masanya selama 2 jam sebagaimana yang terdapat dalam akhbar Grama, Cuba. Di dalam majalah utama Cuba, Castro berkata kepada mereka, “Israel mestilah tidak membiarkan gerakan perjuangan Palestin yang mengambil rupa (dasar) Islam kerana tindakan gerakan-gerakan ini mengambil karakter aqidah dan menjadikannya unggun api semangat yang biasanya ada di dalam masyarakat Islam. Semangat keagamaan Arab ini akan memikat pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain yang seterusnya akan menyebabkan mustahil bagi Israel untuk menjaga kepentingannya. Israel juga mesti berusaha untuk menjadikan setiap Negara Arab disekitarnya sebagai negara yang berpaksikan dasar sosialis. Sesungguhnya pusingan terakhir bagi mana-mana gerakan penentangan Arab yang mempunyai ciri-ciri sosialis ialah kewujudan bersama Arab yang aman bersama negara sosialis Israel.”

Callaghan, bekas PM Britain menggambarkan ketakutannya terhadap agama Islam yang berkembang pesat di Britain dimana radio Britain telah mengadakan wawancara pada tahun sebelumnya bersama bekas PM Britain tersebut.

Juru hebah bertanya beliau tentang topik-topik penting yang akan dibincangkan di konvensyen empat penjuru Guidelope. Jawabnya, “di antara topik-topik tersebut adalah tentang Iran”.

Sambil menyambung katanya kepada juru hebah tersebut, “persoalan Iran mempunyai akar umbi yang dalam. Akar umbi itu yang menyebabkan kita membuat kajian tentang keadaan Turki, Pakistan dan Timur Tengah.”

L
alu juru hebah meminta beliau menambahkan penjelasannya. Jawabnya secara ringkas, “ boleh jadi payah untuk kamu memahami apa yang berlegar di kawasan-kawasan ini. Tetapi sebagai seorang pengamal Kristian yang patuh, maka saya katakan kepada kamu, sesungguhnya di sana terdapat agama yang memusuhi kita di sini yang dirasakan dan diketahui benar-benar oleh penganut Krsitian tulen. Inilah apa yang akan kami bincangkan dalam konvensyen tersebut”.

Jewish Cronical, majalah Yahudi Britain mengingatkan tentang kebangkitan pemuda-pemuda Islam, lebih-lebih lagi di universiti-universiti Arab dan Islam. Katanya dalam rencana bertajuk Jihad Pada Jalan Islam, “pakar-pakar strategi politik Barat akan memperakui kekurangan analisis politik mereka jika mereka membiarkan seruan-seruan yang semakin meningkat yang dihadapi oleh akademi-akademi dan universiti-universiti tempatan di dalam dunia Islam, seperti dibuat semakan terhadap manfaat beragama dan kembali kepada pengajaran Islam yang asas.”

Lawrence Brown, “pemimpin-pemimpin kita menakut-nakutkan kita dengan pelbagai bangsa. Tetapi selepas eksperimen, kita tidak dapati rasionalnya terhadap ketakutan-ketakutan tersebut. Mereka menakut-nakutkan kita dengan bahaya Yahudi, Jepun dan Bolshevik, tetapi ternyata kepada kita bahawa Yahudi adalah kawan-kawan kita, Komunis Bolshevik adalah konfiderasi kita, begitu juga dengan Jepun, terdapat Negara-negara besar demokrasi yang menguruskan penentangannya. Tetapi kami dapati bahawa bahaya sebenar terhadap kita terdapat dalam Islam, dalam kekuatannya untuk berkembang serta menguasai dan dalam ketahanannya yang menggerunkan.”

Morro Byger menulis dalam bukunya Dunia Arab Masa Kini, “sesungguhnya ketakutan kita terhadap umat Arab dan perhatian kita terhadap mereka bukanlah lahir daripada kewujudan petrol yang banyak. Tetapi kerana sebab Islam. Wajiblah memerangi Islam bagi menghalang kesatuan Arab yang soleh yang boleh membawa kepada kekuatan mereka, kerana kekuatan Arab akan sentiasa beriringan dengan kekuatan Islam, kemuliaannya dan perkembangannya.”

Pemimpin Tertinggi Freemason, “kita hendaklah menguasi golongan wanita. Apabila kita berjaya menguasai mereka, maka kita sogokkan mereka dengan perkara-perkara yang haram. Kita juga hendaklah memisahkan pasukan tentera mereka daripada agama.”

Pemimpin Tertinggi Imprealis, “arak dan nyanyian merupakan dua unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.”

Karl Marx, pengasas ideologi sosialis ketika ditanya tentang pengganti kepada akidah ketuhanan, beliau menjawab, “penggantinya ialah teater (panggung drama dan filem), maka palingkan mereka yang sibuk dengan amalan kerohanian kearah pementasan drama.”

Miyen, seorang pemimpin di Burma, “jangan biarkan orang-orang Islam bebas bergerak kerana mereka akan membangunkan kembali kerajaan Arab (kerajaan Islam).”

10 Rancangan Kuffar Hancurkan Islam

1) Lenyapkan sistem pemerintahan Islam.
2) Menghapuskan Al-Qur'an.
3) Hancurkan akhlak Muslim, fikiran, hubungan mereka dengan Allah dan bebaskan mereka mengikut hawa nafsu.
4) Lenyapkan kesatuan kaum Muslimin.
5) Ragukan kaum Muslimin terhadap agamanya.
6) Lemahkan bangsa Arab.
7) Dirikan negara diktator di dunia Islam.
8) Pisahkan kaum Muslimin dari menguasai perindustrian dan biarkan mereka hancur dengan barangan Barat.
9) Singkirkan tokoh-tokoh Islam dan tamatkan Gerakannya.
10) Rosakkan wanita dan kembangkan pergaulan bebas.

Renungkanlah.

Read more...

Penemuan Kota Kaum A'ad Membuktikan Mukjizat Al-Quran

>> Wednesday, November 23, 2011

Kota Iram yang dirakam setelit NASA

Satu ketika dahulu, ramai yang ragu-ragu tentang kewujudan kaum A’ad seperti yang termaktub dalam al-Quran. Ketika ayat mengenai kehancuran kaum A’ad diturunkan, ramai terkejut dengan kedashyatan azab Allah terhadap kaum nabi Hud as tersebut. Namun, rata-rata umat Islam ketika itu langsung tidak tahu-menahu mengenai kaum yang disebut Allah swt sebagai kaum A’ad tersebut.

Bergitu juga apa yang dialami oleh kaum Yahudi yang menetap bersama-sama umat Islam di Madinah. Mereka mendengar desas-desus turunnya ayat tentang kaum A’ad tersebut. Dalam kitab suci mereka iaitu Taurat tidak langsung menceritakan kemusnahan kaum A’ad sedangkan kaum-kaum lain seperti kaum Lut as, kaum Nuh as dan sebagainya diceritakan dengan terperinci dalam kitab mereka. Berikutan itu, kaum Yahudi terus menyebarkan fitnah bahawa kaum A’ad sebenarnya tidak pernah wujud dan apa yang diberitakan dalam al-Quranul karim hanyalah omongan kosong yang langsung tidak berfakta.

Ternyata Orang Yahudi Silap

Tahun berganti tahun, abad berganti abad. Ramai orientalis mula datang ke tanah arab untuk mengkaji dan menyelidik kitab suci al-Quran, syair-syair dan cerita penglipur lara popular di tanah arab. Antara orientalis paling popular yang pernah datang ke tanah arab adalah T. E. Lawrence atau lebih dikenali dengan Lawrence of Arabia.

Lawrence of Arabia 

Lawrence of Arabia

Kepada yang belum mengenali siapakah Lawrence of Arabia, beliau adalah orientalis yang bertanggungjawab menghasut pemimpin tanah arab untuk memberontak kepada kerajaan Turki Othmaniyyah sekitar tahun 1916-1918. Disebabkan hasutan dan dokongan daripada Lawrence of Arabia tersebut, tanah arab akhirnya bebas daripada menjadi jajahan Turki Othmaniyyah dan King Saud diangkat menjadi pemimpin besar tanah arab. Kerajaan baru yang ditubuhkan dikenali sebagai Arab Saudi. Dan kerajaan Arab Saudi kekal memerintah tanah arab sehingga ke hari ini. Lawrence of Arabia yang juga seorang Leftenan Kolonel tentera Diraja Britain meninggal dunia pada 19 Mei 1935 akibat kemalangan jalan raya. Ketika itu beliau berumur 45 tahun.

‘Jasa’ Lawrence Of Arabia

Miskipun Lawrence of Arabia boleh dikatakan musuh di dalam selimut kepada umat Islam, namun jasanya kepada penemuan kota Iram yang dikatakan sebagai kota kaum A’ad tidak boleh disangkal. Beliau adalah insan pertama daripada Eropah yang sangat berminat dengan ‘Lost City’ Iram. Beliau yang hidup dengan cara orang Badwi dan kemampuannya berkomunikasi dalam bahasa Arab dengan fasih membuatkan cerita mengenai kemusnahan tamadun kaum A’ad mudah sampai ke telinganya.

Kerana sangat berminat dengan kisah kaum A’ad dan kotanya yang memiliki tiang-tiang yang besar, Lawrence of Arabia telah mengelarnya dengan gelaran ‘Atlantis of the Sands’. Seperti kota Atlantis, kota Iram juga kelihatan mustahil untuk ditemui. Lawrence of Arabia juga tidak yakin apakah kota tersebut benar-benar wujud. Baginya, ia sekadar cerita dogeng yang terkandung di dalam al-Quran.

Atlantis of the Sands

Lokasi Kota Iram

Sebenarnya, apa yang ditulis oleh Lawrence of Arabia mengenai kota Iram yang digelar beliau sebagai ‘the Atlantis of the Sands’ telah menarik minat beberapa ahli arkeologi daripada Eropah kemudian harinya. Mereka adalah Nicholas Clapp, George Hedges, Dr. Juris Zarins dan Ranulph Fiennes.

Pada akhir tahun 80-an dan awal 90-an, keempat-empat individu ini telah berusaha untuk mencari satu tamadun yang musnah sepertimana yang disifatkan dalam al-Quran. Rujukan utama keempat-empat mereka adalah berdasarkan al-Quranul karim dan cerita-cerita lisan daripada masyarakat Badwi.

Dr. Zarins mengetuai pencarian Kota Iram

Dr. Zarins yang bertindak sebagai ketua arkeologi dalam pencarian tersebut telah bersama-sama Nicholas Clapp dan George Hedges meminta NASA merakamkan gambar sekitar tempat yang dimaksudkan mempunyai potensi untuk dikaitkan dengan kota purba Iram yang telah musnah. Gambar tersebut telah dirakamkan menggunakan satelit NASA, SPOT (Satellite Pour I’Observation de la Terre). Rakaman tersebut mengejutkan mereka apabila ia jelas memaparkan laluan unta dan sebuah runtuhan kota purba yang kelihatan mengelilingi sebuah ‘runtuhan’ oasis.

Lakaran Kota Iram oleh pelukis

Namun laluan perdagangan dan runtuhan kota purba tersebut tidak mampu dilihat jelas pada mata kasar. Imej tersebut telah dirakamkan di Rub’al Khali, Oman yang terletak di selatan Semenanjung Arab.

Pada 1992, eskavasi telah dimulakan. Daripada hasil penemuan arkeologi, mereka bersepakat bahawa ia adalah kota Iram yang musnah seperti yang dimaksudkan dalam al-Quran berdasarkan pentarikhan karbon menyatakan ia dibina sekitar 6,000 tahun sebelum masihi. Menurut mereka lagi, kota yang ditemui itu adalah salah satu kota yang dimiliki oleh kaum A’ad dan banyak lagi yang tenggelam dalam ‘lautan’ pasir.

Keajaiban Al-Quran

Peninggalan binaan di Kota Iram

Terdapat beberapa persamaan hasil penemuan arkeologi dengan ayat-ayat Allah swt yang menceritakan kisah kaum A’ad dan nabi Hud as. Antaranya adalah berkenaan dengan pembinaan tiang-tiang yang sangat tinggi yang mana tidak pernah dibina oleh sesiapa pun sebelumnya.

1. Tiang-Tiang Tinggi

Dalam al-Quran ada menyebut tentang kota Iram yang disifatkan mempunyai tiang-tiang yang tinggi.

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ’Aad?. (iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah dibangun (suatu kota) seperti itu, di negeri-negeri lain.
(Surah al-Fajr ayat 6-8)

Firman Allah swt telah dapat dibuktikan melalui hasil penemuan arkeologi pada 1992. Clapp yakin bahawa yang kota purba yang ditemui adalah Iram berdasarkan kepada tapak-tapak tiang yang berbentuk segiempat sama. Dipercayai bahawa tiang-tiang yang dibina adalah 7 batang kesemuanya.

2. Membina Benteng-Benteng

Kaum A’ad juga diriwayatkan membina benteng-benteng. Ia diceritakan Allah dalam surah as-Syu’araa’ ayat 128 sehingga 130.

Apakah kamu mendirikan pada tiap-tiap tanah tinggi bangunan untuk bermain-main. Dan kamu membuat benteng-benteng dengan maksud supaya kamu kekal (di dunia)?. Dan apabila kamu menyeksa, maka kamu menyeksa sebagai orang- orang kejam dan bengis.
(Surah as-Syu’araa’ ayat 128-130)

Sepertimana perihal tiang-tiang yang tinggi yang dibina oleh kaum A’ad, mereka juga turut membina benteng yang dianggarkan mempunyai tinggi lebih daripada 2 meter. Jika mengikut rekod arkeologi, tiada tamadun sekitar 6,000BC telah membina tembok atau benteng seperti yang dibina oleh kaum A’ad. Ia bertepatan dengan apa yang Allah swt bicarakan dalam Surah al-Fajr ayat 8.

3. Terdapat Kebun-Kebun Dan Mata Air

Dia telah menganugerahkan kepadamu binatang-binatang ternak, dan anak-anak. Dan kebun-kebun dan mata air.
(Surah as-Syu’araa’ ayat 133-134)

Sebuah runtuhan oasis

Mengenai perihal kebun-kebun dan mata air, ia dapat dibukti melalui penemuan oasis di tengah-tengah kota Iram. Penemuan oasis merupakan titik pertama sebelum penemuan Kota purba Iram. Mata air merupakan sumber utama kepada kemajuan kota Iram satu ketika dahulu. Kaum A’ad dikatakan mencari nafkah dengan mengembala binatang ternak dan juga berdagang. Oasis milik kaum A’ad masih lagi boleh dilihat sehingga ke hari ini. 

4. Dimusnahkan Oleh Angin Kencang 

Dan juga pada (kisah) Aad ketika Kami kirimkan kepada mereka angin yang membinasakan. Angin itu tidak membiarkan satupun yang dilaluinya, melainkan dijadikannya seperti serbuk.
(Surah adz-Dzaariyaat ayat 41-42)

Dalam ayat Allah dalam surah adz-Dzaariyaat ini, angin kencang telah membinasa kaum A’ad yang sombong. Angin tersebut telah membinasakan seluruh masyarakat A’ad yang kufur terhadap Allah swt. Hasil arkeologi membuktikan bahawa runtuhan kota Iram bagaikan serbuk dan ia bertepatan benar dengan apa yang dimaksudkan Allah swt dalam ayat 42 surah adz-Dzaariyaat.

Penutup

Bagi ahli arkeologi, miskipun runtuhan tersebut sangat dashyat sehingga sukar untuk dilihat dengan mata kasar, ia bagaimanapun masih lagi mempunyai nilai yang sangat bermakna kerana dalam sudut yang lebih besar ia membukti al-Quran merupakan kalam Allah yang penuh mukjizat.

Kota yang dikatakan mustahil untuk ditemui ini akhir telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi bukan muslim dan sepertimana yang diberitahu sebelum ini, rujukan utama mereka adalah al-Quran. Pembaca semua, ingatlah ayat Allah azza wa jalla ini. Lihat dokumentari penemuan dan gambaran Kota Iram.


Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.
(Surah Yusuf ayat 111)

Di bawah adalah gambar-gambar yang diambil di Kota Iram (Ubar)











Pekan Iram yang dibina selepas Kota Iram dijumpai pada 1992

Read more...

Wang Kertas : Penipuan Terbesar Dalam Sejarah Manusia

>> Tuesday, November 22, 2011

Hari ini kalau ada yang berazam untuk tidak mahu menggunakan wang kertas ,orang berkenaan ‘wajib’ berpindah ke dalam hutan. Begitu sekali sekeping wang kertas bergelar ‘not’ menguasai seluruh kehidupan manusia.

“Apa itu wang kertas?” wacana tentang riba dan wang emas tidak mungkin lengkap kalau tidak menyentuh soal wang kertas kerana kedua-dua matawang ini dan riba ada hubung kaitnya dari segi sejarah.

Sejarah mencatatkan bahawa antara wang yang paling awal muncul di dunia ini adalah wang emas yang digunakan pada empayar Rom di Eropah, berkurun lama sebelum kedatangan Islam di bumi Arab. Wang emas terus digunakan oleh dunia Islam dan bahagian-bahagian dunia yang lain setelah keadatangan Nabi Muhammad s.a.w. Kearajaan Melayu Melaka pada kurun ke-14 Masehi juga menggunakan wang emas.

Duit emas yang digunakan 560 sebelum masihi di Turki

Namun, penggunaannya berakhir pada 1924 berikut runtuhnya kerajaan Khilafah Islamiah terakhir iaitu Khalifah Uthmaniah yang berpusat di Istanbul, Turki. Selepas itu, dunia beralih kepada wang kertas yang bersandarkan emas.

Namun, sejarah wang kertas diwarnai misteri, tipu daya dan pembelitan yang dahsyat. Warga Amerika Syarikat, G Edward Griffin dalam buku The Creature From Jekyll Island berkata bahawa titik bermulanya penipuan wang kertas adalah pada 1910. Mesyuarat misteri di Pulau Jekyll, Amerika Syarikat pada tahun itu membawa kepada penubuhan the Federal Reserve Department (FRD) pada tahun 1913 yang keahliannya bukan di kalangan rakyat atau institusi kerajaan Amerika Syarikat. Sebaliknya dianggotai oleh syarikat milik persendirian asing. Penggunaan perkataan ‘federal’ (persekutuan) ke atas sesuatu yang berbentuk persendirian adalah pembohongan yang nyata. Kongres Amerika Syarikat pula terpaksa meluluskannya secara curi-curi.

The Creature From Jekyll Island

Jabatan ini kemudiannya mentadbir segala urusan kewangan Negara Amerika Syarikat., antaranya mencetak wang kertas Dolar Amerika dan memperkenalkan Fractional Reserve Bangking (FRB) atau Fractional Reserve Requirement (FRR) yang menjadi asas perjalanan sesebuah bank. Sehingga hari ini, FRB digunakakn oleh industri perbankan di seluruh dunia termasuk Malaysia untuk mencipta wang sesuka hati dalam jumlah yang berlipat kali ganda melebihi kekayaan sebenar.

Berikutan penubuhan FRD, banyak peristiwa besar berlaku sehingga membolehkan British mengusai Bandar Jerusalem pada 1919. Penguasaan itu menandakan berakhirnya era Perang Salib yang berlangsung selama 250 tahun antara umat Islam dan Kristian. Dinia pun berubah dengan mendadak. Kemuncaknya ialah kejatuhan Kerajaan Khalifah Uthmaniah.

Peristiwa demi peristiwa terus mengejutkan dunia, antaranya Perang Dunia Pertama dan krisis ekonomi dunia besar-besaran pada 1929. Pada 1944, muncul pula perjanjian Bretton Woods yang melibatkan 44 buah Negara dunia yang bersetuju untuk menyandarkan mata wang kertas masing-masing kepada Dolar Amerika dengan jaminan bahawa USD35 bersamaan dengan satu auns emas.

Krisis yang sengaja dicipta untuk memberikan kekayaan kepada bank

Negara-negara dunia tidak lagi menyandarkan mata wang kertas kepada rizab emas masing-masing seperti sebelum ini. Setahun selepas Dolar Amerika mendapat ‘daulat’ berkenaan, International Monetory Fund (IMF) pun ditubuhkan. Pada 1948, Negara Israel mendapat pengiktirafan sebagai sebuah Negara berdaulat di tengah-tengah Negara Palestin yang sah.

Seterusnya pada 1971, kerajaan Amerika Syarikat pimpinan Ricard Nixon hampir bankrap gara-gara Perang Vietnam dan masalah deficit imbangan pembayaran yang berterusan. Tuntutan rasmi terhadap rizab emas Amerika Syarikat melambung kepada USD32 bilion sedangkan rizab emas yang ada hanya satu pertiga. Keyakinan terhadap Dolar Amerika punah. Berduyun-duyun bank pusat negara lain memeras ugut Amerika Syarikat dengan cara menebus pegangan Dolar Amerika masing-masing. Emas mengalir keluar dari Amerika Syarikat lalu dengan sendirinya meruntuhkan nilai Dolar Amerika.

Namun Amerika licik bertindak dengan memutuskan ikatan antara Dolar Amerika dan emas. Ini bermakna Amerika Syarikat memungkiri perjanjian Bretton Woods dan bertindak secara unilateral untuk menguburkan sistem piawaian emas.

Selepas 15 ogos 1971, dolar tidak lagi bersandarkan kepada emas. Sejak itu, nilai dolar ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran pasaran tukaran wang asing. Kesannya, semua matawang dunia berubah menjadi matawang fiat iaitu matawang yang bernilai sifar. Ini bermakna setiap Negara bebas mencetak wang kertas tanpa perlu bersandarkan kepada apa-apa rizab. Kalau ada pun, ia dalam jumlah yang kecil seperti yang ditetapkan oleh Special Drawing Rights IMF. Bayangkan betapa liciknya permainan ini.

Pun begitu apa jua tipu daya tetap ada kelemahannya seperti mana yang disebut oleh Allah dalam al-Quran,Firmannya :

الَّذِينَ آمَنُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَالَّذِينَ كَفَرُوا يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِ الطَّاغُوتِ
فَقَاتِلُوا أَوْلِيَاءَ الشَّيْطَانِ إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفً

“Orang-orang yang beriman dan berperang di jalan Allah dan orang-orang yang kafir berjalan di jalan thaghut, sebab itu perangi lah kawan-kawan syaitan itu kerana tipu daya syaitan itu adalah lemah.” 
[surah an-Nisa’, ayat 76]

Sekarang, ‘tabir’ yang melindungi wajah sebenar wang kertas semakin terungkai. Dunia mula mengetahui apa ada di sebalik wang kertas. Wang kertas tidak mempunyai nilai intrinsik seperti mana wang sebenar (contohnya emas, perak, sebakul barangan dan lain-lain).

Nilai yang dicetak di atas wang kertas kini ditentukan oleh kerajaan yang mengeluarkannya dan kuasa pasaran (market forces). Ini bermakna nilainya bergantung kepada permintaan dan manipulasi pihak yang mengeluarkannya. Ia hanya lah ‘janji’ untuk membayar dan pihak yang mengeluarkannya tidak semesti menunaikan ‘janji’ itu. Atas inilah, sebagai contoh, pada wang kertas Ringgit Malaysia yang kita gunakan sekarang, tercetak ayat, “wang kertas ini sah diperlakukan dengan nilai….”.

Wang kertas digelar fiat kerana ia bukan berbentuk komoditi tetapi dikeluarkan oleh pihak tertentu dan dijamin nilainya oleh pihak yang mengeluarkan. Pengertian sebenar disebalik wang kertas ialah sekadar ‘sekeping kertas’ yang diterima pakai untuk semua urusan jual beli. Asas penerimaan kertas ini hanya atas dasar kepercayaan terhadapnya. Kepercayaan semata-mata. Itu sahaja. Sekiranya di suatu masa kelak, semua orang hilang kepercayaan terhadap ‘kertas ini’ lalu ia tidak lagi berguna, sekalipun jumlahnya berguni.





Zimbabwe menjadi bukti kerapuhan wang fiat

Sejarah membuktikan bahawa dalam peperangan, mata wang sesebuah Negara dilanda krisis akan hancur lalu wang kertas dilambakkan seperti bukit di satu tempat dan dimansuhkan dengan cara membakarnya hingga hangus. Di Malaysia, sebahagian besar generasi sebelum merdeka masih lagi mengingati istilah ‘duit pisang’ atau ‘duit Jepun’ yang menyaksikan berguni duit kertas tidak mampu untuk membeli secawan beras. Ungkapan ‘duit tak laku’ bukan lah sesuatu yang asing buat orang lama yang pernah melalui pengalaman buruk itu.

Duit dibakar di Jerman kerana sudah tidak bernilai

Selain wang kertas, wang fiat juga merujuk kepada wang dalam bentuk angka dalam akaun, hutang-hutang yang dikeluarkan oleh bank atau institusi kewangan dan kad plastic digital. Wang ini tidak disokong oleh apa-apa aset yang nyata. Nilainya mudah dimainkan oleh speculator matawang yang berniat jahat, tamak dan tidak berperikemanusian.

Krisis ekonomi Asia pada 1997 adalah contoh yang paling dekat dengan kita. Spekulasi dan manipulasi menyebabkan berlaku susut nilai matawang atau lebih buruk, matawang itu langsung tidak bernilai. Keadaan yang dinamakan ‘money meltdown’ ini sudah pun berlaku dalam tahun-tahun kebelakangan (kejatuhan Dolar Amerika pada 1973 dan 1980). Keadaan ini pasti akan berulang. Krisis ekonomi dunia diramal menjadi lebih teruk berbanding pada tahun 1929.

Sistem ekonomi kapitalis, bank dan institusi kewangan dengan cara tidak bertanggungjawab telah mencipta wang fiat dengan banyak di pasaran sehingga menyebabkan inflasi. Wang itu dicipta melalui kepelbagaian deposit, memberi hutang dan mengenakan faedah. Setiap wang fiat yang didepositkan ke dalam bank akan mencambahkan tiga wang fiat lagi yang boleh diberikan kepada individu dan syarikat perniagaan. Ekonomi ini adalah ekonomi palsu yang tidak berasaskan kepada pengeluaran sebenar.

Sesetengah kerajaan mencetak wang sewenang-wenang tanpa bersandarkan kepada pengeluaran sebenar dalam Negara bagi kepentingan pemerintah dan pengekalan kuasa.

Apabila semakin banyak wang dicetak, nilai wang fiat akan berkurangan dan menyebabkan inflasi. Kuasa beli rakyat pula akan berkurangan. Satu wang fiat tidak memungkinkan kita membeli barangan yang sama kita beli seperti sepuluh tahun yang lalu. Ini menjadikan nilai wang kertas fiat hanya terletak pada barangan yang kita beli hari ini. Sebagai contoh, tiga puluh tahun lalu, seseorang yang bergaji RM 1000 sebulan mampu memiliki kereta import berjenama dan sebuah banglo. Hari ini, gaji sebanyak RM 20 000 sebulan belum tentu menjanjikan kereta import dan banglo. Harga barangan menjadi terlalu tinggi iaitu meningkat berkali ganda berbanding peningkatan dalam pendapatan.

Orang sekarang berkerja siang dan malam serta melakukan bermacam-macam jenis pekerjaan, tetapi masih berada di dalam keadaan kekurangan. Harta pada hakikatnya dimiliki oleh bank atau institusi kewangan. Hampir semua orang berhutang dengan bank atau institusi keewangan dan pada bila-bila masa boleh menjadi papa kedana kerana hutang itu. Malah hutang bank juga boleh diwarisi sehingga ke anak cucu.

Kadar pengangguran dan kegagalan syarikat perniagaan pula semakin meningkat dari hari ke hari. Semua ini angkara sistem kewangan fiat yang menyebabkan ekonomi berkembang secara tidak stabil serta mewujudkan jurang besar antara golongan berada dengan golongan tidak berada.

Jelas wang kertas adalah wang yang tidak adil dan tidak jujur. Apabila Amerika Syarikat meluluskan penubuhan FRD dan Amerika Syarikat mengadakan perjanjian Bretton Woods pada 1944, seluruh ummah sebenarnya sudah ditipu ‘hidup-hidup’. Inilah penipuan terbesar dalam sejarah manusia.

Sumber : Milenia Muslim

Read more...

Kelebihan Berzikir Dari Sudut Sains

>> Friday, November 18, 2011


Otak sebenarnya ialah satu himpunan aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi secara sempurna.

Ketika otak berfungsi, berlaku perubahan kimia di dalamnya yang melibatkan pergerakan ion-ion atau atom-atom yang membawa cas. Setiap hari empat belas juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan enam belas juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas. Ukuran isyarat otak yang terhasil daripada aktiviti elektrik yang dapat dikenal pasti melalui kaedah electroencephalography (EEG).

Kaedah EEG yang digunakan untuk mengenalpasti aliran bio-elektrik

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimah-kalimah Allah S.W.T seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat daripada perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedangkan sebelum berzikir otak tidak sebegini. Otak yang segar dan cerdas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Majalah Scientific American, Disember 1993

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Kajian dilakukan di University of Washington dengan menggunakan ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Ujian imbasan PET

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang kali, aktiviti saraf otak merebak ke kawasan-kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain. Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Jika ia mengaitkan tentang kecerdasan otak, maka betullah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

“Orang yang berzikir kepada Allah S.W.T ditengah-tengah orang yang lalai ibarat sebuah pepohonan yang hijau ditengah-tengah pepohonan yang kering.”

Oleh itu saudara-saudaraku seislam, ketika saintis barat baru menemui mukjizat ini, kita sudahpun lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang rendah kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Read more...

Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka?

>> Wednesday, November 16, 2011

Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.

Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.

Prof DiRaja Engku Aziz

Berbudi Baik

Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam dengan pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.

Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.

Di barat, sarkas juga diboikot kerana menganiayai haiwan

Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya, “Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya, “Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.

Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.

Halangan Hidayah

Bukan sedikit dari golongan bukan Islam yang seperti Stefanie. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam. Disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.

Kes yang memburukkan Islam di pandangan orang bukan Islam

Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:

“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” 
(Fussilat: 46)

Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.

Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.

Bolehkah Selamat?

Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’. Pembentangnya adalah Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.

Jon Hover

Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah menggunakan riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.

Saya rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.

Selamat Dari Azab

Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)

“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” 
(Surah al-Israk: 15)

Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut:

“Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.

Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)

“Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” 
(al-Nisa: 165)

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:

“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab. Pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama ialah kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua ialah kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.

Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:

“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” 
(m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)

Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP