Showing posts with label Kisah Tauladan. Show all posts
Showing posts with label Kisah Tauladan. Show all posts

Nabi Musa, Abid dan Si Pencuri

>> Thursday, March 15, 2012

Sekadar renungan

Di zaman Nabi Musa AS ada seorang hamba Allah yang kerjanya hanya amencuri. Sudah 40 tahun dia mencuri.

Pada suatu hari, dia terlihat Nabi Musa AS sedang berjalan. Terlintas di hatinya untuk berjalan bersama Nabi Musa. Katanya, "Kalau aku dapat berjalan bersama Nabi Musa, mudah-mudahan ada juga berkatnya untuk aku".

Tetapi setelah difikirkannya semula, dia tidak jadi melaksanakan niatnya itu. Dia berkata, "Aku ni pencuri. Manalah aku layak pencuri seperti aku ini berjalan bersama dengan seorang nabi". Sejurus kemudian, dia terlihat pula seorang abid berlari-lari anak mengejar Nabi Musa AS dari belakang. Lelaki itu adalah si abid yang telah beribadat secara istiqamah selamah 40 tahun dan dikenali oleh semua orang. Si pencuri berkata di dalam hatinya, "Baik aku berjalan bersama si abid ini, mudah-mudahan ada baiknya juga untuk aku".

Lantas si pencuri menghampiri si abid dan meminta kebenaran untuk berjalan bersamanya. Apabila ternampak sahaja si pencuri, si abid terkejut dan terus merasa takut. Dia berkata di dalam hatinya, "Celaka aku kalau si pencuri berjalan bersamaku, takut nanti rosak segala amalan dan kebaikanku selama ini".

Si abid terus berjalan laju supaya si pencuri tadi tidak dapat mengikutnya. Namun si pencuri tadi terus mengikut si abid kerana mahu tetap bersamanya. Akhirnya kedua-dua mereka sampai serentak kepada Nabi Musa AS. Nabi Musa AS terus berpaling dan bersabda kepada mereka berdua, "Aku baru sahaja dapat wahyu dari Allah Taala supaya memberitahu kamu berdua bahawa segala amalan kamu telah dimansuhkan oleh Allah." Maka terkejutlah si abid dan si pencuri tadi.

Berbahagialah si pencuri kerana segala dosa mencuri selama 40 tahun telah diampunkan oleh Allah Taala. Tetapi malang dan berita duka bagi si abid kerana segala amalan dan ibadahnya selama 40 tahun ditolak dan tidak diterima oleh Allah SWT.

Rupa-rupanya si pencuri itu walau pun kerjanya mencuri, tetapi dia tidak suka akan perbuatannya itu. Dia mencuri kerana ditimpa kemiskinan dan memikul tanggungan yang banyak. Namun masyarakat ketika itu sungguh angkuh dan sombong. Manakala si kaya pula enggan membantu orang fakir dan miskin.

Oleh itu dia mencuri kerana terpaksa. Setiap kali dia mencuri, dia amat rasa bersalah dan berdosa. Jiwanya terseksa dan menderita. Selama 40 tahun dia menanggung rasa berdosa itu dan selama itulah juga jiwanya parah menanggung derita. Selama 40 tahun itu jugalah hatinya merintih sedih, meminta belas kasihan, memohon keampunan Allah dan mengharapkan kasih sayangNya.

Sebaliknya si abid pula, dia teramat yakin bahawa ibadahnya mampum menyelamatkannya. Dia malahan yakin ibadahnya akan dapat membeli syurga. Setiap kali dia beribadah, dia merasa dirinya bertambah baik, dan setiap kali dia beribadah dia merasakan dirinya bertambah mulia.

Selama 40 tahun di abid ini mendidik hatinya supaya merasa lebih baik dan lebih mulia hinggakan dia merasakan dirinya tidak layak bergaul dengan orang yang tidak sepertinya, yang dirasakan hina dan banyak dosa. Dia merasakan dia hanya layak berjalan bersama para Nabi.

Maha Suci Allah SWT yang mengetahui segala isi hati manusia, yang tidak melihat amalan zahir semat-mata tetapi apa yang terkandung di dalam hati manusia. Sesungguhnya Allah meilai hambaNya berdasarkan amalan yang benar-benar ikhlas, bukan amalan yang dilakukan sekadar untuk menunjuk-nunjuk dan untuk mendapat perhatian dan pujian manusia. Kepunyaan Allah lah tiap segala sesuatu. Syurga dan neraka itu, Allah jua yang Maha Menentukan.

Wallahualam 

Read more...

Kisah Nabi Musa Dengan Wanita Penzina

>> Friday, January 27, 2012

Gambar hiasan

Pada suatu senja yang lenggang, terlihat seorang wanita berjalan terhuyung-huyung. Pakaiannya yang serba hitam menandakan bahawa dia berada dalam keadaan yang berdukacita. Tudungnya hampir menutup seluruh wajahnya. Tanpa hias muka atau perhiasan menghiasi tubuhnya. Kulit yang bersih, badan yang ramping dan rauk wajahnya yang ayu, tidak dapat menghapuskan kesan kepedihan yang dialaminya. Dia melangkah terseret-seret mendekati kediaman rumah Nabi Musa a.s. Diketuknya pintu perlahan-lahan sambil mengucapkan salam. Maka terdengarlah ucapan dari dalam “Silakan masuk”.

Perempuan cantik itu lalu berjalan masuk sambil kepalanya terus tunduk. Air matanya berderai ketika mula berkata, “Wahai Nabi Allah. Tolonglah saya. Doakan saya agar Tuhan berkenan mengampuni dosa keji saya.”

“Apakah dosamu wahai wanita?” tanya Nabi Musa a.s. terkejut.

“Saya takut mengatakannya.” jawab wanita cantik itu. “Katakanlah jangan ragu-ragu!” desak Nabi Musa.

Maka perempuan itupun berkata, “Saya… telah berzina."

Kepala Nabi Musa terangkat, hatinya tersentak. Perempuan itu meneruskan, “Dari perzinaan itu saya telah hamil. Setelah anak itu lahir, terus saya cekik lehernya sampai mati,” ucap wanita itu lalu menangis teresak-esak. Nabi Musa berapi-api matanya. Dengan muka berang ia mengherdik, “Perempuan celaka, pergi kamu dari sini! Agar bala dari Allah tidak jatuh ke dalam rumahku kerana perbuatanmu. Pergi!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan mata kerana jijik.

Perempuan berwajah ayu dengan hati bagaikan kaca membentur batu, hancur luluh segera bangkit dan melangkah keluar. Ratap tangisnya amat memilukan. Dia tidak tahu harus kemana lagi hendak mengadu. Dia tidak tahu mahu dibawa kemana lagi kaki-kakinya. Bila seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain bakal menerimanya? Terbayang olehnya betapa besar dosanya, betapa jahat perbuatannya. Dia tidak tahu bahawa sepeninggalnya, Malaikat Jibril turun mendatangi Nabi Musa.

Jibril lalu bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripadanya?” Nabi Musa terperanjat. “Dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita pezina dan pembunuh itu?” Maka Nabi Musa dengan penuh rasa ingin tahu bertanya kepada Jibril. “Betulkah ada dosa yang lebih besar daripada perempuan yang nista itu?”

“Ada!” jawab Jibril dengan tegas. “Dosa apakah itu?” tanya Musa a.s. “Orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar dari pada seribu kali berzina.”

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa kemudian memanggil wanita tadi untuk berjumpanya kembali. Nabi Musa memohonkan ampun kepada Allah untuk perempuan tersebut. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa menyesal adalah sama seperti mengakui bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu atas dirinya. Seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan seolah-olah menganggap Tuhan tidak mempunyai hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.

Sedangkan orang yang bertaubat dan menyesali dosanya dengan sungguh-sungguh memberikan maksud yang dia masih mempunyai iman di dadanya dan yakin bahawa Allah itu berhak keatas dirinya. Itulah sebabnya Tuhan pasti mahu menerima kedatangannya.

Malah dalam satu hadis Nabi s.a.w. berkata 

“sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, maka ia kafir terang-terangan” 
(H.R. Atthabarani)

Dalam hadis Nabi s.a.w. disebutkan: 

“Orang yang meninggalkan solat lebih besar dosanya dibanding dengan orang yang membakar 70 buah Al-Quran, membunuh 70 nabi dan bersetubuh dengan ibunya di dalam Ka’bah. Dalam hadis yang lain disebutkan bahawa orang yang meninggalkan solat sehingga terlewat waktu, kemudian ia mengqadanya, maka ia akan diseksa dalam neraka selama satu huqub. Satu huqub adalah lapan puluh tahun. Satu tahun terdiri dari 360 hari, sedangkan satu hari di akhirat perbandingannya adalah seribu tahun di dunia.”

Sujudlah kepadaNya tanpa alasan

Al-Ghazzali berkata: “Jika ada orang berkata, bahawa ia telah mencapai satu tingkat disisi Allah s.w.t. hingga ia tidak wajib sembahyang, maka tidak ragu dibunuh orang itu, dan membunuh orang yang seperti itu lebih afdal dari pada membunuh 100 orang kafir.”

Ahmad bin Hanbal berkata: “Tidak sah berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang, tetapi dalam mazhab kami, berkahwin dengan wanita kitabiyah dzimmiyah lebih baik daripada berkahwin dengan wanita yang meniggalkan sembahyang.”

Demikianlah kisah Nabi Musa dan wanita penzina, mudah-mudahan menjadi pengajaran kepada kita dan timbul niat untuk melaksanakan kewajiban solat dengan istiqomah. 

Read more...

Kisah Nabi Musa a.s Dengan Seekor Burung Helang

>> Tuesday, November 29, 2011

Pada suatu hari Nabi Musa a.s. telah keluar dan pergi berjalan-jalan bersama dengan Yusa' bin Nun , tiba-tiba ada seekor burung putih yang hinggap pada bahu Nabi Musa a.s.

Burung itu berkata : "Wahai Nabi Allah lindungilah aku dari suatu pembunuhan pada hari ini".

Nabi Musa a.s bertanya : "Dari siapa?"

Jawab burung itu : "Dari burung helang yang mahu memakan aku."

Burung itu lalu masuk kelengan baju Nabi Musa a.s dan tidak berapa lama datanglah burung helang terbang menghadap Nabi Musa a.s dan berkata 

Burung helang berkata : "Hai Nabi Musa, janganlah engkau menghalangi aku dari buruanku."

Nabi Musa berkata : "Aku akan menyembelih seekor kambingku untukmu sebagai gantinya."

Jawab burung helang : "Daging kambing tidak sesuai bagiku."

Selanjutnya burung helang itu berkata : "Sebagai ganti, aku ingin makan dua biji matamu sebagai ganti."

Jawab Nabi Musa a.s : "Baiklah kalau demikian."

Kemudian Nabi Musa a.s tidur menelentang dan datanglah burung helang itu hinggap di dada Nabi Musa a.s dan hendak mematuk dua matanya dengan paruhnya.

Melihat yang demikian ini Yusa' bin Nun berkata : "Wahai Nabi Allah, apakah engkau menganggap mudah dua mata engkau, hanya dalam urusan burung ini sahaja?"

Maka burung itu terbang dari lengan baju Nabi Musa a.s dan helang pun mengejarnya. Akhirnya kedua-dua burung itu kembali menghadap kepada Nabi Musa a.s seraya berkatalah seekor dari antara keduanya : "Aku sebenarnya adalah malaikat Jibril dan kawanku ini adalah malaikat Mikail. Tuhanmu telah menyuruh kami menguji kepadamu boleh bersabarkah engkau dari qadha' Tuhanmu atau tidak."

Memang kesabaran itu harus dimiliki oleh setiap orang, lebih-lebih lagi orang yang beriman kepada Allah kerana memang orang yang beriman tidaklah akan dibiarkan begitu sahaja setelah ia menyatakan beriman kepada Allah, melainkan ia harus melalui ujian atau cubaan pula.

Rasulullah s.a.w bersabda bahawa sabar itu ada tiga:
  1. Sabar terhadap bencana.
  2. Sabar berlaku taat.
  3. Sabar menjauhi perbuatan derhaka.

Barangsiapa sabar terhadap bencana, maka dicatat baginya tiga ratus darjat yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jauhnya antara langit dan bumi.

Barangsiapa sabar berlaku taat, maka dicatatkan baginya enam ratus darjat yang jarak jauhnya antara dua darjat seperti jarak jauh antara permukaan bumi yang paling atas dengan dasar bumi yang ketujuh.

Barangsiapa sabar menjauhi perbuatan derhaka, maka dicatatkan baginya sembilan ratus darjat, yang jaraknya jauh antara tiap-tiap dua darjat seperti jarak jauhnya antara Arsy dengan bumi."

Read more...

Masuk Neraka Kerana Seekor Lalat

>> Monday, November 14, 2011


Dari Tariq ibn Shihab,

Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah : Baginda saw bersabda : Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah. Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkorbanlah walaupun seekor lalat". Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain , ia berkata “ aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” 
(HR Imam Ahmad)

Situasi ini mungkin sudah tidak berlaku di zaman sekarang. Tidak ada lagi orang yang memaksa untuk berkorban untuk patung ataupun berhala. Tetapi di zaman yang serba maju ini, keadaan ini sebenarnya masih berlaku tetapi dalam keadaan yang berbeza dan tidak lagi dipaksa tetapi rela. Menarik bukan.


Saya ingin kaitkan hadis ini dengan situasi masyarakat sekarang yang masih taksub dengan bomoh. Bomoh yang membakar kemenyan dan meminta pengeras sebagai korban untuk mencapai hajat apa yang diingini. Bukankah situasi ini sama dengan kisah di dalam hadis tersebut.

Pengeras

Pengamal perubatan tradisional yang juga dikenali sebagai bomoh ataupun dukun akan mengenakan bayaran tertentu sebagai upah kepada perkhidmatan yang mereka berikan. Untuk nampak lebih hebat, kononnya jumlah bayaran tu telah pun ditetapkan oleh khadam ataupun jin belaan bomoh tersebut. Bayaran Pengeras tidak sama antara bomoh dan jenis penyakit. Dari puluhan ringgit hinggalah boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. 

Pengeras yang agak tinggi biasanya akan cuba dibayar oleh pesakit walaupun tinggal sehelai sepinggan disebabkan desakan penyakit yang di alami. Cuba kita fikirkan, adakah jin memerlukan duit? Jin tidak perlu menghulurkan duit pun untuk membeli sekampit beras dikedai runcit.

Selain meminta pengeras dalam bentuk duit, ada juga yang meminta yang bukan-bukan seperti darah ayam, telur ayam kampung, pulut kuning. Barang-barang yang diminta oleh jin ataupun syaitan ini berlainan mengikut keadaan geografi (negara). Kenapa? Sebenarnya syaitan tidak memerlukan barangan tersebut. Tetapi mereka gembira kita dapat mengikut kemahuan mereka. Tujuan mereka cuma satu, untuk sesatkan manusia dan mendiami neraka bersama mereka.

Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Berserah kepada Allah swt. Jangan biarkan diri diperdaya oleh Syaitan. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh yang nyata. 

Read more...

Kisah Burung Pipit

>> Monday, October 24, 2011

Pada suatu hari, sebuah rumah di pinggir kampung terbakar. Seekor burung pipit membawa air menggunakan sayapnya. Seorang pemuda hairan melihat burung itu berulang-alik membantu memadamkan kebakaran.

Pemuda : Wahai burung pipit. Mengapakah engkau berulang-alik membawa air?

Burung : Aku ingin membantu memadamkan api yang sedang marak.

Pemuda : Tapi, tidakkah kau tahu bahawa sayap kau hanya mampu membawa dua titis air saja?

Burung : Aku tahu.

Pemuda : Tahukah kau bahawa titisan air yang kau bawa itu tidak akan dapat memadamkan kebakaran itu?

Burung : Aku tahu wahai pemuda.

Pemuda : Tetapi mengapa kau masih berterusan berbuat begitu?

Burung : Sesungguhnya apabila Allah bertanya sama ada aku nampak atau tidak kebakaran itu, aku akan jawab bahawa aku nampak kebakaran itu. Dan jika Allah bertanya apakah usaha aku untuk membantu. Lalu aku akan menjawab bahawa aku telah membawa titisan air menggunakan sayapku untuk membantu.

Pemuda : Wahai burung, sesungguhnya engkau adalah makhluk yang berjiwa mulia.

Read more...

Kisah Nabi Daud Dengan Ulat

>> Wednesday, October 12, 2011

Ingatlah, bahawa semua makhluk Allah sentiasa berzikir memuji kebesaran Allah

Dalam sebuah kitab Imam Al-Ghazali menceritakan pada suatu ketika tatkala Nabi Daud A.S sedang duduk dalam suraunya sambil membaca kitab az-Zabur, dengan tiba-tiba dia terpandang seekor ulat merah pada debu. Lalu Nabi Daud A.S. berkata pada dirinya, “Apa yang dikehendaki Allah dengan ulat ini?”

Sebaik sahaja Nabi Daud selesai berkata begitu, maka Allah pun mengizinkan ulat merah itu berkata-kata. Lalu ulat merah itu pun mula berkata-kata kepada Nabi Daud A.S. “Wahai Nabi Allah! Allah S.W.T telah mengilhamkan kepadaku untuk membaca ‘Subhanallahu walhamdulillahi wala ilaha illallahu wallahu akbar’ setiap hari sebanyak 1000 kali dan pada malamnya Allah mengilhamkan kepadaku supaya membaca ‘Allahumma solli ala Muhammadin annabiyyil ummiyyi wa ala alihi wa sohbihi wa sallim’ setiap malam sebanyak 1000 kali.

Setelah ulat merah itu berkata demikian, maka dia pun bertanya kepada Nabi Daud A.S. “Apakah yang dapat kamu katakan kepadaku agar aku dapat faedah darimu?”

Akhirnya Nabi Daud menyedari akan kesilapannya kerana memandang remeh akan ulat tersebut, dan dia sangat takut kepada Allah S.W.T. maka Nabi Daud A.S. pun bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

Begitulah sikap para Nabi A.S. apabila mereka menyedari kesilapan yang telah dilakukan maka dengan segera mereka akan bertaubat dan menyerah diri kepada Allah S.W.T. Kisah-kisah yang berlaku pada zaman para nabi bukanlah untuk kita ingati sebagai bahan sejarah agama Islam, tetapi hendaklah kita jadikan sebagai teladan supaya kita tidak memandang rendah kepada apa sahaja makhluk Allah yang berada di bumi yang sama-sama kita tumpangi ini.

S
ejak akhir-akhir ini terdapat banyak kes penganiayaan terhadap haiwan. Ini menunjukkan manusia begitu jauh dengan agama. Kebanyakan mereka menjadi sangat kejam disebabkan faktor duit. Lihat video di bawah sebagai renungan kita bersama.


                                           Meet Your Meat

To Animals, It's Not Entertainment

Read more...

Menahan Lapar Kerana Menghormati Tetamu

>> Tuesday, September 20, 2011

Seorang telah datang menemui Rasulullah s.a.w. dan telah menceritakan kepada Baginda s.a.w. tentang kelaparan yang dialami olehnya. Kebetulan pada ketika itu Baginda s.a.w. tidak mempunyai suatu apa makanan pun pada diri Baginda s.a.w. mahupun di rumahnya sendiri untuk diberikan kepada orang itu. 

Baginda s.a.w. kemudian bertanya kepada para sahabat,"Adakah sesiapa di antara kamu yang sanggup melayani orang ini sebagai tetamunya pada malam ini bagi pihak aku?" Seorang dari kaum Ansar telah menyahut, "Wahai Rasulullah s.a.w., saya sanggiup melakukan seperti kehendak tuan itu." 

Orang Ansar itu pun telah membawa orang tadi ke rumahnya dan menerangkan pula kepada isterinya seraya berkata, "Lihatlah bahawa orang ini ialah tetamu Rasulullah s.a.w. Kita mesti melayaninya dengan sebaik-baik layanan mengikut segala kesanggupan yang ada pada diri kita dan semasa melakukan demikian janganlah kita tinggalkan sesuatu makanan pun yang ada di rumah kita." Lalu isterinya menjawab, "Demi Allah! Sebenarnya daku tidak ada menyimpan sebarang makanan pun, yang ada cuma sedikit, itu hanya mencukupi untuk makanan anak-anak kita di rumah ini ?" 

Orang Ansar itu pun berkata, "Kalau begitu engkau tidurkanlah mereka dahulu (anak-anaknya) tanpa memberi makanan kepada mereka. Apabila saya duduk berbual-bual dengan tetamu ini di samping jamuan makan yang sedikit ini, dan apabila kami mulai makan engkau padamlah lampu itu, sambil berpura-pura hendak membetulkannya kembali supaya tetamu itu tidakk akan ketahui bahawa saya tidak makan bersama-samanya." 

Rancangan itu telah berjalan dengan lancarnya dan seluruh keluarga tersebut termasuk kanak-kanak itu sendiri terpaksa menahan lapar semata-mata untuk membolehkan tetamu itu makan sehingga berasa kenyang. Berikutan dengan peristiwa itu, Allah s.w.t. telah berfirman yang bermaksud, 

"Dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam kesusahan." 
(Al-Hasy : 9)

Read more...

Tujuh Perkara Ganjil Jasad Di Dalam Kubur

>> Sunday, June 26, 2011

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”

Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.

” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, ” Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”

Pemuda itu menyambung lagi, ” Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

” Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya.”

Kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.

” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.

” Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,”

” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.

” Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. 

Meninggalkan dunia dengan senyuman

Wallahua’lam..

Read more...

Kisah Mayat Yang Tidak Amanah

>> Sunday, June 5, 2011

Semasa Nabi Isa berjalan di satu kawasan perkuburan, ia terdengar suara dari dalam satu kubur suara lelaki yang menjerit-jerit meminta tolong dan dalam kesakitan yang amat sangat... Nabi Isa ingin mengetahui apakah yang telah terjadi kepadanya Sebagaimana yang kita tahu nabi Allah Isa mempunyai mukjizat boleh menghidupkan orang yang sudah mati. Maka nabi Allah Isa pun memohon doa kepada Allah SWT sambil menadahkan tangannya ke langit supaya menghidupkan lelaki tersebut.

Doanya dimakbul oleh Allah SWT, maka terbelah kubur itu dan keluarlah seorang lelaki yang sedang terbakar menjerit-jerit meminta tolong. Melihat akan keadaan lelaki tersebut, maka ditanya oleh nabi Isa kepada lelaki itu apakah kamu tidak sembahyang sehingga kamu diseksa sebegini. lelaki itu menjawab.. bahawa ia tidak meninggalkan sembahyang. ditanya lagi oleh nabi Isa adakah kamu tidak berpuasa.. lelaki itu menjawab... saya berpuasa dan lelaki itu pun berkata sesungguhnya ia taat akan perintah Allah SWT.... maka ditanya oleh nabi Isa lagi apakah yang kamu lakukan sehingga kamu diseksa sebegitu rupa? Maka berceritalah lelaki itu... Saya bekerja sebagai penjual kayu api dan saya akan mencari kayu api di hutan dan menjualkannya kepada sesiapa yang hendak membelinya.

Maka pada suatu hari datanglah seorang pembeli menemuinya utk membeli kayu api lalu diberinya wang dan disuruhnya hantar ke rumahnya . Maka pergilah saya mencari kayu dihutan dan apabila sudah dapat seberkas kayu di ikatnya elok-elok dan pergi lah saya hendak menghantar ke rumah si pembeli itu..

Dipertengahan jalan, saya merasa lapar dan teruslah saya berhenti untuk makan.... selepas itu saya pun meneruskan perjalanan ke rumah pembeli kayu itu. Sedang saya berjalan, saya terasa ada sisa makanan yang terselit dicelah gigi saya. maka dicuba berbagai cara mengeluarkannya dgn lidah tetapi tak berjaya.... kemudian dicubanya dengan menggunakan kukunya...tetapi tak berjaya juga. Akhirnya saya pun dengan menggunakan kuku saya mencungkil kayu api yang dipikul itu utk dibuat mencungkil gigi.

Maka akhirnya dapatlah mengeluarkannya. Maka saya teruskan perjalanan dan setelah sampai ke rumah si pembeli itu, saya pun menyerahkan kayu api itu dan terus pulang. Oleh kerana saya tidak meminta halal akan kayu yang saya cungkil dengan kuku saya tu, maka saya diseksa selama 70 tahun sebagaimana yang tuan lihat. Saya menyangka Allah tidak melihat akan perkara yang sekecil ini.

Elok lah kita mengambil ikhtibar akan riwayat ini.

Adakah kita pernah mengambil barang-barang dari pejabat, samada dari sekecil-kecilnya seperti klip kertas, pemadam dan sebagainya dan dibawa balik ke rumah untuk kegunaan sendiri ataupun diberikan kepada anak-anak kita?
 
Dan juga barang-barang orang lain yang kita pinjam tetapi tidak dikembalikan?

Sesungguhnya takutlah kita akan azab Allah kerana mati itu adalah benar.
Azab neraka itu adalah benar.
Dan syurga itu adalah benar.
 

Read more...

Syaitan Membantu Pemuda Ke Masjid

>> Thursday, April 7, 2011

Seorang pemuda bangun awl pagi untuk solat subuh di Masjid. Dia berpakaian, berwudhu dan berjalan menuju masjid. Di tengah jalan menuju masjid, pemuda tersebut jatuh dan pakaiannya kotor.


Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang kembali ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudhu, dan berjalan menuju masjid .

Dalam perjalanan kembali ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yg sama! Dia, sekali lagi, bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Di rumah, dia sekali lagi, berganti baju, berwudhu dan berjalan menuju masjid .


Di tengah jalan menuju masjid , dia bertemu seorang lelaki yang memegang lampu.

Dia menanyakan identiti lelaki tersebut, dan menjawab "Saya melihat anda jatuh 2 kali di perjalanan menuju masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan anda..'

Pemuda tersebut mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid .

Ketika sampai di masjid, pemuda pertama bertanya kepada lelaki yang membawa lampu untuk masuk dan solat subuh bersamanya, lelaki itu menolak, pemuda itu mengajak lagi hingga berkali kali dan jawapannya tetap sama.

Pemuda bertanya, kenapa menolak untuk masuk dan solat.

lelaki itu menjawab "Aku adalah Iblis"


Pemuda itu terkejut dengan jawapan lelaki itu.

Syaitan kemudian menjelaskan, 'Saya melihat kamu berjalan ke masjid , dan sayalah yang membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah untuk membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah memaafkan semua dosa dosamu.

Saya membuatmu jatuh kali kedua, dan itupun tidak membuatmu berubah fikiran untuk tinggal di rumah, kamu tetap memutuskan kembali masjid .

Kerana itu, Allah memaafkan dosa dosa seluruh anggota keluargamu.

Saya khuatir jika saya membuat kamu jatuh untuk kali ketiga, jangan jangan Allah akan memaafkan dosa seluruh penduduk kampungmu, jadi saya mesti memastikan bahawa kamu sampai di masjid dengan selamat'.

Moral: Jangan biarkan Syaitan mendapatkan keuntungan dari setiap aksinya. Jangan melepaskan sebuah niat baik yang hendak kamu lakukan kerana kamu tidak pernah tahu ganjaran yang akan kamu dapat dari segala kesulitan yang kamu temui dalam usahamu untuk melaksanakan niat baik tersebut .

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP