PADA 17 Oktober tahun lalu, peguam terkenal Amerika Syarikat (AS) yang bertaraf jutawan, Mark Shaffer secara rasmi memeluk Islam di Arab Saudi. Beliau yang mengendalikan pelbagai kes perundangan sivil, memeluk Islam ketika bercuti 10 hari di negara itu untuk melawat bandar terkenal seperti Riyadh, Abha dan Jeddah.
Di AS, beliau seorang yang sangat dikenali lebih-lebih lagi Shaffer ialah peguam yang mengendalikan kes raja pop Michael Jackson, iaitu seminggu sebelum superstar itu meninggal dunia pada 25 Jun 2009. Sebagaimana yang diceritakan oleh pemandu pelancong, Dhawi Ben Nashir yang mengiringi Shaffer sepanjang percutian di Arab Saudi itu, peguam itu memeluk Islam dengan penuh kerelaan.
“Sejak hari pertama Shaffer menjejakkan kakinya di Tanah Arab, beliau bertanyakan pelbagai soalan mengenai Islam terutamanya mengenai solat.
“Selepas bercuti selama dua hari di Riyadh, sebuah bandar yang agak moden, kami kemudiannya bertolak ke Bandar Najran untuk melawat dua kawasan iaitu Abha dan Al-Ula. Di situ, minat beliau terhadap Islam semakin bercambah lebih-lebih lagi apabila berada di padang pasir yang gersang dan tandus. Namun semua ini memberikan pelbagai kesan tersendiri kepada jiwa Shaffer,” katanya.
Shaffer dikatakan begitu tertarik melihat gelagat tiga pemuda yang turut mengikuti rombongan itu mendirikan sembahyang di tengah-tengah padang pasir yang luas. Suasana itu memberikan satu pemandangan yang cukup indah kepada peguam tersebut. Selepas itu mereka ke Al Juf dan sejurus tiba di sana, Shaffer meminta Dhawi mendapatkan beberapa buah buku mengenai Islam. Sehari suntuk Shaffer menghabiskan masa dengan hanya membaca buku-buku tersebut.
“Keesokan pagi, Shaffer terus meminta saya supaya mengajarnya bagaimana melakukan solat. Tanpa banyak masalah saya pun menerangkan cara-cara untuk mendirikan solat termasuk mengambil air sembahyang,” kata Dhawi.
Tanpa disangka, Shaffer kemudiannya berdiri di sebelah Dhawi dan mereka bersama-sama mendirikan solat. Selepas bersolat dan berdoa, Shaffer berterus terang kepada Dhawi mengenai jiwanya yang kini dirasakan cukup tenang dan damai, suatu nikmat perasaan yang tidak beliau pernah rasakan sebelum ini. Ketika itu peguam berkenaan hanya ingin merasa sendiri kesan solat terhadap dirinya walaupun masih belum memeluk Islam secara rasmi.
Pada petang Khamis itu mereka meneruskan perjalanan ke bandar Jeddah. Sepanjang perjalanan itu Shaffer tidak putus-putus membaca buku mengenai Islam. Apabila tiba dan menginap di sebuah hotel di Jeddah, Dhawi meminta kebenaran Shaffer untuk keluar mengerjakan solat Jumaat.
“Bolehkah saya pergi bersama-sama awak? Nanti, bolehlah saya melihat sendiri bagaimana yang dikatakan solat Jumaat itu,” kata Shaffer.
“Silakan, tidak ada masalah, marilah,” ajak Dhawi.
Setibanya mereka di sebuah masjid yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan, Shaffer dan Dhawi terpaksa solat di luar masjid. Mungkin kerana mereka tiba agak lewat, para jemaah telah melimpah ke luar masjid.
Menurut Dhawi, beliau melihat sendiri bagaimana Shaffer begitu asyik menyaksikan gelagat umat Islam mengerjakan solat terutama sebaik sahaja masing-masing selesai mengerjakan solat itu. Para jemaah tanpa mengira latar belakang, miskin kaya dan sebagainya mereka semuanya saling bersalaman dan berpeluk dengan wajah yang ceria dan gembira.
"Unik dan indah"
Shaffer mengakui beliau begitu mengagumi pemandangan yang disifatkan begitu unik dan indah itu. Sebaik sahaja tiba di hotel, tanpa ragu-ragu lagi Shaffer memberitahu Dhawi keinginannya memeluk Islam secara rasmi. Dhawi tidak terkejut malah meminta supaya Shaffer membersihkan diri, iaitu mandi sunat dan kemudiannya beliau membimbing peguam itu melafazkan dua kalimah syahadah. Maka rasmilah jutawan AS itu memeluk Islam setelah mengamati dan tertarik dengan suasana serta bagaimana agama itu begitu kuat diamalkan di Arab Saudi.
Selesai memeluk Islam itu, Shaffer menyatakan hasratnya untuk mengunjungi dan beribadat di Masjidil Haram di Mekah, sebelum mengakhiri percutiannya di Arab Saudi. Bagi memenuhi hasrat Shaffer itu, Dhawi membawanya ke pejabat Dakwah dan Irshad di Al Hamro Jeddah bagi mendapatkan pengesahan mengenai pengislaman peguam itu. Shaffer kemudiannya mendapat sijil sebagai dokumen rasmi yang membenarkan Shaffer untuk memasuki kota Mekah dan beribadat di Masjidil Haram.
Beliau kemudiannya diiringi Muhammad Turkistani yang bermurah hati membawa Shaffer masuk ke Tanah Suci Mekah dan bersama-sama beribadat di situ. Sebaik sahaja Shaffer dapat memasuki Masjidil Haram di mana tersergam di hadapannya kini kaabah yang menjadi kiblat dan tumpuan ibadah umat Islam wajah Shaffer begitu gembira dan berseri-seri.
“Tidak dapat dibayangkan betapa gembira malah begitu terharu kerana sukar mempercayai bahawa Kaabah kini berada di hadapan mata,” kata Shaffer kepada Dhawi.
Syukur atas nikmat Allah
Mulutnya tidak henti-henti mengucapkan syukur atas nikmat Allah kerana dapat berada di hadapan kaabah lebih-lebih lagi dalam tempoh 24 jam baru memeluk Islam. Beliau kemudiannya mengerjakan tawaf mengelilingi kaabah yang diakhiri dengan solat sunat dan doa yang panjang.
Apabila tiba masanya untuk mereka meninggalkan Masjidil Haram, dapat dilihat betapa Shaffer seperti enggan berpisah malah suasana bertukar menjadi sangat sayu.
Baru sampai sudah hendak berpisah, hati mana yang tidak sedih! Dalam satu temuramah dengan akhbar Al Riyadh, Shaffer tidak dapat menghuraikan perasaannya kini setelah rasmi memeluk Islam tanpa paksaan mana-mana pihak.
“Tetapi apa yang jelas, dapat dirasakan saya seperti dilahirkan semula dan kehidupan seolah-olah baru sahaja bermula.
“Di samping begitu gembira iaitu kegembiraan yang sukar saya terjemahkan melalui kata-kata apabila diizinkan Allah tidak sahaja dapat mengecap nikmat iman tetapi yang lebih bertuah lagi saya dapat beribadat di hadapan kaabah.
“Ini menjadikan diri saya sangat mendekati Islam dan tidak mahu berjauhan dari kaabah yang suci itu,” katanya.
Namun beliau menyedari bahawa dia masih begitu dangkal mengenai Islam.
“Maka menjadi satu tanggungjawab selepas ini untuk saya terus mengkaji dan mendalami agama Allah ini dan yang pasti kembali ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah dan haji,” ujarnya dengan penuh azam.
Sebelum ini menurut Shaffer, beliau telah menerima pelbagai maklumat mengenai Islam namun semua itu agak terhad.
“Sehinggalah saya melawat Arab Saudi dan secara peribadi menyaksikan mengenai Islam di sana, melihat sendiri bagaimana mereka mendirikan solat semua itu menyebabkan keinginan saya untuk mengenali Islam semakin kuat.
“Ditambah apabila saya banyak membaca mengenai Islam semua itu membuatkan saya semakin yakin bahawa Islam adalah agama yang benar,” katanya.
1 comments:
sesungguhnya mereka yg ingin kebenaran yang akan diberi kebenaran yakni hidayah,Alhamdulilah
Post a Comment