Antara Babi, Zina Dan Riba'

>> Tuesday, September 28, 2010


Masih ingat lagi ketika saya didalam darjah dua semasa bersekolah di Sibu, Sarawak. Setiap hari semasa rehat saya berserta rakan-rakan akan duduk bersama menikmati bekalan dari rumah. Terjadilah pada suatu hari seorang rakan bukan Islam membawa bekal nasi berserta lauk daging babi, maka mulalah riuh dikalangan kami yang si "polan" membawa daging babi. Akibatnya rakan itu tadi makan berseorangan sahaja kerana kami menjauhkan diri dari lauk daging babi yang dibawanya itu.

Semasa bekerja dengan unit penerbangan VIP di Malaysia dahulu, sebelum membawa pemerintah negara melawat ke luar negara, akan ada sekumpulan "pasukan peninjau" dari pelbagai jabatan melawat ketempat yang akan dilawati itu untuk memastikan lawatan pemerintah akan berlangsung dengan lancar. Selain dari jabatan kejuruteraan, jabatan operasi, jabatan keselamatan dan jabatan katering akan meninjau kemudahan-kemudahan yang terdapat disesuatu tempat itu. Antara tugas jabatan katering adalah untuk memastikan makanan yang akan disiapkan untuk VIP adalah dari sumber yang halal, malah tempat penyediaan makanan juga haruslah juga mendapat pengesahan sijil halal.

Didalam kehidupan masyarakat melayu kita, jika ada lelaki dan perempuan yang ditangkap kerana berzina atau berkhalwat maka mereka juga akan dicemuh. Ada kalanya pasangan tersebut terutamanya lelaki akan dibelasah oleh orang kampung. Masyarakat sekeliling akan sibuk mengata malah hingga ke tahap mengumpat tentang kejadian yang berlaku. Walaupun masyarakat Islam kita tidak mengamalkan hudud, mahkamah syariah akan mengenakan denda keatas pasangan tadi. Jika perkara yang sama berlaku kepada masyarakat agama lain, mereka juga akan dicemuh dan dihina oleh masyarakat setempat.

Dari kecil lagi pemikiran masyarakat kita sudah di"corak" atau di"acu" supaya menjauhi babi dan mencemuh mereka yang berkhalwat atau berzina. Begitu hebat bencikan babi ini hinggakan dari segala segi harus dijaga, dari menghampirinya, dagingnya, tempat masak hinggalah kepada bahan-bahan tambahan makanan (food additives) yang mesti juga tidak diperbuat dari unsur-unsur babi. Namun, kini boleh dikatakan hanya bab babi sahaja yang masih kekal kuat, bab zina atau mencemuh zina itu sendiri sudah semakin terhakis kerana rata-rata masyarakat kita jika tidak melakukan zina sekalipun, sudah menuju kearah zina itu sendiri dengan menghampirinya, berkat dari "kawalan minda" dari alat "hipnosis" atau pemukau terhebat iaitu TV, filem dan pelbagai lagi yang mem"fatwa"kan wajibnya bercinta sebelum kahwin, mesti ber"dating", ber"couple" dan berkasih-kasihan. Bagaimana hati seseorang manusia itu akan membenci zina jika dia sendiri melakukan atau hampir degan zina itu sendiri?

Berbanding babi dan zina, riba' pula suatu perkara biasa pada kebanyakan masyarakat kita. Baik beli kereta, rumah hinggalah kepada penggunaan kad kredit, isu riba' ini tidak begitu dipandang hebat oleh masyarakat kita berbanding babi dan zina. Kerana apa? Kerana dari kecil lagi kita sudah didedahkan dengan "kebaikan-kebaikan" riba' itu sendiri. Contohnya semasa kecil disebabkan oleh sistem riba'lah mak ayah boleh membeli TV dengan ansuran (berserta kadar faedahnya), jadi dapatlah kita menonton Ultraman, Power Rangers, Oshin dan sebagainya. Dengan riba' lah ayah membeli motor untuk ketempat kerja mencari rezeki. Itu dari perspektif keluarga, bagaimana dengan negara?

Jalan Riba yang paling mudah?

Dengan sistem riba' jugalah negara punyai bangunan pencakar langit, lebuhraya besar, lapangan terbang canggih dan pelbagai prasarana hebat yang lain. Segala aspek kehidupan masyarakat Malaysia khususnya dan masyarakat dunia amnya sudah "imun" dengan riba' itu sendiri, jadi bencikan riba' itu amat jarang terdapat didalam kamus kehidupan masyarakat berbanding babi dan zina. Mungkin juga perkataan riba' ini suatu yang baru kerana riba' sebelum ini berselindung disebalik nama bunga ataupun kadar faedah. Apa kata selepas ini sebelum membuat pinjaman, tanyalah kepada pegawai pinjaman, "Berapa kadar riba'nya Encik...? Apakah perasaan kita ketika itu? Bagaimana pula reaksi pegawai yang diajukan soalan itu agaknya?

Selain dari sikap jijiknya terhadap riba' itu tidak disemai dari kecil, riba' itu sendiri suatu yang tidak begitu jelas kelihatan seperti babi dan zina. Daging babi suatu yang boleh dilihat dan hasil dari penelidikan sains pula membuktikan daging babi itu mengandungi parasit atau cacing merbahaya. Zina pula akan menyebabkan perut siperempuan akan membuncit dan lelaki akan pening kepala jika mahu bertanggungjawab atau cara mudah lepas tangan. Tidak seperti riba', disebabkan kesannya agak halus dan tidak berapa terasa maka ia tidak dipandang serius. Contohnya membeli rumah 100 ribu selama 30 tahun, bayaran bulanan hanyalah dalam lingkungan 4-5 ratus sahaja sedangkan bayaran keseluruhan melebihi dua kali ganda harga asal rumah. Kesan bayaran bulanan yang kecil itu tidak dirasai sangat maka disebabkan oleh itu riba' diterima pakai oleh kebanyakan manusia. Ada pula yang berkata, "Tak apalah aku bayar lebih kepada bank, mereka nak bayar kos mengendalikan bank itu sendiri". Masalahnya bukan seorang dua sahaja yang mengambil pinjaman dan hidup didalam riba', malah boleh dikatakan hampir seluruh masyarakat dunia mengambil pinjaman maka wujudlah jenis perhambaan baru.

Cuma mereka yang patuh dan taat kepada perintah Allah sahaja yang akan menolak riba' sepenuhnya walau apa pun harga yang terpaksa dibayar. Teringat akan saya cerita Sheikh Imran Hosein semasa beliau mula-mula belajar di Pakistan. Nasihat pertama yang di beri oleh guru beliau adalah, apa sahaja yang diperintahkan oleh Allah dan Nabi, ikut sahaja, pemahaman akan datang kemudian. Akan tetapi disebabkan kita menolak perintah Allah dan Nabi dengan menerima riba', maka manusia menjadi mati akal memikirkan masalah yang melanda kehidupan mereka dan mula menuding jari pada insan-insan lain. Contohnya masalah ekonomi dunia yang kucar-kacir itu sendiri adalah kerana ianya adalah satu penipuan, ekonomi berlandaskan riba' itu sendiri yang menghancurkan umat manusia itu sendiri selari dengan firman Allah yang mana kerosakan dimuka bumi itu adalah dari usaha manusia itu sendiri. (Al-Rum 30:41)

Dari sistem ekonomi riba' inilah menyusulnya masalah sosial yang lain didalam masyarakat baik rasuah, pelacuran, penyakit berkaitan stress hinggalah kepada sikap dan perangai generasi muda zaman ini yang semakin kurang ajar. Bagaimana mereka boleh menjadi anak-anak yang baik jika panduan hidup mereka ketika membesar adalah dari orang gaji, dari TV, dari internet dan video games sedangkan ibubapa yang sepatutnya mencorakkan mereka. Ibu dan bapa sibuk bekerja untuk membayar hutang kereta dan hutang rumah selama 20-30 tahun yang mereka sangkakan kepunyaan mereka sedangkan kereta yang dipandu dan rumah yang didiami itu sebenarnya kepunyaan bank sehinggalah bayaran akhir dijelaskan. Manusia sebenarnya bekerja untuk bank selama 20-30 tahun, membayar 2-3 kali ganda dari harga asal yang dibeli.



Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Riba itu terbahagi kepada 70 jenis dan yang paling kecil sekali dosanya adalah umpama melakukan zina dengan ibu sendiri. (Ibn Majah, Baihaqi)

Abdullah Ibn Hanzala melapurkan bahawa Nabi SAW bersabda: Satu dirham hasil riba yang mana diterima oleh seseorang itu sedangkan dia mengetahuinya itu adalah riba', lebih teruk dari melakukan zina selama 36 kali. (Ahmad, Baihaqi)

Saya tidak pasti jika hadis diatas ini cukup kuat untuk mengajak manusia menjauhi riba'. Kesedaran harus diwujudkan dikalangan masyarakat kita baik Islam dan bukan Islam akan bahayanya riba' itu. Segala masalah ekonomi dan sosial yang melanda pada masa ini adalah dari pada sikap kita yang lena melayan sistem riba' itu sendiri. 

Bagi yang kaya dari hasil riba itu iaitu dengan melabur tanpa risiko ataupun risikonya diminimumkan dan mendapat "pulangan hanya dengan masa", mereka tentunya akan kekal lena kerana bagi mereka "syurga" itu sudah dikecapi didunia lagi, akan tetapi diakhirat kelak perut mereka akan dipenuhi dengan ular-ular seperti yang diceritakan oleh Nabi semasa beliau diangkat kelangit (Israk Mikraj). Moga hidayah dan "nur" dari Allah akan sampai kehati mereka sebelum mereka di"sembahyang"kan agar berhenti berbuat demikian. 

Bagi yang menjadi semakin miskin dari hari kehari, maka sudah tiba masanya untuk sedar dan bangun dari lena yang panjang ini, bersama berhenti menyokong sistem riba' itu baik dari menjadi hamba kepada sistem riba' itu sendiri dengan mengambil pinjaman ataupun menyokong pemimpin yang akur kepada sistem riba itu sendiri.

Saya mengaku yang saya juga telah terjebak didalam sistem riba itu sendiri akan tetapi apabila timbul kesedaran dan dengan seikhlas hati ingin berhenti dan berusaha menjauhi riba, kelihatan jalan kearah itu dipermudahkan oleh Allah. Saya mengajak rakan-rakan berusaha kearah menjauhi riba ini agar hidup kita didunia ini lebih diberkati, diredhai dan dipermudahkan oleh Allah dan bukan hidup dengan diperangi oleh Allah dan Nabi

Berusahalah lebih kepada menjadi "pemberi" kepada insan-insan lain kerana melalui riba' itu kita hanya menjadi "pengambil", mengambil hak orang lain secara tanpa disedari. Memberi bukan sekadar dalam bentuk wang ringgit, malah memberi dan menyampaikan ilmu dan sikap ringan tulang membantu sesama manusia itu juga yang disukai Allah dan akan dipermudahkan kehidupan kita olehNya, (Surah Al Lail 92:5-7). Moga kehidupan kita didunia ini menjadi aman, tenteram dan harmoni berkat dipermudahkan jalan oleh Allah untuk kita menjalani kehidupan, jadi siapa kata mencipta syurga didunia itu suatu yang mustahil? Tidak bagi mereka yang hatinya dekat dan patuh kepada Allah.

2 comments:

Debt Consultant December 19, 2011 at 5:25 PM  

terima kasih....saya amat kagum dengan hasil penulisan tuan....harap dapat berjumpa dengan tuan untuk mendapatkan ilmu lebih lanjut...

Debt Consultant December 19, 2011 at 5:26 PM  

terima kasih....saya amat kagum dengan hasil penulisan tuan....harap dapat berjumpa dengan tuan untuk mendapatkan ilmu lebih lanjut...

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP