Jennifer Memeluk Islam Setelah Melihat Umat Islam Dilayan Buruk

>> Thursday, June 30, 2011

Jennifer Fayed

Jennifer (Sumayah) Fayed merasakan perkawinannya begitu hambar. Dia melihat suaminya tidak ada kesungguhan untuk mencari kerja, yang telah dinikahinya tiga tahun lalu. Dirinya disahkan hamil dan telah memiliki dua anak yang masih kecil.

Jennifer, yang berusia 21 tahun, merenung jauh tujuan hidupnya di dunia ini. Perkara ini mengganggu fikirannya, “Pasti ada sebab mengapa saya di sini.”

Kedua ibu bapanya baru saja berpindah ke Republik Dominican, sebuah negara kepulauan kecil di Carribean. Jennifer merasa sunyi meskipun mempunyai suami dan dua orang anak. Selama ini dia merasakan ibu bapanya lah yang menjadi sumber kekuatan hidupnya.

Ketika dia sedang tidur, dia mendapat panggilan telefon dari ibu mertuanya yang berteriak “Ada pesawat terhempas di Manhattan.” Jennifer yang kebingungan bertanya, “Apa yang ibu cakapkan ini?” Dia membuka televisyen dan melihat menara kedua World Trade Center (WTC) telah dirempuh oleh pesawat.

Detik yang membawa perubahan besar pada hidup Jennifer

“Saya begitu terkejut! Siapa yang melakukannya, siapa yang sanggup melakukan perkara keji ini?” marah Jennifer. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. “Adakah ini mimpi?” Dia berharap ini hanyalah sebuah lakonan dan filem semata-mata.

Dia baru saja mengunjungi WTC sehari sebelum tragedi ini berlaku. Dia percaya ini adalah bukti bahawa ajalnya belum sampai. Dia belum bersedia untuk mati kerana dia belum tahu tujuan hidupnya. Ini membuatkan Jennifer gelisah memikirkannya.

Penduduk Manhattan dilanda ketakutan. Jennifer tidak tahu bahawa hari itu menjadi titk permulaan perubahan drastik yang akan terjadi di dalam hidupnya.

Tidak lama setelah serangan 11 September, Jennifer berlepas menggunakan kapal terbang untuk melawat orang tuanya di Republik Dominica. Ketika itu usia kandungannya baru satu bulan. Suaminya telah mengetahui kehamilannya.

Dia mencari jalan bagaimana hendak memberi tahu berita kehamilan ini kepada orang tuanya. Maklum saja, anak pertamanya adalah hasil hubungan luar nikah. Mereka berkahwin sekadar untuk menutup aib. "Tak apalah saya akan memikirkannya di sana nanti", katanya dalam hati.

Jennifer berlepas menggunakan American Airlines dengan nombor penerbangan 587. Selepas tragedi 911, kawalan keselamatan di bandar dan lapangan terbang sangat ketat. Penumpang pesawat kelihatan sedang berdoa dan beberapa penumpang tidak henti-henti berdoa sepanjang penerbangan. “Saya ketawa di dalam hati. Jika kami akan mati, maka itu adalah takdir kami.”

Dalam penerbangannya, Jennifer terus memikirkan kehamilannya. Dia sebenarnya tidak mahu kehamilan ini. Selain tidak dirangcang, jennifer juga sengsara untuk menanggung dua orang anak, apalagi kalau tiga.

Sepanjang waktu bersama kedua ibu bapanya, Jennifer cuba memberitahu mereka tentang kehamilannya. Tetapi dia tidak sanggup melakukannya, takut untuk mengecewakan ibu bapanya.

Jennifer tertekan akan kehamilannya (gambar hiasan)

Disebabkan perkara itu, Jennifer memutuskan untuk melakukan pengguguran dan tidak perlu sesiapa tahu dirinya hamil. “Penyelesaian yang mudah,” fikirnya di dalam hati. Namun di sudut yang lain, sebagai seorang yang berasal dari keluarga Kristian yang taat, pengguguran di pandang sebagai perbuatan berdosa dan dilarang sama sekali.

Beberapa lama selepas itu, jennifer kembali ke New York dari Republik Dominica dan membuat temujanji dengan klinik Planned Parenthood untuk melakukan pengguguran. Jennifer berharap agar dapat menggugurkan kandungannya hanya dengan memakan pil.

Betapa kecewanya Jennifer bila mengetahui bahawa dirinya harus menjalani pengguguran penuh kerana tarikh tamat untuk melakukan pengguguran dengan memakan pil sudah terlewat satu minggu. Dia sangat tertekan. Dia berkata di dalam hati, "Oh Tuhan, mereka akan membuang bayi ini dari perut saya. Apa yang telah saya lakukan ini?” Jennifer tidak tahu adakah dia sanggup melalui semua ini.

Jennifer berdoa kepada Tuhan untuk menolongnya. Namun tidak seperti sebelumnya, dia tidak menggunakan tasbih atau pergi ke gereja. Buat pertama kalinya, Jennifer berdoa kepada Tuhan tanpa melalui perantaraan. Jennifer merasa Tuhan harus menolongnya. Tuhan adalah tempat terakhirnya untuk berserah.

“Saya menangis sambil terus memohon. Oh Tuhan tolonglah, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya inginkan bayi ini, tetapi rumah tangga saya dalam masalah, dan kami tidak mempunyai wang untuk menanggung seorang lagi bayi ke dunia ini. Saya percaya sepenuhnya kepada Tuhan. Tolonglah, jika Tuhan menghendaki saya memiliki bayi ini, saya akan menerimanya. Dan, jika kehendak Tuhan untuk mengakhiri kehamilan ini, saya juga akan menerimanya.”

“Saya serahkan perkara ini kepada Tuhan. Tuhan yang saya sembah dengan cara saya sendiri, bukan dengan cara yang diajarkan kepada saya. Tuhan yang bagi saya tidak mempunyai pendamping dan tidak mempunyai anak, hanya seperkara yang saya tahu bahawa tuhan yang telah menciptakan saya,” kata Jennifer. Dia kebuntuan memikirkan kehamilannya.

Hari-hari berlalu, sedang Jennifer menonton televisyen, satu siaran berita menngganggu rancangan. “Oh tidak. serangan pengganas lagi,” katanya. Sebuah pesawat terhempas di New York, kali ini di kawasan Queen, daerah asal Jennifer. Dia khuatir ini adalah kerja pengganas. Jennifer terkejut mendengar nombor penerbangan dan destinasi pesawat tersebut. Pesawat American Airlines dengan nombor penerbangan 587 yang menuju ke Republik Dominica. Ya, pesawat yang dinaikinya minggu lalu. Tubuhnya terasa dingin setelah mendengarnya.

Penerbangan 587 terhempas di Queen

Jennifer terpaku. Dia membayangkan dirinya ada di dalam pesawat itu. Dia merasa ini adalah petanda dari Tuhan. Sudah 2 kali Jennifer begitu dekat dengan kematian. “Tuhan cuba memberitahu sesuatu.”

Seminggu selepas doanya kepada Tuhan, Jennifer mula merasakan perutnya kembang. Kembang ini berbeza dengan situasi kehamilannya yang pertama. tetapi Jennifer tidak memperdulikannya kerana ini bukanlah masalah yang besar baginya.

Tidak lama selepas itu, perutnya semakin kembang dengan teruk. Terjadinya pendarahan dan Jennifer amat takut. “Adakah saya keguguran?” Dia bergegas ke hospital dan menjalani pemeriksaan yang ketat.

Keadaan bertambah baik dan Jennifer dibenarkan pulang ke rumah. Di rumah, Jennifer masih perlu berehat di tempat tidur. Ketika tidur, dia merasakan sakit yang amat sangat. Dia merasakan sesuatu keluar. “Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Saya pergi ke bilik mandi dan segumpal daging keluar.” Jennifer keguguran pada usia kehamilan mencecah dua bulan. Pihak hospital mengesahkan bahawa Jennifer telah keguguran. Padahal keesokan harinya, dia dijadualkan oleh Planned Parenthood untuk menjalani proses pengguguran iaitu pada 15 Oktober 2001.

“Ini seolah-olah mimpi. Adakah ini keajaiban dari Tuhan? Adakah Tuhan menjawab doa saya. Saya merasa Tuhan ingin memberitahu saya bahawa kehidupan saya akan berubah. Akan berubah seperti apa? Saya tidak tahu. Yang saya tahu, saya harus menamatkan pengajian dan saya harus berpisah dengan suami yang tidak mempunyai cita-cita di dalam hidup.” Jennifer akhirnya memutuskan untuk bercerai dengan suaminya itu.

Di kawasan tempat tinggalnya, New York, Jennifer menyaksikan muslim dilayan sangat buruk. Kelakuan ini adalah kesan selepas serangan 11 September. “Sungguh mengerikan. Saya menyaksikan orang mengelak berjalan di kakilima seberang jalan hanya kerana melihat adanya muslim di situ. Perniagaan kaum Muslim sepi. Tidak ada yang ingin membeli di kedai yang dimiliki oleh orang Muslim. Di jalan, orang-orang berteriak kepada muslim, baliklah ke negaramu, pengganas, Taliban!!”

“Mengapa masyarakat melemparkan kata-kata ini kepada orang-orang yang tidak bersalah? Saya percaya orang yang melakukan serangan adalah orang yang kejam, tetapi kenapa hendak menyalahkan orang-orang yang tidak ada kaitan dengan serangan tersebut?”

Dari sinilah muncul daya penarik terhadap umat Islam. Jennifer mula ingin mengetahui apa yang diyakini oleh Muslim. Semakin hari, semakin besar keinginannya untuk mengetahui mengenai umat Islam. Dia mengambil langkah mendaftar diri untuk mengikuti satu kursus di kampus. Di sana Jennifer telah bertemu Muslim dan menanyakan berbagai persoalan mengenai Islam. “Mengapa memakai jilbab? Siapa yang anda yakini? Siapa itu Muhammad?” Itulah soalan yang pernah ditanyakannya.

“Sebilanganya dapat memberikan jawapan, namun sebahagian besar tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan saya. Kebanyakan wanita Muslim yang saya kenali tidak memakai jilbab dan mengatakan pemakaian ini hanyalah pilihan. Ada juga yang mengatakan mereka tidak memiliki pengetahuan yang dalam mengenai Islam.” Jennifer merasa tidak ada sesiapa yang mampu memberikannya jawapan yang memuaskan hatinya. Jennifer memutuskan untuk melayari internet untuk mencari jawapan. Dia banyak mengetahui tentang Islam melalui internet.

“Saya tidak percaya bahawa Tuhan mengutuskan nabi lain selepas Jesus. Saya tahu Tuhan tidak akan menciptakan saya dan semua orang di dunia tanpa jawapan atas pertanyaan-pertanyaan kami. Mengapa kami di sini? Mengapa orang-orang selalu mengatakan Tuhan itu tritunggal (trinity), dan ini hanya menguatkan apa yang saya percaya sejak saya berusia 14 tahun bahawa Tuhan itu satu tanpa pendamping bukan seperti konsep triniti di dalam Kristian.”

“Saya mencari kebenaran di atas semua pertanyaan saya dan Islam berjaya menjawab kesemuanya. Muhammad adalah nabi yang luar biasa. Beliau adalah nabi terakhir yang diutuskan Tuhan untuk menyampaikan pesanan terakhir-Nya kepada kita semua.”

Jennifer memutuskan untuk mengenali lebih jauh tentang Nabi Muhammad. “Adakah beliau benar-benar manusia? Adakah beliau benar-benar wujud?” Jennifer terkejut apabila mengetahui bahawa Nabi Muhammad adalah manusia biasa. Bukan saja Muhammad adalah seorang nabi yang menyampaikan wahyu, namun seluruh hidupnya telah dikisahkan. “Saya sangat kagum dan takjub dengan perkara ini, inilah agama saya,” fikirnya. “Kepercayaan dan jalan hidup yang saya cari selama bertahun-tahun adalah Islam,” katanya.

Jennifer mengikuti solat tarawih Ramadhan pada musim gugur 2002, walaupun ketika itu dia belum memeluk Islam. Ketika itu masjid penuh dengan jamaah. “Tidak seperti yang saya sangkakan sebelum ini, masjid hanya dihadiri satu bangsa. Kenyataan yang saya lihat, masjid dipenuhi dengan pelbagai bangsa. Mereka sangat akrab dan selalu memberikan salam Assalamualaikum,” Kata Jennifer terkenang waktu lalu. Ketika itu dia tidak tahu apa maksudnya salam. Dia hanya mengangguk malu.

“Ketika melaksanakan solat. Ini adalah solat pertama saya seperti seorang Muslim,” katanya. Dia sebenarnya tidak tahu apa yang jemaah lain lakukan. Namun, seorang temannya mengatakan ‘ikut saja apa yang mereka lakukan’. Jadi Jennifer hanya ikut perbuatan jemaah lain.

Jennifer terkumat-kamit meniru jamaah lain. Dia juga turut ikut bersujud, tanpa mengetahui maksud dan alasannya. “Saya menghayati pergerakan dan ketenteraman ketika solat. Saya kagum semua Muslim menghadap Kaabah pada setiap kali solat, walaupun dari mana mereka berasal. Berlainan sekali dengan Kristian, amat berlainan,” tegasnya.

Di masjid itu, Jennifer memakai jilbab untuk menghormati para jamaah. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk memakai jilbab. Jadi, dia membeli dua helai selendang (scarf) untuk dipakai. “Saya merasa cantik dan selesa ketika memakai jilbab. Saya boleh berjalan di kawasan awam tanpa diganggu oleh lelaki-lelaki di sekitarnya. Saya juga tidak peduli jika ada yang memandang serong terhadap saya.”

Pulang dari masjid pada hari itu, dia bertekad untuk terus memakai jilbab setiap masa. “Ada yang mengatakan bahawa saya tidak perlu memakai jilbab kerana saya bukanlah seorang Muslim. Saya hanya membalas ini adalah keputusan saya dan ini bukannya urusan mereka. Ketika memakai jilbab, ketenangan dapat dirasai, perasaan yang selesa di dalam hati, bahawa saya telah mengikut perintah Tuhan. Saya tidak peduli terhadap pandangan dan komen negatif dari orang lain.”

Jennifer merasakan belum cukup dengan sekadar berjilbab. Dia pun ikut berpuasa dalam beberapa hari di bulan Ramadan. Dia berfikir bagaimana untuk berterus terang kepada orang tuanya mengenai perubahan dirinya.

Ketika ibu bapanya datang ke New York dari Republik Dominica, Jennifer dalam keadaan untuk mempertimbangkan memeluk Islam. “Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu keluarga saya, terutama ibu saya kerana dia sangat sensetif terhadap perubahan diri saya. Ketika itu saya telah biasa memakai jilbab, jadi saya tidak akan membuang jilbab hanya kerana memikirkan perasaan ibu saya, kerana kewajiban saya adalah kepada Allah, barulah kepada orang tua,” kata Jennifer.

Sebagai langkah awal, Jennifer memberitahu adiknya, Catherine, yang lima tahun lebih muda darinya. Jennifer ingin melihat reaksi Catherine, yang mungkin akan sama dengan reaksi orang tuanya. Jennifer memanggil Catherine dan berkata, “Catherine, saya telah lakukan sesuatu.”

Adiknya tidak terkejut. Ini disebabkan perangai Jennifer yang sering melakukan perkara yang diluar jangkaan. “Apa yang kamu lakukan kali ini Jennifer?”

Jennifer memberitahu bahawa dirinya sedang mempertimbangkan untuk memeluk agama Islam, dan dia kini telah memakai jilbab. Catherine tertawa kuat. Adiknya mengatakan kini saya benar-benar telah ‘melakukannya’ dan orang tua kami akan ‘membunuh’ saya. Adiknya juga seolah-olah tidak percaya bahawa saya tergolong dalam golongan teroris itu.”

Catherine menyambung lagi, “Kamu kakak saya dan saya amat sayangkan kamu. Saya tidak peduli kamu memeluk agama apa pun.” “Dia juga mengatakan bahawa orang tua kami akan mengamuk,” ujar Jennifer. Tidak terhenti di situ, Catherine segera menyambung perbualannya “Jangan beritahu ayah dan ibu tanpa saya ada di sana, sebab saya boleh ketawakan kamu.” Jennifer tahu adiknya hanya bergurau.

Jennifer akhirnya memberanikan diri untuk memberitahu orang tuanya. “Ayah saya boleh menerimanya. Saya beranggapan kebanyakan lelaki dapat menerimanya.”

Namun berlainan dengan ibunya, ibunya sangat marah dan terperanjat. “Dia terus meyakinkan saya bahawa saya telah tersalah langkah dan Islam bukan agama yang betul. Satu perkara yang yang paling membebankannya adalah saya wajib memakai jilbab.”

Ibunya mengambil masa selama 2 minggu untuk bertenang. “Tidak lama selepas itu, mereka ahirnya boleh menerima perubahan saya. Bagaimanapun ibu saya percaya ini hanyalah sementara dan saya akan kembali kepada Kristian,” kata Jennifer. Seminggu selepas itu, Jennifer akhirnya memutuskan untuk mengucap dua kalimah syahadat.

Hari yang ditunggu, Jennifer bangun pagi dengan perasaan bersemangat. Ini adalah harinya, hari dimana dia akan mengucapkan dua kalimah syahadat. Jennifer bersiap-siap dan memandu kereta ke masjid untuk mengucapkan  syahadat.

Di masjid, dia menemui imam dan mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Imam melihatnya dengan senyuman dan bertanya “Anda yakin ini yang benar-benar anda mahukan?” Dengan semangat Jennifer menjawab “Ya, ya, ini adalah keputusan saya.”

“Pada hari itu, disaksikan seluruh saudara seiman, lelaki dan perempuan, bersama-sama menyaksikan saya memeluk Islam,” kata Jennifer. “Hari itu, begitu ramai orang mengucap salam dan bertanyakan kepada saya jika saya memerlukan apa-apa bantuan, mereka akan membantu saya. Saya begitu terharu dan beruntung. Di sini lah saya akan bersama keluarga baru, sebuah keluarga yang datangnya dari seluruh pelusuk bumi.”

“Pada malam Jumaat itu saya tidur sebagai seorang Muslim, saya mengalami mimpi yang indah. Saya berada di sebuah lembah yang dipenuhi rumput yang hijau dan indah. Bukitannya begitu indah, tidak pernah saya lihat sepanjang hidup ini. Saya berjalan di sana dan menuju ke arah seorang lelaki yang berpakaian putih. Dia juga berjalan ke arah saya. Wajahnya samar, tidak sama dengan wajah manusia yang sebenarnya, namun terang seperti matahari. Saya dapat merasakan ketenangan. Dia memegang tangan saya dan kami berjalan bersama ke arah sebuah batu yang besar. Di batu itu dia duduk dan saya duduk di rumput. Dia kemudian berkata kepada saya ‘Selamat datang ke Islam’.”

Ketika terbangun, Jennifer merasakan perasaan yang begitu indah di dalam hatinya. “Saya fikir inilah Rasulullah. Dia datang untuk menyambut saya masuk Islam. Tetapi saya mendapati bahawa itu bukanlah Nabi Muhammad, tetapi itu adalah malaikat Allah, kerana malaikat tidak memiliki wajah manusia, namun wajahnya samar.”

Jennifer merasakan dirinya sangat istimewa semenjak hari itu. “Seorang malaikat, malaikat Allah datang untuk menyambut saya kepada agama Allah, agama saya. Agama yang begitu saya inginkan sejak kecil. Islam adalah agama yang sebenarnya.”

Jennifer Fayed kini menjadi penulis yang telah menetap di Carolina Utara, AS. Penulisannya telah memberikan inspirasi kepada orang ramai. Jennifer memiliki sarjana di bidang pemasaran, dan anggota aktif Muslimah Writers Alliance.

Read more...

Fitnah : Al-Quran Berbaris Dan Tidak Berbaris

>> Tuesday, June 28, 2011

Al-Quran berusia 1400 tahun, tidak mempunyai baris

Baru-baru ini, sesetengah golongan menimbulkan isu mengenai al-Quran berbaris dan al-Quran tidak berbaris. Pada masa yang sama golongan ini mempersoalkan ketulenan al-Quran berbaris dengan melemparkan tohmahan tidak berasas bahawa al-Quran berbaris itu sudah diseleweng. Sungguh keras tohmahan itu, ia juga satu fitnah. Sungguh cetek juga pengetahuan golongan itu terhadap realiti. Isu ini ditimbulkan oleh golongan kafir yang cuba mencari kesalahan Al-Quran. Malangnya ada segelintir umat Islam yang terpengaruh dengan hal ini.

Saya hanya boleh tersenyum kepada golongan ini, mereka mungkin tidak tahu dua jenis realiti. Satu, realiti sejarah dan satu lagi ialah ‘realiti sebab’.

Realiti Sejarah (Mengapa Disusun)

Dari sudut sejarah penyusunan ayat-ayat al-Quran, ia tidak perlu diterangkan secara panjang lebar di sini kerana umum yang celik sejarah Islam sudah mengetahui sejarah penyusunan itu dan mengapa ia dilakukan. Penyusunan al-Quran dibuat untuk memudahkan umat Islam membaca dan menghafal.

Bagaimanapun, kita hanya imbas sedikit mengenai sejarah penyusunan al-Quran sebagai maklumat kepada yang belum mengenali sejarah penyusunan mushaf al-Quran.

Ketika zaman kewahyuan dan kenabian Rasulullah, ayat-ayat wahyu yang diturunkan telah ditulis oleh para sahabat terutama Ali, Muawiyah, `Ubai bin K`ab dan Zaid bin Thabit,. Ayat-ayat suci itu pula ditulis di atas pelepah kurma, kulit binatang dan sebagainya. Ia ditulis bagi memudahkan umat pada ketika itu untuk membaca dan menghafal ayat-ayat yang diturunkan. Malah, ayat-ayat itu ditulis di hadapan Rasulullah sendiri oleh para sahabat, lazimnya pada ketika selepas wahyu diturunkan. Proses serupa itu berlarutan sehingga sejarah kewahyuan tamat apabila baginda wafat.

Al-Quran masih lagi di catatkan di atas kulit kayu di Afrika

Walaupun belum ditulis secara mushaf (bahasa mudahnya ialah dalam bentuk buku), al-Quran sebenarnya sudah sedia mushaf dalam ingatan umat Islam (para sahabat yang taat) ketika itu. Selepas kewafatan Rasulullah, ayat-ayat ini dikumpul semasa zaman khalifah-rasyidin.

Kerja pengumpulan dan merekodkan al-Quran dalam bentuk tulisan secara serius bermula ketika zaman kekhalifahan Abu Bakar yang begitu garang memerangi golongan murtad. Perang melawan golongan murtad juga menyebabkan sebilangan besar umat Islam yang menghafal al-Quran telah terkorban.

Kebimbangan terhadap bilangan penghafal al-Quran yang semakin berkurangan (ramai gugur syahid dalam memerangi golongan murtad) menyebabkan Umar yang risau dengan perkembangan itu telah berjumpa dengan Abu Bakar. Umar mencadangkan supaya al-Quran ditulis dan disusun dalam bentuk buku kerana para hafiz sudah ramai terkorban.

Abu Bakar pada mulanya menolak cadangan itu. Namun selepas khuatir melihat bilangan para penghafal yang ramai terkorban, maka difikir semula terhadap cadangan itu selepas beberapa kali dipujuk Umar. Abu Bakar kemudian bertemu Zaid bin Sabeit (Zaid adalah antara tahfiz terawal sejak tahun-tahun kenabian Rasulullah) dan menceritakan kebimbangannya kepada Zaid mengenai kemungkinan satu masa nanti sudah tiada lagi umat yang mengingati ayat-ayat al-Quran.

Quran kemudian ditulis di atas lembaran-lembaran dan diserah kepada Abu Bakar, kemudian pada tahun 13H iaitu setelah mangkat Abu Bakar, lembaran itu diserahkan pula kepada Umar. Sesudah mangkat Umar, diserahkan pula kepada anaknya iaitu Hafsah. Kemudian semasa kekhalifahan Uthman, lembaran itu diambil semula daripada Hafsah. Demikian serba ringkas mengenai sejarah penyusunan mushaf. Jika ingin mengetahui lebih terperinci mengenai sejarah penyusunan al-Quran, sila rujuk bahan yang berkaitan.

Bermula zaman khalifah Uthman, timbul pula masalah pembacaan al-Quran dalam pelbagai dialek Arab ketika itu. Maka, tiba masanya supaya al-Quran disusun sebutan dialeknya supaya tepat mengikut cara sebutan lidah Rasulullah dalam dialek Quraisy. Ia kerana al-Quran diturunkan kepada Rasulullah dan diucapkan baginda dalam sebutan ‘asal’ mengikut lidah Rasulullah semasa ayat-ayat itu diturunkan. Rasulullah adalah ‘penerima wahyu al-Quran’, sedarlah realiti ini. Sebutan asal di sini pula bermaksud sebutan ayat suci seperti yang disebut oleh Rasulullah dalam dialek Quraisy kerana Rasulullah adalah seorang Arab dari kelompok Quraisy. Maka, kaedah sebutan (dialek) al-Quran dibuat mengikut cara ia disebut oleh Rasulullah, setiap perkataan perlu mengikut lenggok lidah Rasulullah dalam dialek Quraisy, ia perlu, kerana begitulah bunyinya (dari segi dialek) ketika ayat al-Quran keluar dari mulut Rasulullah semasa disampaikan Jibrail.

Realiti Sebab (Mengapa Mempunyai Baris)

Baris dapat mewujudkan sebutan yang seragam di seluruh dunia

Jika seseorang mempelajari hukum bahasa, dia sudah tentu tahu apa itu ‘fonetik’ atau ‘phonetic’ atau bahasa mudahnya ialah sistem ejaan mengikut bunyi dialek yang menggunakan simbol tertentu bagi mewakilkan ‘bunyi asal’ sesuatu perkataan itu. Sistem simbol bagi mewakilkan ‘sesuatu bunyi tepat’ itu juga harus dipelajari supaya ia boleh disebut dengan tepat mengikut dialek asalnya.

Baris-baris (fatahah, kasroh, dommah) dan simbol-simbol (sukun, syaddah dan sebagainya) diletakkan dalam mushaf bagi memberi penekanan ‘tone’ kepada sesuatu perkataan supaya ia tepat dengan dialek seperti yang diucapkan Rasulullah mengikut lidah dialek Quraisy. Ia juga bagi mewujudkan sebutan yang seragam, tidak pelbagai, iaitu sebutan bagi sesuatu ayat atau perkataan itu tepat dari segi sebutan dan maknanya.

Perletakan baris juga adalah untuk membantu bacaan supaya sebutan itu tepat dari segi dialek dan cara yang sepatutnya ia disebut. Sebelum mushaf diletakkan baris, al-Quran disebut, dilafaz dan dibaca dalam pelbagai dialek Arab. Namun selepas baris-baris diletakkan, ia membantu pembacaan supaya sebutannya menjadi standard mengikut dialek yang disebut oleh Rasulullah, seperti dilafaz oleh nabi semasa wahyu itu diturunkan.

Namun kalau kita merenung realiti ‘proses belajar’ membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa orang Arab sendiri perlu belajar mengenal baris sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul. Ini realiti.

Walaupun al-Quran itu dalam bahasa Arab, namun orang Arab sendiri perlu belajar mengenal baris, perlu belajar mengeja mengikut baris, perlu mengenal hukum-hukum bacaan, perlu belajar tajwid sebelum dapat membaca al-Quran dengan betul. Ini juga realiti.

Ia juga bagi menjaga kesucian al-Quran itu sendiri. Orang Arab juga ada yang Kristian, tidak semua Islam. Jika orang Arab tidak perlu belajar membaca al-Quran, maka orang Arab beragama Kristian juga akan dapat memahami maksud al-Quran dengan mudah. Tapi, perkara ini (orang Arab Kristian membaca al-Quran dan mentafsir sesuka hati) akan dapat dikawal sekiranya diletakkan baris. Ini bemakna, orang Arab juga perlu belajar membaca al-Quran, perlu mengenal baris, perlu mengenal simbol dan perlu tahu setiap tone dalam menyebut sesuatu perkataan al-Quran bagi mendapatkan maksud yang tepat.

Semasa saya masih belajar (dalam negara), saya ada mengenali seorang pensyarah berbangsa Arab (rakyat Mesir) dan beberapa kali berkunjung ke rumahnya di kawasan kampus. Saya pernah berkata kepada pensyarah itu: “Senang ya orang Arab, tak perlu susah-susah belajar mengenal baris untuk belajar al-Quran.”

Tapi pensyarah saya balas: “eh.. orang Arab pun kena belajar kenal baris. kalau tak kenal baris, macam mana nak baca al-Quran? Baris itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran.”

“cuba kamu pergi di bilik hujung itu (sambil menunjukkan jari). Cuba kamu dengar apa yang isteri saya sedang buat bersama anak saya,” kata pensyarah itu yang fasih berbahasa Melayu kerana sudah lebih 8 tahun mengajar di universiti tempatan tempat saya belajar dulu.

Saya pun pergi ke bilik hujung di rumah pensyarah saya itu dengan izinnya sendiri, saya dengar:

“.. Sa fataha, sa. Jim fataha, ja. Ha fataha, ha. Qho fataha, qho....” saya dengar isteri pensyarah sedang mengajar anaknya mengeja mengenal baris.

Jawapan balas daripada pensyarah dan pengalaman itu buat saya tersedar satu realiti, realiti terhadap kepentingan baris itu sendiri. Baris itulah yang membezakan bahasa Arab dengan bahasa al-Quran. Baris itu diletakkan bagi memelihara kesucian al-Quran itu sendiri. Ia adalah ciri unik dalam menjaga kesucian al-Quran.

Jika ada lagi yang masih semberono mengatakan al-Quran berbaris itu tidak tulen, dan mengatakan al-Quran yang asal itu tidak berbaris, maka fikir semula.

Al-Quran diturunkan secara lisan, bukan secara bertulisan. Maka di mana asasnya dakwaan pihak berkenaan mengenai al-Quran itu asalnya tiada baris sedangkan al-Quran itu diturunkan secara lisan, jika secara lisan, dari mana wujud pertikaian barisnya?

Al-Quran diletakkan baris bagi menjadikan sesuatu perkataan atau ayat itu mengikut cara sebutan yang diucapkan Rasulullah sepertimana ia diturunkan dan dilafazkan semasa Jibrail melakukan tugasnya menurunkan wahyu kepada baginda. Ia juga bagi memudahkan bacaan dalam sebutan yang betul, seterusnya memudahkan proses menghafal.

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” 
(Quran, al-Hijr: 9)

Jika ada yang mempertikai baris al-Quran, cuba fikir semula dengan waras. Al-Quran itu dibukukan (mushaf) dengan baris-baris supaya mudah dibaca dan dihafal serta sebagai usaha dijauhkan dari tangan-tangan kafir yang sentiasa mahu mengubah isi kandungannya bagi menyesatkan akidah Islam. Juga supaya muncul generasi tahfiz, adalah lebih baik belajar menghafal al-Quran daripada mempertikaikan barisnya.

Golongan yang mempertikai baris al-Quran itu pula, adakah mereka hafal al-Quran? Atau sekadar tahu mempertikai dan hanya merujuk terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu sahaja? Jika merujuk terjemahan al-Quran dalam bahasa Melayu, memang benarlah al-Quran itu tiada baris, kerana bahasa Melayu memang tiada baris. Tetapi bahasa al-Quran diletakkan baris bagi menjaga ketulenan dan kesuciannya, ia juga bagi membezakannya dengan bahasa Arab yang difahami semua bangsa Arab tidak kira Arab Muslim atau Arab kafir. Jika diletakkan baris, ia hanya boleh dibaca oleh orang Islam yang tahu membacanya selepas belajar cara membacanya.

Kepada golongan yang mempertikai baris al-Quran, nasihat di sini ialah berkawanlah dengan semua orang, jangan taksub dengan fahaman sendiri yang sempit. Berkawanlah dengan semua orang supaya akan dapat banyak pengetahuan berguna, seperti pengalaman yang saya ceritakan tadi. Mohon maaf jika saya tersilap dalam menyampaikan maksud artikel ini. jika ada yang masih belum jelas, rujuklah kepada mereka yang lebih berilmu dalam hal ini. Saya hanya sekadar menyampaikan mengikut sudut pandangan yang saya fahami.

Allah lebih mengetahui terhadap segala perancangan-Nya dalam memelihara agama-Nya.

Read more...

Tujuh Perkara Ganjil Jasad Di Dalam Kubur

>> Sunday, June 26, 2011

Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, “Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat.”

Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?” tanya pemuda itu.

” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain,” jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, ” Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,”

Pemuda itu menyambung lagi, ” Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu.”

” Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda,” balas ahli ibadah itu lagi.

” Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?”

Jawab ahli ibadah itu, ” Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya.”

Kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya,” sambung pemuda itu.

” Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda,” jelas ahli ibadah tersebut.

” Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya,”

” Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya,” jawab ahli ibadah tadi.

” Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?” tanya pemuda itu lagi.

Jawab ahli ibadah tersebut, ” Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya.”

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. 

Meninggalkan dunia dengan senyuman

Wallahua’lam..

Read more...

Perlu ber 'Bin' kan Abdullah Apabila Memeluk Islam?

>> Thursday, June 23, 2011

Nama asalnya Ravi A/L Chandran. Ditukar kepada Saiful Islam Bin Abdullah, Saiful pergi ke rumah bapanya lalu menunjukkan kad yang membuktikan ia telah masuk Islam, ayahnya menerima keputusan itu dengan baik, tetapi, ayahnya berkata kepada Saiful, aku tidak pernah menghalang kamu untuk menerima Islam, tetapi, apabila kamu menerima Islam, kamu buang namaku, adakah Islam sebegitu kejam membuang ibu bapa ?

Penukaran nasab seseorang yang menganut Islam kepada Abdullah hanya berlaku di negara Malaysia. Dan tidak berlaku di negara-negara besar seperti Indonesia dan Arab Saudi.

Justeru, di negara ini jika ada persatuan saudara baru yang ratusan anggotanya kesemuannya pasti ber "bin" yang sama "Abdullah".

Tidak Berlaku Pada Zaman Sahabat

Pada zaman Nabi S.A.W jika baginda amalkan hal ini, tentulah majoriti para sahabat akan ber "bin" kan "Abdullah". Maka tidak adalah lagi disebut Umar bin al-Khattab, sebaliknya Umar bin Abdullah, tidaklah Uthman Bin Affan sebaliknya Uthman Bin Abdullah. Juga tidak adalah lagi Ali Bin Abi Talib, sebaliknya Ali bin Abdullah. Hal ini kerana kesemua bapa-bapa mereka tidak menganut Islam. Adakah Rasulullah S.A.W menyuruh mereka-mereka ini menukar nama bapa mereka kepada Abdullah ? tidak sama sekali.

Orang Arab amat menjaga salasilah keterunan mereka sehingga ke beberapa peringkat. Merujuk dalam kitab "Riyadh as-salihin, karangan Imam An-Nawawi, menyebutkan : "Amir al-Mukminin Umar Al-Khattab bin Nufail Bin Abd al-Uzza. Abd al-Uzza bermaksud " hamba sembahan berhala". Jika dilihat nama datuk Nabi....bin Kilab. Kilab bermaksud anjing. Adakah Islam mengubah nama-nama ini kepada 'Abdullah" ? tidak sama sekali.

Patung Al-Uzza di Kuil Manatu, Petra

Dalil-dalilnya :

Firman Allah S.W.T :Maksudnya : 

"Panggilan anak-anak angkat itu ( dengan ber "bin" kan ) kepada bapa-bapa mereke sendiri, cara itulah yang lebih adil disisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggillah mereka sebagai saudara-saudara kamu seagama dan sebagai maula-maula kamu. Kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu. Dan ingatlah sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani 
( Surah AL-AHZAB : 5 )

Al-Imam At-Tabari dalam tafsirnya mengatakan, ayat di atas, adalah dalil bahawa tidak boleh menasabkan sesorang kepada bukan bapanya. Islam amat menjaga keterunan.Sabda Rasulullah S.A.W :Maksudnya : "Sesiapa yang mengaku anak kepada bukan bapanya, sedangkan dia tahu itu bukan bapanya, maka syurga haram ke atasnya." 
( Riwayat Al-Bukhari )

Sabda Rasulullah S.A.W :Maksudnya : 

" Antara pendustaan terbesar ialah seseorang mengaku anak kepada bukan bapanya" 
( Riwayat Al-Bukhari )

Dr Wahbah Az-Zuhaili

Kata Dr Wahbah Az-Zuhaili dalam karyanya al-fiqh al-islami wa adillatuhu : "Keadilan hak menuntut dan mewajibkan agar dinasabkan anak kepada bapanya yang hakiki. Bukan bapa rekaan. Islam agama hak dan keadilan, sesiapa yang ada bapa yang dketahui, maka nasabkan kepada bapanya. Ini semua demi mencegah perubahan hakikat sebenar.

"Abu Bakr al-Jazairi dengan lebih sinis dalam tafsirnya Aisar at-Tafasir menyebut : "Wajib mem "bin" kan anak-anak angkat kepada bapanya yang dikenali sekalipun bapanya seekor keldai.

"Nabi Muhammad S.A.W hanya mengubah nama individu yang menganut Islam jika namanya mengandungi makna yang buruk, tetapi tidak menukar nama bapanya. Umpamanya baginda mengubah sahabat Abd asy-Syams bin Sokhr kepada Abd Rahman bin Sokhr. Hal ini kerana Abd asy-Syams bermaksud hamba matahari. Namun nama Sokhr yang bermaksud batu tetap dikekalkan.

Ini jelas Islam tidak pernah melarang umatnya mengekalkan nama asal bapa dan ibu asal.

Read more...

Islam Dan Sistem Kewangan Antarabangsa - Edisi Kemaskini

>> Saturday, June 18, 2011

Artikel oleh : syurgadidunia.blogspot.com 

Alhamdulillah, akhirnya berjaya juga saya menyiapkan video ceramah oleh Sheikh Imran Hossein mengenai sistem kewangan antarabangsa dari perspektif islam. Saya mengemaskinikan semula terjemahan dan juga membesarkan sarikata agar lebih mudah dibaca. Keseluruhan 12 klip video asal juga saya telah gabungkan agar menjadi satu ceramah panjang agar memudahkan rakan-rakan menonton tanpa gangguan.

Didalam ceramah ini Sheikh Imran telah menjelaskan secara mudah mengenai sistem kewangan antarabangsa yang penuh penipuan ini. Inflasi bukankah suatu yang normal, bukan sepatutnya satu norma kehidupan yang kita anggap perkara biasa. Inflasi adalah cara bagaimana kekayaan manusia di curi secara senyap oleh mereka yang mereka cipta sistem itu sendiri, dan sudah pastilah mereka yang menyokong sistem tersebut, termasuklah pemimpin-pemimpin yang buta dan masih menongkat langit menggunakan sistem ini untuk memerintah negara juga mendapat tempias dari habuan dari sistem tersebut.

Moga video ini menjadi "wake-up call" untuk semua lapisan masyarakat baik mak ayah kita mahupun anak-anak yang masih bersekolah. Walaupun jika hanya seorang sahaja sekalipun yang sedar setelah melihat video dengan terjemahan ini, penat lelah saya sudah berbaloi. Harap tolong sebarkan.


Ceramah oleh Sheikh Imran Hossein dari Trinidad Tobago mengenai sistem kewangan antarabangsa dari sudut Islam. Sistem yang menindas kesemua umat manusia ini diasaskan dengan penipuan oleh pihak yang mahu menghambakan manusia dan menakluki dunia. Tontonan wajib bagi mereka yang mahu melihat dunia ini dari sudut yang berbeza.

Read more...

Minum Berdiri : Antara Hukum Dan Kesannya

>> Friday, June 17, 2011

Hadith

Islam telah menetapkan adab bagi umatnya dalam melakukan sesuatu kegiatan bagi mendapat kesejahteraan. Begitu juga islam telah menetapkan adab-adab ketika minum.

Terdapat hadis yang menunjukkan tegahan minum berdiri ialah hadis yang diriwayat oleh muslim iaitu: Terjemahan: dari anas ra, sesungguhnya nabi Muhammad saw melarang minum berdiri. Hadis ini merupakan hadis yang diriwayatkan oleh muslim didalam kitab minuman, bab tegahan minum berdiri, hadis yang ke 3771

Kajian Dari Sudut Sains

Di antara sebab larangan minum berdiri ialah, menurut pakar perubatan Dr Abdul Razzak Al-Kailani “Sesungguhnya makan dan minum dalam keadaan duduk lebih baik dari segi kesihatan, lebih selamat, lebih puas. Dimana makanan dan minuman akan melalui dinding perut dengan perlahan-lahan.

Minum berdiri menyebabkan cecair akan jatuh ke dasar perut dengan laju dan akan melanggar lapisan perut. Kalau perkara ini sering berlaku dan dalam jangka masa panjang akan menyebabkan perut menjadi longgar dan jatuh sehingga menyebabkan minuman susah untuk dihadam. Begitu juga dengan makanan.

Menurut pandangan Dr Ibrahim Ar-Rawi, apabila seseorang itu berdiri ototnya menjadi tegang dan pada masa yang sama sistem imbangan pada sistem saraf pusat (central nervous system) dalam keadaan terlampau aktif mengawal semua otot, untuk melakukan proses pengimbangan dan berdiri tegak.

Central nervous system (2) adalah gabungan otak (1) dan saraf tunjang (3)

Ia adalah proses gabungan diantara sistem saraf dan sistem otot dalam satu masa yang menyebabkan manusia tidak mampu mengawal kedua-duanya untuk rehat. Keadaan otot yang rehat adalah syarat yang terpenting ketika makan dan minum dan keadaan ini hanya wujud ketika seseorang itu duduk.

Apabila duduk maka sistem saraf dan sistem otot dalam keadaan tenang akan menjadi aktif serta sistem penghadaman akan bertambah kemampuan (ability) untuk menerima makanan dan minuman. Ini akan menyerap (assimilation) makanan dengan cara yang betul.

Namun demikian diharuskan minum berdiri ditempat yang tidak sesuai untuk duduk seperti tempat yang terlampau sesak. Ini adalah kerana Nabi s.a.w pernah minum berdiri, ini berdasarkan kepada hadis Ibn Abbas yang menyatakan rasulullah minum air zam-zam berdiri.

Persoalannya di sini, mengapa rasulullah minum air zam-zam dalam keadaan berdiri.

Air zam-zam mengandungi khasiat yang tinggi

Menurut kajian pakar, air zam-zam mengandungi fluorida yang memiliki daya efektif membunuh kuman serta ia mengandungi kalsium dan garam magnesium yang tinggi berbanding air biasa, dari segi saintifik air zam-zam bersifat alkali, jadi air zam-zam boleh meneutralkan asid hidroklorik yang terhasil di dalam perut dan mengurangkan pedih ulu hati.

Jadi inilah sebab rasulullah minum air zam-zam berdiri supaya air tersebut dapat meneutralkan asid yang terhasil dalam perut dengan cepat.

Selain itu, air zam-zam juga mengandungi iodin, sulfat dan nitrat. Kandungan makronutrien yang tinggi khususnya magnesium, sodium dan potassium menyebabkan air zam-zam bersifat nutritif berbanding sumber lain, inilah yang membuatkan air zam-zam dapat menyegarkan para jemaah haji yang meminumnya dan memberi ketahanan antibodi kepada orang yang meminumnya.

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. 
( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Wallahua'lam 

Read more...

Misteri Penemuan Bahtera Nabi Nuh as

>> Wednesday, June 15, 2011

Gambaran bahtera Nabi Nuh as mengikut kajian

Dan (setelah itu) diwahyukan kepada Nabi Nuh: Bahawa sesungguhnya tidak akan beriman lagi dari kaummu melainkan orang-orang yang telah sedia beriman. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita tentang apa yang mereka sentiasa lakukan. (36)Dan buatlah bahtera dengan pengawasan serta kawalan Kami dan dengan panduan wahyu Kami (tentang cara membuatnya) dan janganlah engkau merayu kepadaKu untuk menolong kaum yang zalim itu, kerana sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan (dengan taufan). (37) Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu dan tiap-tiap kali sepuak dari kaumnya melalui tempat dia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu. (38) Maka kamu akan mengetahui siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya di dunia dan yang akan ditimpakan pula dengan azab yang kekal pada hari akhirat kelak. (39)(Nabi Nuh terus bekerja) sehingga apabila datang hukum Kami untuk membinasakan mereka dan air memancut-mancut dari muka bumi (yang menandakan kedatangan taufan), Kami berfirman kepada Nabi Nuh: Bawalah dalam bahtera itu dua dari tiap-tiap sejenis haiwan (jantan dan betina) dan bawalah ahlimu kecuali orang yang telah ditetapkan hukuman azab atasnya (disebabkan kekufurannya), juga bawalah orang-orang beriman dan tidak ada orang-orang yang beriman yang turut bersama-samanya, melainkan sedikit sahaja. (40) Dan (ketika itu) berkatalah Nabi Nuh (kepada pengikut-pengikutnya yang beriman): Naiklah kamu ke bahtera itu sambil berkata: Dengan nama Allah bergerak lajunya dan berhentinya. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (41) (Mereka semua naik) dan bahtera itupun bergerak laju membawa mereka dalam ombak yang seperti gunung-ganang dan (sebelum itu) Nabi Nuh memanggil anaknya, yang sedang berada di tempat yang terpisah daripadanya: Wahai anakku, naiklah bersama-sama kami dan janganlah engkau tinggal dengan orang-orang yang kafir. (42) Anaknya menjawab: Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang dapat menyelamatkan aku daripada ditenggelamkan oleh air. Nabi Nuh berkata: Hari ini tidak ada sesuatupun yang akan dapat melindungi dari azab Allah, kecuali orang yang dikasihani olehNya dan dengan serta-merta ombak itu pun memisahkan antara keduanya, lalu menjadilah dia (anak yang derhaka itu) dari orang-orang yang ditenggelamkan oleh taufan. (43) Dan (setelah binasanya kaum kafir itu) diperintahkan kepada bumi dan langit dengan berkata: Wahai bumi telanlah airmu dan wahai langit berhentilah dari curahan hujanmu dan (ketika itu) surutlah air, serta terlaksanalah perintah (Allah) itu dan bahtera Nabi Nuh itupun berhenti di atas gunung "Judi" serta diingatkan (kepada kaum kafir umumnya bahawa): Kebinasaanlah akhirnya bagi orang-orang yang zalim. (44) Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri dan bahawa janjiMu itu adalah benar dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim yang menghukum dengan seadil-adilnya. (45) Allah berfirman: Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana dia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah engkau memohon kepadaKu sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil. (46) Nabi Nuh berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada memohon sesuatu yang aku tidak mempunyai pengetahuan mengenainya dan jika Engkau tidak mengampunkan dosaku dan memberi rahmat kepadaku, nescaya menjadilah aku dari orang-orang yang rugi. (47)Allah berfirman: Wahai Nuh! Turunlah (dari bahtera itu) dengan selamat dan berkat dari Kami kepadamu dan kepada umat-umat yang bersama-samamu dan (dalam pada itu) ada umat-umat dari keturunan mereka yang Kami akan beri kesenangan kepadanya (dalam kehidupan dunia), kemudian mereka akan dikenakan azab dari Kami yang tidak terperi sakitnya. (48) (Kisah Nabi Nuh) itu adalah dari perkara-perkara yang ghaib yang Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad), yang engkau dan kaum engkau tidak mengetahuinya sebelum ini. Oleh itu, bersabarlah. Sesungguhnya kesudahan yang baik (yang membawa kejayaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat) adalah bagi orang-orang yang bertakwa. (49)
( Surah Hud : ayat 36-49 )

Lebih kurang 12000 tahun yang lalu, peradaban manusia sebelum peradaban kita sekarang pernah mengalami suatu bencana banjir yang sangat dasyat. Dan banjir itu juga mengakibatkan tenggelamnya daratan yang luas. 

Secara berturut-turut pakar arkeologi menjumpai beberapa bukti yang secara langsung atau pun tidak mengenai banjir dasyat yang terjadi waktu itu.

Kisah dalam Alkitab yang berkaitan dengan banjir dasyat telah menyebutkan, “Banjir meluap dan melimpah selama 40 malam, air pasang menuju ke atas, perahu mengambang dari atas permukaan bumi” : “Arus air meluap dahsyat di atas permukaan bumi, seluruh pegunungan tenggelam oleh air pasang”: “5 bulan kemudian, perahu berhenti di atas gunung Ararat; dan setelah 4 bulan berlalu, ketika daratan sudah kering, Nabi Nuh meninggalkan perahunya.

Sejumlah besar bekas peninggalan prasejarah telah dijumpai oleh pakar arkeologi. Contohnya seperti, daratan Atlantis, budaya Yunani, bangunan di dasar laut dan banyak lagi, kemungkinan besar tenggelam disebabkan banjir dasyat waktu itu. Ada yang menganggarkan banjir dasyat itu terjadi 5000 tahun yang lalu, mengikuti perkiraan ahli astronomi, perahu Nabi Nuh mula dibuat pada 2465 SM dan hujan mulai turun pada 2345 SM.


Setelah perahu Nabi Nuh mendarat di gunung Ararat, bermulalah kehidupan baru manusia. Mereka yang selamat menjalankan hidup baru diserata dunia. Begitu juga dengan binatang-binatang. Biji-biji tanaman kembali disemai. 

Kerana dianggap melahirkan generasi manusia yang baru setelah Nabi Adam, Nabi Nuh mendapat gelar The Second Father of Human Being (Bapa Manusia Kedua). Dari generasi inilah, kebudayaan dan peradaban manusia dikembangkan. Selain di kawasan Ararat, Mesopotamia yang ribuan tahun kemudiannya menjadi pusat kejayaan Babylon.

Dr. Robert Ballard

Sekumpulan pengkaji underwater surveyors yang diketuai oleh Dr. Robert Ballard, yang juga telah menjumpai Titanic, telah menjumpai sebuah bangunan lama berusia kira-kira 7500 tahun di dasar Laut Hitam, berhampiran pantai Turki. Mereka telah menjumpai struktur bangunan dari batu dan kayu pada kedalaman beberapa ratus kaki. Penemuan mereka menjadi bukti dari kejadian banjir besar di zaman Nabi Nuh seperti yang diceritakan di dalam Alkitab dan Al-Qur”an.

Menurut teori mereka, banjir besar tersebut berlaku disebabkan oleh pencairan gletser dari tanah tinggi di Eropah. “Ini merupakan satu penemuan yang sangat menakjubkan,” kata Dr. Ballard di dalam rancangan National Geographic Society bertajuk “Research Ship Northern Horizon”.

Ballard menerangkan, “Banyak kes yang terjadi apabila air tawar dari sebuah telaga berubah menjadi air masin dan kesan banjir besar tersebut menyebabkan kawasan daratan yang sangat luas berubah menjadi dasar laut”.

Gunung Ararat di Turki

Kesan tapak bahtera Nabi Nuh as


Kerja pengukuran yang dijalankan

Misteri Bahtera Nabi Nuh as

Sebuah pasukan yang melibatkan ilmuwan dari Amerika dan Turki telah membuat penyelidikan terhadap misteri gunung Ararat. Mereka mahu mencari sisa peninggalan perahu Nabi Nuh.

Apakah kisah kapal besar Nabi Nuh yang tercatat dalam kitab suci merupakan peristiwa yang nyata ataupun mitos semata-mata? Selama ini para ahli sarjana selalu berdebat, tidak ada seorangpun yang beranggapan bahawa sehingga kini sisa-sisa peninggalan perahu Nabi Nuh masih tersimpan di puncak gunung Ararat Turki.

Menurut laporan media cetak Amerika pada 26 April 2004, sebuah pasukan pengkaji yang seramai 10 orang telah dibentuk oleh pengembara Amerika dan Turki akan mendekati puncak gunung yang misteri itu, untuk mencari jejak “kapal besar Nabi Nuh” (The Great Noah Ark).

McGivern (Ketua The Trinity Corporation of Honolulu, Hawaii) mengatakan, bahawa sebelum mereka memasuki pegunungan Ararat, para anggota kumpulan perlu melakukan persiapan kerja yang rapi. Contohnya seperti, mempelajari data-data yang berkaitan dengan ciri geografi dan bentuk permukaan bumi serta adat istiadat masyarakat di daerah sekitar gunung Ararat.

Menurutnya, masalah terbesar yang dihadapi mereka waktu itu adalah bagaimana untuk melakukan komunikasi dengan penduduk asli setempat. Kerana gunung-gunung yang tinggi itu dianggap suci oleh para penduduk asli setempat, dan mereka yakin akan kewujudan “Perahu Nabi Nuh”, oleh sebab itulah selama berabad-abad, mereka tidak pernah bersedia menceritakan tentang misteri yang berkaitan dengan gunung-gunung itu kepada orang luar.

Sebagian besar anggota kumpulan penyelidik mengatakan, bahawa bagi mereka yang memahami kitab Injil, jika kewujudan “Perahu Nabi Nuh” benar-benar terbukti, maka itu akan menjadi simbol teragung sepanjang sejarah manusia, dan menjadi sebuah rekod perkembangan evolusi manusia. Seperti kisah Nabi Nuh dan perahunya yang selamat dalam banjir besar yang tercantum di dalam Alkitab dan Al-Qur’an.

Penemuan Awal

Sebenarnya, pencarian terhadap perahu Nabi Nuh sudah cukup lama dilakukan. Setahun setelah terjadi gempa bumi dan letusan gunung berapi dasyat pada 2 Mei 1883 yang telah memorak-porandakan kampung di kaki gunung Ararat, kerajaan Turki menghantar kumpulan ekspedisi untuk melihat kesan gemba tersebut. Kapten Gayscoyne, duta Britain di Istanbul, turut dalam ekspedisi itu. Ketika itulah mereka menjumpai “Perahu Nabi Nuh”.

lanjutan dari penemuan itu, pada 1917, Pemimpin Rusia Tsar Nicholas II telah mengirim 150 orang pakar dari pelbagai bidang dan juga tentara untuk mencari dan menyelidiki perahu Nabi Nuh. Selepas sebulan, kumpulan ekspedisi itu baru boleh mencapai ke puncak Ararat.

Dalam keadaan yang kagum, mereka mengambil gambar sebanyak mungkin. Mereka mengukur panjang perahu Nuh dan didapati berukuran panjang 500 kaki, lebar 83 kaki dan tinggi 50 kaki, sebahagian lainnya tenggelam di dalam salji.

Hasil dari kajian itu mahu dibawa pulang dan diserahkan kepada Tsar, malangnya sebelum sempat melaporkan kajian itu ke tangan Tsar, Revolusi Bolshevik Komunis (1917) meletus. Laporan itu akhirnya jatuh ke tangan Jeneral Leon Trotsky. Sehingga sampai sekarang masih belum diketahui, adakah laporan itu masih disimpan atau dimusnahkan.

Pada tahun 1957, beberapa juruterbang Angkatan Udara Turki sempat menyelidik puncak gunung Ararat, dan menjumpai objek yang berbentuk sebuah perahu. 

Disebabkan perang dingin Soviet Union dengan AS, penemuan itu tidak dikaji dengan lanjut dengan alasan “mencegah mata-mata AS mendekati Soviet.  Soviet melarang setiap pesawat memasuki sekitar pegunungan Ararat. Larangan itu baru dihapuskan pada 1982, dan sejak itu berbagai kumpulan ekspedisi mula datang ke pergunungan Ararat, namun tidak ada yang mampu membuktikan.

Pada 1995, penganalisis gambar satelit Amerika, Bolsey Taylor melihat satu objek misteri yang disebut “keajaiban gunung Ararat” itu. Beliau menghabiskan beberapa tahun dalam kajiannya, mengumpulkan sejumlah besar gambar dari satelit, dan mengklasifikasi foto satelit tersebut, akhirnya didapati bahawa itu adalah sebuah objek raksasa yang panjangnya 180 meter. 

Namun, mereka juga tidak tahu objek apa sebenarnya itu. Menurutnya mungkin itu merupakan benteng kuno Turki atau kemungkinan juga itu adalah “Perahu Nabi Nuh”.

Sekitar tiga tahun lalu, seperti  yang dituliskan oleh G. Joseph, arkeolog Ron Wyatt dan David Fasold telah menyatakan mereka telah menemui tapak “Perahu Nabi Nuh”. Penemuan ini mengesan jejak kapal itu tidak berada di puncak Ararat tetapi sekitar 20 batu dari puncak Ararat, berdekatan dengan sempadan Iran. Tetapi mereka percaya bahawa apa yang dikatakan oleh Alkitab bahawa bahtera Nuh mendarat di puncak Ararat.

Pergeseran tanah selama ribuan tahun, gempa bumi, adanya gunung baru, dapat mengakibatkan berubahnya lokasi pendaratan tersebut dari puncak gunung Ararat ke posisi sekarang.

Pengukuran objek yang mempunyai altitude 7.546 kaki. Panjangnya, 558 kaki, dan lebarnya 148 kaki. Di sekitar objek tersebut, Ron Wyatt telah menjumpai sebuah batu besar dengan lubang pahatan.

Mereka percaya bahawa batu tersebut adalah “drogue-stones”, di mana pada zaman dahulu biasanya dipakai pada bahagian belakang perahu besar untuk menstabilkan perahu. Radar dan peralatan mereka telah menjumpai sesuatu yang tidak lazim pada level “iron oxide” atau seperti molekul baja. Struktur baja tersebut setelah dilakukan kajian, bahawa jenis “vessel” ini telah berumur lebih dari 100000 tahun, dan terbukti bahawa struktur ini dibuat oleh tangan manusia. Mereka percaya bahawa itu adalah jejak pendaratan perahu Nuh.


Pegawai Turki, Murat Guven menunjukkan spesimen kayu berusia 4,800 tahun yang didakwa tinggalan bahtera Nabi Nuh ( Gambar dari Kosmo Online )

Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah orang yang apabila disebutkan Allah akan gementar hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya (ayat-ayat Allah) akan bertambahlah iman mereka, dan kepada Rab (Tuhan) mereka bertawakal. 
( Surah an-Anfal : Ayat 2 )

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP