Jennifer Memeluk Islam Setelah Melihat Umat Islam Dilayan Buruk

>> Thursday, June 30, 2011

Jennifer Fayed

Jennifer (Sumayah) Fayed merasakan perkawinannya begitu hambar. Dia melihat suaminya tidak ada kesungguhan untuk mencari kerja, yang telah dinikahinya tiga tahun lalu. Dirinya disahkan hamil dan telah memiliki dua anak yang masih kecil.

Jennifer, yang berusia 21 tahun, merenung jauh tujuan hidupnya di dunia ini. Perkara ini mengganggu fikirannya, “Pasti ada sebab mengapa saya di sini.”

Kedua ibu bapanya baru saja berpindah ke Republik Dominican, sebuah negara kepulauan kecil di Carribean. Jennifer merasa sunyi meskipun mempunyai suami dan dua orang anak. Selama ini dia merasakan ibu bapanya lah yang menjadi sumber kekuatan hidupnya.

Ketika dia sedang tidur, dia mendapat panggilan telefon dari ibu mertuanya yang berteriak “Ada pesawat terhempas di Manhattan.” Jennifer yang kebingungan bertanya, “Apa yang ibu cakapkan ini?” Dia membuka televisyen dan melihat menara kedua World Trade Center (WTC) telah dirempuh oleh pesawat.

Detik yang membawa perubahan besar pada hidup Jennifer

“Saya begitu terkejut! Siapa yang melakukannya, siapa yang sanggup melakukan perkara keji ini?” marah Jennifer. Dia seakan-akan tidak percaya apa yang dilihatnya. “Adakah ini mimpi?” Dia berharap ini hanyalah sebuah lakonan dan filem semata-mata.

Dia baru saja mengunjungi WTC sehari sebelum tragedi ini berlaku. Dia percaya ini adalah bukti bahawa ajalnya belum sampai. Dia belum bersedia untuk mati kerana dia belum tahu tujuan hidupnya. Ini membuatkan Jennifer gelisah memikirkannya.

Penduduk Manhattan dilanda ketakutan. Jennifer tidak tahu bahawa hari itu menjadi titk permulaan perubahan drastik yang akan terjadi di dalam hidupnya.

Tidak lama setelah serangan 11 September, Jennifer berlepas menggunakan kapal terbang untuk melawat orang tuanya di Republik Dominica. Ketika itu usia kandungannya baru satu bulan. Suaminya telah mengetahui kehamilannya.

Dia mencari jalan bagaimana hendak memberi tahu berita kehamilan ini kepada orang tuanya. Maklum saja, anak pertamanya adalah hasil hubungan luar nikah. Mereka berkahwin sekadar untuk menutup aib. "Tak apalah saya akan memikirkannya di sana nanti", katanya dalam hati.

Jennifer berlepas menggunakan American Airlines dengan nombor penerbangan 587. Selepas tragedi 911, kawalan keselamatan di bandar dan lapangan terbang sangat ketat. Penumpang pesawat kelihatan sedang berdoa dan beberapa penumpang tidak henti-henti berdoa sepanjang penerbangan. “Saya ketawa di dalam hati. Jika kami akan mati, maka itu adalah takdir kami.”

Dalam penerbangannya, Jennifer terus memikirkan kehamilannya. Dia sebenarnya tidak mahu kehamilan ini. Selain tidak dirangcang, jennifer juga sengsara untuk menanggung dua orang anak, apalagi kalau tiga.

Sepanjang waktu bersama kedua ibu bapanya, Jennifer cuba memberitahu mereka tentang kehamilannya. Tetapi dia tidak sanggup melakukannya, takut untuk mengecewakan ibu bapanya.

Jennifer tertekan akan kehamilannya (gambar hiasan)

Disebabkan perkara itu, Jennifer memutuskan untuk melakukan pengguguran dan tidak perlu sesiapa tahu dirinya hamil. “Penyelesaian yang mudah,” fikirnya di dalam hati. Namun di sudut yang lain, sebagai seorang yang berasal dari keluarga Kristian yang taat, pengguguran di pandang sebagai perbuatan berdosa dan dilarang sama sekali.

Beberapa lama selepas itu, jennifer kembali ke New York dari Republik Dominica dan membuat temujanji dengan klinik Planned Parenthood untuk melakukan pengguguran. Jennifer berharap agar dapat menggugurkan kandungannya hanya dengan memakan pil.

Betapa kecewanya Jennifer bila mengetahui bahawa dirinya harus menjalani pengguguran penuh kerana tarikh tamat untuk melakukan pengguguran dengan memakan pil sudah terlewat satu minggu. Dia sangat tertekan. Dia berkata di dalam hati, "Oh Tuhan, mereka akan membuang bayi ini dari perut saya. Apa yang telah saya lakukan ini?” Jennifer tidak tahu adakah dia sanggup melalui semua ini.

Jennifer berdoa kepada Tuhan untuk menolongnya. Namun tidak seperti sebelumnya, dia tidak menggunakan tasbih atau pergi ke gereja. Buat pertama kalinya, Jennifer berdoa kepada Tuhan tanpa melalui perantaraan. Jennifer merasa Tuhan harus menolongnya. Tuhan adalah tempat terakhirnya untuk berserah.

“Saya menangis sambil terus memohon. Oh Tuhan tolonglah, saya tidak tahu apa yang harus saya lakukan. Saya inginkan bayi ini, tetapi rumah tangga saya dalam masalah, dan kami tidak mempunyai wang untuk menanggung seorang lagi bayi ke dunia ini. Saya percaya sepenuhnya kepada Tuhan. Tolonglah, jika Tuhan menghendaki saya memiliki bayi ini, saya akan menerimanya. Dan, jika kehendak Tuhan untuk mengakhiri kehamilan ini, saya juga akan menerimanya.”

“Saya serahkan perkara ini kepada Tuhan. Tuhan yang saya sembah dengan cara saya sendiri, bukan dengan cara yang diajarkan kepada saya. Tuhan yang bagi saya tidak mempunyai pendamping dan tidak mempunyai anak, hanya seperkara yang saya tahu bahawa tuhan yang telah menciptakan saya,” kata Jennifer. Dia kebuntuan memikirkan kehamilannya.

Hari-hari berlalu, sedang Jennifer menonton televisyen, satu siaran berita menngganggu rancangan. “Oh tidak. serangan pengganas lagi,” katanya. Sebuah pesawat terhempas di New York, kali ini di kawasan Queen, daerah asal Jennifer. Dia khuatir ini adalah kerja pengganas. Jennifer terkejut mendengar nombor penerbangan dan destinasi pesawat tersebut. Pesawat American Airlines dengan nombor penerbangan 587 yang menuju ke Republik Dominica. Ya, pesawat yang dinaikinya minggu lalu. Tubuhnya terasa dingin setelah mendengarnya.

Penerbangan 587 terhempas di Queen

Jennifer terpaku. Dia membayangkan dirinya ada di dalam pesawat itu. Dia merasa ini adalah petanda dari Tuhan. Sudah 2 kali Jennifer begitu dekat dengan kematian. “Tuhan cuba memberitahu sesuatu.”

Seminggu selepas doanya kepada Tuhan, Jennifer mula merasakan perutnya kembang. Kembang ini berbeza dengan situasi kehamilannya yang pertama. tetapi Jennifer tidak memperdulikannya kerana ini bukanlah masalah yang besar baginya.

Tidak lama selepas itu, perutnya semakin kembang dengan teruk. Terjadinya pendarahan dan Jennifer amat takut. “Adakah saya keguguran?” Dia bergegas ke hospital dan menjalani pemeriksaan yang ketat.

Keadaan bertambah baik dan Jennifer dibenarkan pulang ke rumah. Di rumah, Jennifer masih perlu berehat di tempat tidur. Ketika tidur, dia merasakan sakit yang amat sangat. Dia merasakan sesuatu keluar. “Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan ketika itu. Saya pergi ke bilik mandi dan segumpal daging keluar.” Jennifer keguguran pada usia kehamilan mencecah dua bulan. Pihak hospital mengesahkan bahawa Jennifer telah keguguran. Padahal keesokan harinya, dia dijadualkan oleh Planned Parenthood untuk menjalani proses pengguguran iaitu pada 15 Oktober 2001.

“Ini seolah-olah mimpi. Adakah ini keajaiban dari Tuhan? Adakah Tuhan menjawab doa saya. Saya merasa Tuhan ingin memberitahu saya bahawa kehidupan saya akan berubah. Akan berubah seperti apa? Saya tidak tahu. Yang saya tahu, saya harus menamatkan pengajian dan saya harus berpisah dengan suami yang tidak mempunyai cita-cita di dalam hidup.” Jennifer akhirnya memutuskan untuk bercerai dengan suaminya itu.

Di kawasan tempat tinggalnya, New York, Jennifer menyaksikan muslim dilayan sangat buruk. Kelakuan ini adalah kesan selepas serangan 11 September. “Sungguh mengerikan. Saya menyaksikan orang mengelak berjalan di kakilima seberang jalan hanya kerana melihat adanya muslim di situ. Perniagaan kaum Muslim sepi. Tidak ada yang ingin membeli di kedai yang dimiliki oleh orang Muslim. Di jalan, orang-orang berteriak kepada muslim, baliklah ke negaramu, pengganas, Taliban!!”

“Mengapa masyarakat melemparkan kata-kata ini kepada orang-orang yang tidak bersalah? Saya percaya orang yang melakukan serangan adalah orang yang kejam, tetapi kenapa hendak menyalahkan orang-orang yang tidak ada kaitan dengan serangan tersebut?”

Dari sinilah muncul daya penarik terhadap umat Islam. Jennifer mula ingin mengetahui apa yang diyakini oleh Muslim. Semakin hari, semakin besar keinginannya untuk mengetahui mengenai umat Islam. Dia mengambil langkah mendaftar diri untuk mengikuti satu kursus di kampus. Di sana Jennifer telah bertemu Muslim dan menanyakan berbagai persoalan mengenai Islam. “Mengapa memakai jilbab? Siapa yang anda yakini? Siapa itu Muhammad?” Itulah soalan yang pernah ditanyakannya.

“Sebilanganya dapat memberikan jawapan, namun sebahagian besar tidak tahu bagaimana untuk menjawab pertanyaan saya. Kebanyakan wanita Muslim yang saya kenali tidak memakai jilbab dan mengatakan pemakaian ini hanyalah pilihan. Ada juga yang mengatakan mereka tidak memiliki pengetahuan yang dalam mengenai Islam.” Jennifer merasa tidak ada sesiapa yang mampu memberikannya jawapan yang memuaskan hatinya. Jennifer memutuskan untuk melayari internet untuk mencari jawapan. Dia banyak mengetahui tentang Islam melalui internet.

“Saya tidak percaya bahawa Tuhan mengutuskan nabi lain selepas Jesus. Saya tahu Tuhan tidak akan menciptakan saya dan semua orang di dunia tanpa jawapan atas pertanyaan-pertanyaan kami. Mengapa kami di sini? Mengapa orang-orang selalu mengatakan Tuhan itu tritunggal (trinity), dan ini hanya menguatkan apa yang saya percaya sejak saya berusia 14 tahun bahawa Tuhan itu satu tanpa pendamping bukan seperti konsep triniti di dalam Kristian.”

“Saya mencari kebenaran di atas semua pertanyaan saya dan Islam berjaya menjawab kesemuanya. Muhammad adalah nabi yang luar biasa. Beliau adalah nabi terakhir yang diutuskan Tuhan untuk menyampaikan pesanan terakhir-Nya kepada kita semua.”

Jennifer memutuskan untuk mengenali lebih jauh tentang Nabi Muhammad. “Adakah beliau benar-benar manusia? Adakah beliau benar-benar wujud?” Jennifer terkejut apabila mengetahui bahawa Nabi Muhammad adalah manusia biasa. Bukan saja Muhammad adalah seorang nabi yang menyampaikan wahyu, namun seluruh hidupnya telah dikisahkan. “Saya sangat kagum dan takjub dengan perkara ini, inilah agama saya,” fikirnya. “Kepercayaan dan jalan hidup yang saya cari selama bertahun-tahun adalah Islam,” katanya.

Jennifer mengikuti solat tarawih Ramadhan pada musim gugur 2002, walaupun ketika itu dia belum memeluk Islam. Ketika itu masjid penuh dengan jamaah. “Tidak seperti yang saya sangkakan sebelum ini, masjid hanya dihadiri satu bangsa. Kenyataan yang saya lihat, masjid dipenuhi dengan pelbagai bangsa. Mereka sangat akrab dan selalu memberikan salam Assalamualaikum,” Kata Jennifer terkenang waktu lalu. Ketika itu dia tidak tahu apa maksudnya salam. Dia hanya mengangguk malu.

“Ketika melaksanakan solat. Ini adalah solat pertama saya seperti seorang Muslim,” katanya. Dia sebenarnya tidak tahu apa yang jemaah lain lakukan. Namun, seorang temannya mengatakan ‘ikut saja apa yang mereka lakukan’. Jadi Jennifer hanya ikut perbuatan jemaah lain.

Jennifer terkumat-kamit meniru jamaah lain. Dia juga turut ikut bersujud, tanpa mengetahui maksud dan alasannya. “Saya menghayati pergerakan dan ketenteraman ketika solat. Saya kagum semua Muslim menghadap Kaabah pada setiap kali solat, walaupun dari mana mereka berasal. Berlainan sekali dengan Kristian, amat berlainan,” tegasnya.

Di masjid itu, Jennifer memakai jilbab untuk menghormati para jamaah. Dia tidak tahu bagaimana cara untuk memakai jilbab. Jadi, dia membeli dua helai selendang (scarf) untuk dipakai. “Saya merasa cantik dan selesa ketika memakai jilbab. Saya boleh berjalan di kawasan awam tanpa diganggu oleh lelaki-lelaki di sekitarnya. Saya juga tidak peduli jika ada yang memandang serong terhadap saya.”

Pulang dari masjid pada hari itu, dia bertekad untuk terus memakai jilbab setiap masa. “Ada yang mengatakan bahawa saya tidak perlu memakai jilbab kerana saya bukanlah seorang Muslim. Saya hanya membalas ini adalah keputusan saya dan ini bukannya urusan mereka. Ketika memakai jilbab, ketenangan dapat dirasai, perasaan yang selesa di dalam hati, bahawa saya telah mengikut perintah Tuhan. Saya tidak peduli terhadap pandangan dan komen negatif dari orang lain.”

Jennifer merasakan belum cukup dengan sekadar berjilbab. Dia pun ikut berpuasa dalam beberapa hari di bulan Ramadan. Dia berfikir bagaimana untuk berterus terang kepada orang tuanya mengenai perubahan dirinya.

Ketika ibu bapanya datang ke New York dari Republik Dominica, Jennifer dalam keadaan untuk mempertimbangkan memeluk Islam. “Tetapi saya tidak tahu bagaimana untuk memberitahu keluarga saya, terutama ibu saya kerana dia sangat sensetif terhadap perubahan diri saya. Ketika itu saya telah biasa memakai jilbab, jadi saya tidak akan membuang jilbab hanya kerana memikirkan perasaan ibu saya, kerana kewajiban saya adalah kepada Allah, barulah kepada orang tua,” kata Jennifer.

Sebagai langkah awal, Jennifer memberitahu adiknya, Catherine, yang lima tahun lebih muda darinya. Jennifer ingin melihat reaksi Catherine, yang mungkin akan sama dengan reaksi orang tuanya. Jennifer memanggil Catherine dan berkata, “Catherine, saya telah lakukan sesuatu.”

Adiknya tidak terkejut. Ini disebabkan perangai Jennifer yang sering melakukan perkara yang diluar jangkaan. “Apa yang kamu lakukan kali ini Jennifer?”

Jennifer memberitahu bahawa dirinya sedang mempertimbangkan untuk memeluk agama Islam, dan dia kini telah memakai jilbab. Catherine tertawa kuat. Adiknya mengatakan kini saya benar-benar telah ‘melakukannya’ dan orang tua kami akan ‘membunuh’ saya. Adiknya juga seolah-olah tidak percaya bahawa saya tergolong dalam golongan teroris itu.”

Catherine menyambung lagi, “Kamu kakak saya dan saya amat sayangkan kamu. Saya tidak peduli kamu memeluk agama apa pun.” “Dia juga mengatakan bahawa orang tua kami akan mengamuk,” ujar Jennifer. Tidak terhenti di situ, Catherine segera menyambung perbualannya “Jangan beritahu ayah dan ibu tanpa saya ada di sana, sebab saya boleh ketawakan kamu.” Jennifer tahu adiknya hanya bergurau.

Jennifer akhirnya memberanikan diri untuk memberitahu orang tuanya. “Ayah saya boleh menerimanya. Saya beranggapan kebanyakan lelaki dapat menerimanya.”

Namun berlainan dengan ibunya, ibunya sangat marah dan terperanjat. “Dia terus meyakinkan saya bahawa saya telah tersalah langkah dan Islam bukan agama yang betul. Satu perkara yang yang paling membebankannya adalah saya wajib memakai jilbab.”

Ibunya mengambil masa selama 2 minggu untuk bertenang. “Tidak lama selepas itu, mereka ahirnya boleh menerima perubahan saya. Bagaimanapun ibu saya percaya ini hanyalah sementara dan saya akan kembali kepada Kristian,” kata Jennifer. Seminggu selepas itu, Jennifer akhirnya memutuskan untuk mengucap dua kalimah syahadat.

Hari yang ditunggu, Jennifer bangun pagi dengan perasaan bersemangat. Ini adalah harinya, hari dimana dia akan mengucapkan dua kalimah syahadat. Jennifer bersiap-siap dan memandu kereta ke masjid untuk mengucapkan  syahadat.

Di masjid, dia menemui imam dan mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Imam melihatnya dengan senyuman dan bertanya “Anda yakin ini yang benar-benar anda mahukan?” Dengan semangat Jennifer menjawab “Ya, ya, ini adalah keputusan saya.”

“Pada hari itu, disaksikan seluruh saudara seiman, lelaki dan perempuan, bersama-sama menyaksikan saya memeluk Islam,” kata Jennifer. “Hari itu, begitu ramai orang mengucap salam dan bertanyakan kepada saya jika saya memerlukan apa-apa bantuan, mereka akan membantu saya. Saya begitu terharu dan beruntung. Di sini lah saya akan bersama keluarga baru, sebuah keluarga yang datangnya dari seluruh pelusuk bumi.”

“Pada malam Jumaat itu saya tidur sebagai seorang Muslim, saya mengalami mimpi yang indah. Saya berada di sebuah lembah yang dipenuhi rumput yang hijau dan indah. Bukitannya begitu indah, tidak pernah saya lihat sepanjang hidup ini. Saya berjalan di sana dan menuju ke arah seorang lelaki yang berpakaian putih. Dia juga berjalan ke arah saya. Wajahnya samar, tidak sama dengan wajah manusia yang sebenarnya, namun terang seperti matahari. Saya dapat merasakan ketenangan. Dia memegang tangan saya dan kami berjalan bersama ke arah sebuah batu yang besar. Di batu itu dia duduk dan saya duduk di rumput. Dia kemudian berkata kepada saya ‘Selamat datang ke Islam’.”

Ketika terbangun, Jennifer merasakan perasaan yang begitu indah di dalam hatinya. “Saya fikir inilah Rasulullah. Dia datang untuk menyambut saya masuk Islam. Tetapi saya mendapati bahawa itu bukanlah Nabi Muhammad, tetapi itu adalah malaikat Allah, kerana malaikat tidak memiliki wajah manusia, namun wajahnya samar.”

Jennifer merasakan dirinya sangat istimewa semenjak hari itu. “Seorang malaikat, malaikat Allah datang untuk menyambut saya kepada agama Allah, agama saya. Agama yang begitu saya inginkan sejak kecil. Islam adalah agama yang sebenarnya.”

Jennifer Fayed kini menjadi penulis yang telah menetap di Carolina Utara, AS. Penulisannya telah memberikan inspirasi kepada orang ramai. Jennifer memiliki sarjana di bidang pemasaran, dan anggota aktif Muslimah Writers Alliance.

19 comments:

misz sheyla June 30, 2011 at 5:39 PM  

perkongsian yang menarik.... :)

aishahmanan July 1, 2011 at 3:12 AM  

indahnya islam,, saya mahukan ketenangan itu....

Fuhrer July 1, 2011 at 8:46 AM  

Ya Allah, sesungguhnya agamamu adalah agama yang benar dan agamamu adalah agama yang suci.

Terima kasih tuan blog.. saya sungguh asyik membaca cerita ini..
semoga tuan dpt lg memberi info tntg islam.. dan juga.. semoga kita boleh jd sahabat..

jazakumullah..

eddie July 1, 2011 at 11:04 PM  

nice info..but please la..dont just copy paste dari artikel org len..
at least edit la sikit ringkaskan ke..

kesian la wei org len tulis penat2

Zharif Alimin July 2, 2011 at 1:20 PM  

dah edit dah..xnk la tulis diedit oleh saya... sekadar nak share. kalau rajin tgk la sumber asal dalam bi.

saya x brape suka nak pendekkan. pnjgkan boleh :)

143me July 2, 2011 at 3:15 PM  

best betul!terharu aku!klu ble aku mau print out ni..ble?

cloud icon July 4, 2011 at 2:48 PM  

i like this article..
mengingatkan kembali kepada agama saya sendiri..islam the great religion..im so proud as a moslem..thanks

muarra July 5, 2011 at 10:19 AM  

waow critanya pnjang bgt,,,

yusuflaili July 5, 2011 at 10:32 AM  

Kisah ini hampir2 menitiskan air mata saya..nak kata sedih tak juga cerita ni sedih cuma..tak tahulah..

Azrin July 18, 2011 at 3:20 PM  

terharunya..

Hana teen top July 27, 2011 at 9:55 AM  

cerita nie wat kan bulu roma aku meremang sepanjang masa...sampai air mata nak tekeluar, tapi ku tahan, sebb bos aku ada kat sebelah nie hah....

SHaRKFiQ SSM July 30, 2011 at 12:08 PM  

SubhanAllah... layaan ak bca crita nih..

ak pn nk "sakinah" itu~

yahaya August 14, 2011 at 5:13 PM  

perkongsian yg menarik

Miecyber August 14, 2011 at 8:14 PM  

Penghijrahan yang hebat..

suzie rahman February 14, 2012 at 10:41 PM  

alhamdulillah..penghijrahan yg bgus.

Anonymous February 25, 2012 at 11:20 AM  

Suatu ketika di tahun 2010, saya menemui seorang pakcik tua arab Qatari..kami selalu berjemaah bersama & rapat. Suatu hari, saya menumpangkan dia pulang ke villanya & dia menyuruh saya menunggu krn ada sesuatu yg nak ditunjukkan. Dia kembali ke kereta saya membawa sekeping lukisan. Katanya, "suatu mlm saya bermimpi berjln di sebuah padang yg hijau begitu indah & nyaman. Di kejauhan saya melihat seorang lelaki berpakaian putih bersih & tak kelihatan wajahnya. Saya tenang sekali berada di situ. Sebaik bangun dr lena, saya menyuruh anak sedara saya melakarkan mimpi saya di dlm komputer dgn warna2 indah yg saya lihat di dlm mimpi. Inilah yg saya lihat di tgn kamu". Saya tak prnh ceritakan kpd sesiapapun kecuali kamu. Subhanallah, mereka2 Allah amat syg lantas ditemukan dgn mimpi2 yg meyakinkan iman mereka, insyaAllah. Ya Allah, kurniakanlah petunjuk kpd kami agar kami bertambah yakin n bertambah taat kepadaMu, ameeen...

Hafiz KK October 21, 2012 at 11:17 PM  

btapa indahnya islam..

ROJAK October 25, 2012 at 6:33 PM  

yang dah memang islam pulak nak menentang hukum Allah. Tengok je la negara kita ni.

Fyan waLnuTTree March 3, 2013 at 9:53 AM  

ALLAHUAKBAR :)

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP