Lanjutan Kisah Zakat Dan Murtad

>> Friday, September 9, 2011

Salah Siapa ?

Lanjutan dari artikel Kisah Murtad Dan Kesalahan Diri Kita Umat Islam untuk lebih memahami.

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Sedih

Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Tangkap

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.

Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.

Semasa saya menziarahinya (tanpa notis awal) dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salah Siapa?

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

Zakat

Zakat mestilah diagihkan seadilnya


Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):

“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.
(Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.:

“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” 
(Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!


Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

18 comments:

yusuflaili(Goku) September 9, 2011 at 4:21 PM  

Salam;
jangan politik baitulmal kita..banyak sangat karenah sekarang,bimbang ianya akan meruntuhkan umat islam sendiri.

P/S..uruslah harta kebajikan dan zakat dengan jalan yang telah disusun oleh Allah..jgn sesekali anda(pegawai dilantik) berpaling...

Erol September 10, 2011 at 9:24 PM  

Banyak dah kes murtad sekarang, harap dijauhkan

Anonymous September 12, 2011 at 1:20 PM  

pelik kenapa penulis beria2 backing gereja dlm hal ini. bangsat sgt ke malaysia ni smp dah xde kerja untuk sara hidup keluarga smp kena tadah tangan pd gereja utk bantuan? zaman nabi hidup lg susah bahkan kena seksa tp nak tukar agama tidak sekali. baru kena uji dunia dah x tahan. masalahnya umat melayu islam ni terlalu tersentuh dgn citer2 pilu contohnya citer ibu tunggal ni. dan natijah yg paling mudah : salahkan kerajaan dan pihak berkuasa. yg bekas laki dia xde peranan ke? tau kawin - buat anak - cerai pastu enjoy dgn life baru (samada kawin baru atau jd bujang balik). knp kita x telusuri smp ke tahap tu skali. sy nak berpesan sedara zharif yg sy tau cenderung pd haluan kiri sedarlah permainan kristianisasi dah tahap meruncing. kemiskinan bukan satu2nya jalan gereja mengkristiankan anak2 kita. bahkan byk channel lain termasuk pendidikan dan pertubuhan sukarela.hairan knp 'sebuah kehidupan' pun boleh terperangkap dgn permainan kristianisasi ni. di akhirnya umat islam jgk terpaksa mengaku kelemahan sendiri. bak kata jai dlm filem kl gengster "sedih!"

jentayu

Anonymous September 13, 2011 at 10:08 AM  

anonymous 1;20PM jentayu,

saya rasa anda dah salah faham maksud penulis. Penulis, takkan taknak jawab?

Anonymous September 14, 2011 at 9:35 AM  

sy faham penulis cuba menyampaikan bhw ke mana wang2 zakat diagihkan. tp isu yg lebih besar yg perlu kita tgk adalah kelemahan akidah umat melayu islam kita. sy mempersoalkan knp sebuah kehidupan kena bersikap apologetik dgn pihak gereja kristian seolah2 semua perkara perlu dipersalahkan atas pihak berkuasa agama semata2. seolah2 ibu tunggal tu xde kuasa atas kehidupannya manakala dudanya pulak x perlu bertanggungjawab pd anak2 dr perkahwinan terdahulu.

Anonymous December 2, 2011 at 5:38 PM  

Dear Anon Sept 12, 2011 1:20pm

Ko cakap ikut sedap je... Tryla to be in her shoes baru boleh cerita... ko cakap macam takda otak

1. Memangla tanggung jawab bekas suami bagi nafkah kat anak2 TAPI wahai anon.... semua manusia ni baik ke????? ko and ak belum tentu sempurna.... SEBAB suami dia tak bagi nafkah la dia kena mintak or tagih kat pihak2 tertentu...

2. SO WHAT??? Memang betul la salah pihak zakat yang tanak bagi dia duit zakat at the first place... bila da terhantuk baru nak terngadah.... so that's y kene TEGUR pihak zakat or any government agencies so that they know what they suppose to do, their responsibility, and know how to distribute duit zakat accordingly sebab tu AMANAH pembayar zakat macam aku, ko, and orang2 lain... ak yang baca pun sakit hati kalau ak tau duit zakat ak bayar, tapi tak diberi kepada orang sepatutnya... or entah2 end up kat mana2 ntah yang tak termasuk ASNAF yang 8... Salah ke kita tegur and memperingatkan orang yang da tersilap??? Alangkan ibu kandung pun marah and pukul anak, so kita pun ada hak la nak tegur org yang kita beri amanah...

3. YES IT IS A FACT THAT pihak gereja are very generous in terms of this kind of things... THAT IS THEIR EFFICIENT METHOD apa ko nak buat... da tu, ko nak ke tolong ibu tunggal tu keje kat company ko... bagi tinggal n makan minum dia... derang tau it's a good way to attract people into christianity.... so derang buatla... kalau ko tak suke derang sebar dakwah... ko pun apa salahnye join mana2 badan dakwah and berdakwah and bantu orang2 nie.... don't just babbling dalam blog je okeh.....

Anonymous December 2, 2011 at 5:50 PM  

Dear Anon Sept 12, 2011 1:20pm

Lagi ak nak sambung, siapa ko nak menentukan iman orang tinggi ke rendah...

Manalah kita tau apa tahap iman ibu tunggal ni sampai dia sanggup mintak kat gereja. WHO KNOWS HER BACKGROUND dulu dari latar belakang mak bapak yang KURANG pendidikan agama? WHO KNOWS? Or maybe dari Datuk Nenek dia dulu pun KURANG didikan agama jugak... kita tak tau... JADI orang yang ada PENGETAHUAN agama macam KO nie lah patut beri nasihat, and bagi tunjuk ajar supaya yang JAHIL ni leh jadi CELIK cam ko... and don't just put blame on things that you are not even sure of...

YES maybe skarang kekuatan akidah dia kurang.... but kita tak tau KALAU dia dapat HIDAYAH she could be much much much better than us here yang bayar zakat tiap tahun....

But my point is don't easily judge people bro... it's not you who decide kekuatan iman and akidah seseorang...berdakwah biar berhemah... kalau tak mampu dakwah terang2 an, bantu secara fizikal, the least you can do is berdo'a n JANGAN bersangka buruk okeh...

Admin January 20, 2012 at 2:09 PM  

Inilah realiti kehidupan.......
Dah terantuk baru nak terngadah..

Benarlah sabda Rasulullah SAW "Kepapaan hampir-hampir membawa kepada kekufuran"
Individu2 yang ada kaitan dengan badan-badan kebajikan, Zakat, Baitulmal,JAIS dsbnya. ambillah ikhtibar dan tunaikan tanggungjawab dengan ikhlas menolong sesama umat Islam dengan ikhlas tanpa mengira pangkat,aliran politik juga bangsa tanpa mengharapkan ganjaran dan pujian dari manusia.
Allah juga sebaik-baik pemberi Ganjaran. InsyaAllah..

Anonymous February 21, 2012 at 4:23 AM  

jadi khalifah di atas muka bumi Tuhanku ini tidak mudah, gunung pun boleh hancur takutkan tanggungjawab menjadi khalifah ini. Jadi, takutlah pada Tuhanku dan laksanakan perintahNya.

Vektor 58 (Drama Bersiri Ala Transformers Malaysia) (klik) March 19, 2012 at 8:01 AM  

betul tu.. bukan mudah jadi khalifah

fauzi April 12, 2012 at 2:40 AM  

kalau zakat pon digunakan untuk politik,, memang habis ar

Anonymous January 7, 2013 at 4:45 PM  

jika begitu ambil lah saya jadi pekerja gaji asal cukup makan dan ada tenaga utk buat kerja jadilah,lagipun bila tua adalah kwsp bolehlah hidup berjimat,insyaalah selagi ada kewangan zakat selagi itulah akan dilangsaikan pada yg berhak kerna itu amanat Allah pd hambanya,ya Allah aku masih tak layak utk syurgamu namun tak ingin melihat nerakamu,ya teman sekalian doakan aku utk tidak menzalimi diriku,di sini ku doakan kalian ya Allah kau ampunilah dosa pada yg mendoakan umat muslimin pada rahmahmu...amin ya rabbil alamin...fikir umah s abah

Hanif Menhad March 7, 2013 at 7:09 PM  

salam, mohon minta gambar makcik yg ambil zakat tu... saya dah creditkan ke post entri saya ni

http://hanifmenhad.wordpress.com/2013/03/07/bayar-zakat-kini-lebih-mudah-yang-wajib-di-dahulukan/

balqishDESIGN November 9, 2013 at 2:25 AM  

Pernah jadi ibu yg tidak berkerja dan tiba2 ditinggal suami? Nak telusuri masalah suami tak bertanggungjawab macam mana pulak tu? Anak2 tetap kena isi perut mereka tu..telusuri tak telusuri, masalah dah pun berbangkit. Perbincangan diatas bukan menekankan 'masalah' tapi lebih kpd penyelesaian utk pastikan zakat sampai pada yg hak. Kalau tuan imannya tinggi, dah tahu pihak zakat tidak kompetan dlm melaksanakan tugas, apa kata tuan sendiri yg bantu golongan yg hak ni..jgnlah pulak kata tuan bukan org zakat ye..nampak sgt pulak pandai cakap tindakan tiada. Nak jawab kat Allah apa nanti, dah cakap bagai peluru berpandu, tindakannya angkat sebatang jari menghulur pun xde.

balqishDESIGN November 9, 2013 at 2:34 AM  

Jgn salah faham disini..tu bukan sikap apologetik spt tuan ckpkan. Entry ni juga bukan nak sokong sgt pun pihak gereja tu. Yg ingin di smpaikan teknik mempengaruhi org gereja dan tak salah org gereja ingin memperluaskan agama mereka di negara kita. Kalau tak dah pasti ada akta melarang penyebaran agama kristian dilaksanakan. Isu skrg ialah org islam yg TERPAKSA meminta di gereja sbb xsggup tgk anak2 lapar..kita pernah ke lalu dugaan sebegitu? Kalau lah berlaku kat tuan, xtntu lagi boleh hadap, jgnkan akidah, semua benda bedal agaknya. Tu lah..kita sbg org islam yg Allah dah beri rezeki, baiklah kita cari org sebegini utk dibantu dari mengkritik entry org lain.

balqishDESIGN November 9, 2013 at 2:38 AM  

S.E.T.U.J.U.!!!!!!

balqishDESIGN November 9, 2013 at 2:40 AM  

S.E.T.U.J.U LAGI!!

Unknown April 6, 2016 at 8:35 PM  

Sy byk juga baca artikel kamu, sy tahu niat kamu baik, kamu sabar ya.. teruskan.. jika ada silap, kita sama sama maafkan..

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP