Showing posts with label Lelaki dan Perempuan. Show all posts
Showing posts with label Lelaki dan Perempuan. Show all posts

Kedudukan Wanita Sebelum Islam Dan Wanita Kini

>> Tuesday, January 17, 2012

Wanita kini yang begitu sibuk dengan urusan dunia

Wanita sebelum Rasulullah S.A.W, tidak berdarjat dan tidak berguna kecuali untuk memelihara keturunan dan mengatur rumahtangga. Apabila isteri melahirkan anak yang tidak cantik mereka akan membunuhnya. Wanita yang ‘subur’ dipinjam kepada lelaki (bukan suaminya) untuk melahirkan anak. Pendek kata, masa perkembangan peradaban Yunani, wanita hanya melayani cinta dan hawa nafsu.

Plato dan Aristotles

Aristotles tidak berpandangan baik terhadap kaum wanita. Dalam pandangannya, wanita adalah manusia yang serba kekurangan. Kehidupan dalam rumahtangga adalah kehidupan yang impian, dan adalah silap untuk menyamakan dengan taraf lelaki. Menurut Plato (guru kepada Aristotles), keberanian lelaki adalah dalam kepimpinan dan keberanian wanita adalah dalam melakukan pekerjaan-pekerjaan yang rendah.

Zaman Yahudi

Pada zaman Yahudi, sebahagian orang menjadikan anak perempuan setaraf dengan pelayan ataupun hamba, dan ayahnya berhak menjualnya. Wanita boleh menerima waris, kecuali bila ayahnya tidak mempunyai keturunan anak lelaki. 

Dalam ‘Sifr Al Jamiah’ dinyatakan, “Aku dan hatiku berkeliling untuk menyelidiki dan mencari hikmat dan akal, dan untuk mengetahui kejahatan adalah kebodohan, dan untuk mengetahui kedunguan adalah kegilaan. Aku mendapatkan yang lebih buruk dari maut adalah wanita yang merupakan jaring, sedang tangannya adalah perangkap dan tali”.

Pepatah orang China mengatakan, “Dengarkanlah isterimu dan jangan mempercayainya”.

Pepatah Russia mengatakan, “Tidaklah anda dapatkan dalam setiap sepuluh wanita kecuali satu jiwa.”

Pepatah Itali mengatakan, “Kendali itu untuk beradu cepat dan kuda lumba, sedangkan tongkat itu untuk wanita yang buruk akhlaknya.”

Pepatah Sepanyol mengatakan, “Takutilah wanita yang buruk tingkah lakunya dan jangan membanggakan wanita mulia.”

Penganut Hindu

Disebutkan dalam hukum-hukum Hindu, wabah kematian, neraka, racun, ular dan api lebih baik daripada wanita.

Disebutkan dalam hukum Manu iaitu sebahagian dari ajaran Hindu, bahawa pada masa kecil wanita tunduk kepada ayahnya, pada masa muda tunduk kepada suaminya, pada masa jandanya tunduk kepada anak-anaknya. Dan ketika dia tidak mempunyai anak dan sanak saudara, ia tunduk kepada kerabat suaminya dan tidak boleh urus dirinya sendiri.

Bangsa Rom

Dinyatakan dalam hukum Romawi, perempuan dianggap hamba lelaki dan sebagai barang dagangan murah yang dapat dipergunakan sebagaimana dikehendaki. Ia menguasai wanita sekehendaknya sehingga hidupnya menjadi milik ayahnya, kemudian suaminya, kemudian anak-anaknya. Pemilikan mereka terhadapnya sama seperti memiliki haiwan dan benda mati. Laki-laki melihat kepada perempuan sebagai pembangkit syahwat dan perempuan itu syaitan dan kotor, dan ia tidak memiliki kekuasaan atas kebetinaannya.

Patut kita ketahui penghinaan dan ejekan yang dialami wanita Rom, iaitu ketika orang-orang Rom berkumpul untuk membahas hal ehwal kaum wanita. Mereka memutuskan bahawa wanita adalah makhluk yang berjiwa dan tidak akan mewarisi kehidupan ukhrawi sedangkan dirinya kotor dan tidak boleh memakan daging, tidak boleh ketawa dan tidak boleh berbicara. Wanita harus menghabiskan seluruh waktunya dalam layanan dan bersikap tunduk (seperti hamba).

Mereka menghina wanita antara lain dengan melarangnya bercakap sejak dari mula merangkak sehingga boleh berjalan, kemudian bekerja di rumahnya tanpa mengucapkan apa-apa perkataan pun. Apabila berbicara, ia akan menimbulkan bencana. Kerana percakapannya adalah alat merayu. Larangan tersebut adalah undang-undang yang dikeluarkan oleh anggota Dewan Tribunal Romawi yang mengharamkan wanita memiliki lebih emas, dan memakai baju berwarna warni serta menaiki kereta hingga sejauh satu batu dari Rome, kecuali perayaan-perayaan umum yang tertentu.

Ada suku bangsa yang menganjurkan wanita yang ditinggal mati suaminya agar bunuh diri. Isteri yang malang terjun dari tempat yang tinggi sehingga patah lehernya atau patah tulang rusuknya. Adakalanya wanita membakar dirinya di dalam api yang digunakan untuk membakar jasad suaminya. 

Orang-orang Mesir Kuno

Wanita di kalangan orang mesir kuno mempunyai kedudukan yang tinggi dan ini dapat dilihat dalam penyembahan Isis, dewi keibuan, cinta dan kecantikan.

Isi, dewi keibuan yang dipuja oleh orang Mesir kuno

Isis melambangkan kesuburan seperti wanita. Wanita Mesir juga dibebani kekuasaan dan tunduk di atas takhta kerajaan. Ratu pertama yang memerintah menurut sejarah ialah Hatshapsut.

Hatshaput adalah wanita pertama yang memerintah Mesir

Oleh kerana wanita dianggap makhluk yang tinggi kedudukannya, maka hukum-hukum peradaban Mesir melayan wanita dengan baik. Ini dapat kita saksikan dengan jelas dalam sejarah penulisan Mesir. 

Telah dijumpai lembaran-lembaran kertas dekat Taibah yang mencantumkan nasihat-nasihat Ptahhotep yang berbunyi; “Apabila engkau menjadi seorang lelaki yang berkedudukan, dirikanlah rumahtangga bagimu. Cintailah isterimu di dalamnya dengan cinta yang tulus. Berilah dia keperluannya berupa makanan dan pakaian. Dan berilah minyak wangi untuk isterimu. Kerana boleh menyegarkan anggota-anggota tubuhnya dan jadikanlah dia bahagia selama engkau hidup, kerana isteri adalah cermin suaminya yang memantulkan segala upaya yang dicurahkannnya demi kebahagiaannya. Jangan lah engkau bersikap kasar di dalam rumah. Kerana kelembutan itu mendekatkan hati wanita, sedang kekasaran itu menjauhkannya.”

Zaman Arab Jahiliyah

Di zaman Arab Jahilliyah, wanita mendapat penghormatan yang amat sedikit. Ramai wanita dianiayai. Beberapa contoh yang buruk malah paling kejam ialah menguburkan bayi hidup-hidup. Kekejaman terhadap bayi perempuan di kalangan Arab zaman jahiliyah amat menyedihkan dan sangat hina. Banyak kes penguburan hidup-hidup bayi yang tidak berdosa.

Allah
 S.W.T berfirman yang maksudnya, 

“Dan apabila seseorang dari mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, hitamlah (merah padamlah) mukanya dan dia sangat marah." 
(Surah An Nahl : Ayat 58)

“Ia menyembunyikan dirinya dari orang ramai disebabkan buruknya berita yang disampaikan kepadanya. Apakah dia akan memeliharanya dengan menanggung kehinaan apakah akan menguburkannya ke dalam tanah (hidup-hidup), ketahuilah alangkah buruknya apa yang mereka tetapkan itu.” 
(Surah An Nahl : Ayat 59)

“Dan demikianlah pemimpin-pemimpin mereka menjadikan orang-orang musyrik itu menganggap baik membunuh anak-anak mereka untuk membinasakan mereka dan untuk mengaburkan mereka bagi agama mereka. Dan kalau Allah mengkehendaki, nescaya mereka tidak mengerjakannya, tinggalkanlah mereka dan apa yang mereka ada-adakan.” 
(Surah Al An’am : Ayat 137)

Kes bunuh bayi hidup-hidup dilakukan disebabkan takut jatuh miskin. Ini seperti yang diberitahu oleh Imam Al Qurthubi, “Di antara bangsa Arab ada yang membunuh anaknya kerana takut miskin, sebagaimana disebutkan Allah S.W.T. Di antara mereka ada yang membunuhnya secara kejam, tanpa alasan apa pun mereka membunuh. Mereka adalah suku-suku Rabiah dan Mudlar yang membunuh anak-anak perempuan demi harga diri.”

Diriwayatkan, seorang lelaki sahabat Rasulullah S.a.w kelihatan resah di hadapan Rasulullah S.a.w. Kemudian Rasulullah S.a.w bertanya kepadanya, “Mengapa engkau bersedih?”

Orang itu menjawab, “Ya Rasulullah, aku telah berbuat dosa di zaman jahiliyah dan takut Allah tidak mengampuni jika aku masuk Islam.”

Baginda berkata, “Ceritakanlah kepadaku tentang hal itu.”

Orang itu berkata, “Ya Rasulullah, aku termasuk antara orang-orang yang membunuh anak-anak perempuan. Tatkala aku mendapat anak perempuan, isteriku memohon dariku agar membiarkannya. Aku pun membiarkannya sampai besar dan menjadi wanita yang paling cantik. Orang-orang meminangnya. Timbul rasa bangga dalam diriku dan hatiku tidak mengizinkan untuk mengahwinkannya dan membiarkannya di rumah tanpa kahwin.

Aku
 berkata kepada isteriku, aku ingin pergi ke suku lain untuk mengunjungi para kerabatku dan ingin membawa puteriku. Isteriku gembira atas hal itu dan menghiasinya baju cantik dan barang perhiasan. Ia minta agar aku berjanji untuk tidak mengkhianatinya. Aku pergi bersamanya menuju ke tepi sebuah sumur. Kemudian aku memandang ke dalam sumur itu. Anak perempuan itu mengerti, aku akan melemparkannya ke dalam sumur. Ia pun memelukku dan mulai menangis seraya berkata, “Wahai ayahku, apakah yang akan engkau lakukan terhadapku?”

Aku pun kasihan kepadanya , kemudian aku memandang ke dalam sumur dan timbul rasa bangga padaku. Kemudian ia memelukku dan berkata, :Wahai ayahku, janganlah engkau mengkhianati amanah ibuku.”

Aku terus memandang ke dalam sumur dan memandangnya pula hingga syaitan mengalahkan aku, lalu ku pegang dia dan ku campakkan ke dalam sumur kemudian ia berteriak di dalam sumur, “Wahai ayah, engkau telah membunuhku!”

Aku tinggal di situ hingga lenyap suaranya, lalu aku pulang. Menangislah Rasulullah S.a.w dan para sahabatnya, baginda berkata; “Andaikata aku disuruh menghukum seseorang lantaran perbuatan dilakukannya di zaman jahiliyah, nescaya aku menghukummu.”

Wanita juga bertindak bengis terhadap anak perempuan di zaman jahiliyah seperti yang dilakukan oleh lelaki. Menurut Ibnu Abbad, wanita di zaman jahiliyah ada yang bila mengandung, ia menggali lubang dan berbaring di tepinya. Apabila lahir bayi perempuan, ia akan mencampakkannya ke dalam lubang tersebut dan menanamnya hidup-hidup, tetapi apabila bayi lelaki yang lahir maka ia pun membiarkannya hidup.

Menurut Qatadah, suku Mudlar dan Khuzaah menguburkan anak-anak perempuan hidup-hidup dan yang paling kejam antara mereka ialah dari Bani Tamim. Mereka takut tertindas.

Penghinaan terhadap wanita di zaman jahiliyah Arab bukan hanya terbatas kepada penguburan bayi hidup-hidup, tetapi kehinaan itu meliputi seluruh segi kehidupan mereka, seperti wanita dijadikan hamba seks, hamba abdi yang boleh diperintahkan apa saja dan tidak mempunyai apa-apa hak.

Setelah kedatangan Islam, martabat kaum wanita diangkat dan dimuliakan. Tiada lagi diskriminasi terhadap kaum wanita dan mereka juga mempunyai hak-hak tertentu di dalam kehidupan. Begitulah adilnya Islam terhadap kaum wanita dan telah membebaskan mereka dari diskriminasi yang telah sekian lama membelenggu diri mereka.

Wanita Kini

Semakin ramai wanita yang bekerjaya

Jika kita lihat pada wanita sekarang, mereka terlalu taksub untuk bersaing dan ada yang mahu melebihi kaum lelaki. Semoga kita tidak mudah lupa diri dan begitu kejarkan kejayaan duniawi yang sementara. Jika dilihat di kebanyakan universiti negara kita sekarang, rata-ratanya dipenuhi oleh kaum wanita. Maka tidak mustahil, suatu masa nanti, semakin ramai isteri berkerjaya sedangkan suami menjadi suri rumah, yang mana telah pun wujud sekarang ini.

Keadaan ini amat bertentangan dengan lumrah kehidupan manusia itu sendiri sejak dari dahulu lagi, orang lelaki mencari rezeki sedangkan perempuan menjaga rumah dan anak-anak. Keadaan yang mula berubah sekarang ini adalah satu rekod sejarah, kerana tidak pernah sesekali berlaku di zaman dahulu lelaki yang menjaga anak manakala wanita bekerja di luar rumah. Ini lah situasi akhir zaman.

Dunia
akan menjadi rosak jika keadaan ini berterusan. Apa gunanya anda berkerjaya mewah dan tinggi sedangkan keluarga terabai. Anak-anak diuruskan oleh orang gaji. Ada juga ibu bapa yang menghantar anak-anak belajar dari pagi sampai petang kerana tiada masa untuk menjaga anak-anak.

Luangkan masa dengan mereka dan berikan masa untuk mereka bermain seperti anda ketika masih kecil. Masih ingat bukan?


Kadar jenayah yang meningkat saban tahun di dunia sekarang ini, akibat dari undang-undang Islam diabaikan dan diguna pakai undang-undang merapu ciptaan manusia yang bukannya semakin membina bahkan semakin meruntuhkan lebih-lebih lagi runtuhnya akhlak dan peradaban. Undang-undang yang saya tekankan adalah bukannya merujuk kepada hudud semata-mata tetapi merangkumi gaya hidup Islam sepenuhnya.

Wanita sekarang ramai yang gilakan pangkat dan jawatan tinggi serta bergaji lumayan. Ini pun satu penyakit yang tidak disedari ramai dan telah menjadi suatu perkara yang biasa. Sedangkan ia boleh menjejaskan kehidupan manusia itu sendiri suatu masa nanti. Wanita sekarang suka menjadi pemimpin, sedangkan jawatan kepemimpinan amat tidak sesuai dengan mereka. Kaum wanita hanya sesuai menjadi golongan penasihat, bukannya menjadi imam atau pemimpin. Itu yang perlu difikirkan kembali.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (daripada beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang lelaki telah membelanja (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka”. 
(Surah an-Nisa’ : Ayat 34)

Ayat
 di atas dengan jelas dan terang (muhkam) menyatakan bahawa orang lelaki adalah pemimpin dan mempunyai kelebihan ke atas orang perempuan. Maka adakah kita masih tidak berpuas hati dengan firman Allah? Mahu mencari alasan lagi?

Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:

“Suami adalah penjaga (pemimpin) terhadap kaum keluarga dan ia dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang di bawah jagaannya dan isteri adalah penjaga (pemimpin) di dalam rumah tangga suaminya dan anak-anaknya dan dipertanggungjawabkan terhadap orang-orang yang di bawah tanggungannya” 

Hadith riwayat Bukhari.

Di dalam hadith di atas pun telah dibataskan kepimpinan isteri. Isteri tetap di bawah suami dan hanya boleh memimpin anak-anaknya. Kerana itu lah amat tidak sesuai sekali seorang wanita menjadi pemimpin sebuah masyarakat di mana masyarakat tersebut masih mempunyai ramai orang lelaki. Adakah lelaki-lelaki itu semua tidak pandai memimpin sehingga terpaksa menggunakan khidmat wanita untuk menjadi pemimpin. Perkara ini juga perlu dikaji semula, kerana kesan pengaruh British terhadap perjalanan kehidupan di negara-negara bekas jajahan mereka banyak terpengaruh dengan cara hidup mereka.

Imam Hasan Al-Banna


Menurut Imam Hasan Al-Banna, wanita tidak dibenarkan menjawat apa-apa jawatan di wilayah ‘ammah atau wazarah tafwid seperti kepimpinan ketenteraan (wilayah jihad), wilayah hisbah, wilayah kehakiman, wilayah haji, wilayah kharaj dan lain-lain bentuk umum. Selain dalil-dalil biasa dari Al-quran dan al-Hadith, beliau juga berdalilkan ijma’ amali yang menunjukkan bahawa sejak zaman Rasul SAW, baginda tidak pernah melantik kepimpinan umum di kalangan wanita dan hal ini berterusan hinggalah jatuhnya empayar Islam Uthmaniyyah. Malah Rasulullah SAW dan para sahabat juga tidak pernah melantik ahli keanggotaan syura (ahl al-hal wal aqd) dari kalangan wanita.

“Tidak akan pernah beruntung suatu kaum yang menyerahkan urusan (pemerintahan) mereka kepada seorang wanita” 
Hadith Riwayat Bukhari

Dan
 hujjah yang kukuh lagi tentang tidak layaknya wanita menjadi pemimpin lebih-lebih lagi pemimpin sebuah negara ialah tidak berlaku langsung pada zaman Nabi Muhammad S.a.w dan para sahabat bahawa mereka mengangkat seorang wanita menjadi khalifah. Itu sudah nyata dan terang bagi kita. jika benar wanita itu layak, sudah pasti telah dicontohi oleh Nabi dan sahabat kerana mereka adalah contoh terbaik kita. Sedangkan dalam hal berpoligami pun telah dicontohi oleh Nabi Muhammad S.a.w, adalah tidak munasabah tidak dicontohi wanita menjadi pemimpin, jika benarlah wanita itu layak untuk memimpin rakyat.

Ada pendapat yang mengatakan wanita boleh menjadi pemimpin berdasarkan kepada peristiwa Ratu Balqis di zaman Nabi Sulaiman. Tetapi perlu difikirkan semula, kisah Ratu Balqis berlaku di zaman mana? Dan apa yang jadi sesudah dia berkahwin dengan Nabi Sulaiman? Tetap Nabi Sulaiman menjadi pemimpin. Dan seperti hujah di atas, tiada dicontohi oleh Nabi dan para sahabat mengangkat wanita menjadi khalifah.

Jika kita teliti, banyak syarikat sekarang yang hanya mahu mengambil pekerja wanita sahaja. Kerana wanita boleh melariskan lagi perniagaan mereka. Ini sebenarnya mengekploitasi kehadiran wanita. Senario ini sepatutnya dikaji dengan teliti kembali agar ianya tidak menjadi parah di kemudian hari. Mencegah lebih baik dari merawat.

Saya sesekali tidak mengatakan bahawa kaum wanita tidak layak bekerja sama sekali. Tetapi kajian perlu diadakan semula bagi menilai sektor dan jenis pekerjaan manakah yang sesuai dan mana pekerjaan yang sepatutnya di serahkan kepada kaum lelaki sahaja. Ini bagi mengelakkan terjadinya p
engabaian terhadap anak-naka dalam rumahtangga, berlaku fitrah kemanusiaan yang songsang iaitu perempuan bekerja di luar sedangkan lelaki jaga anak dan menjadi suri rumah dan masyarakat mengalami kerugian kerana di pimpin oleh ramai orang perempuan.

Read more...

Tujuh Perempuan Bertanya, Seorang Lelaki Menjawab.

>> Thursday, August 11, 2011

Kaum hawa selalu mengeluh dan melafazkan “susahnya jadi wanita”, mereka telah digoda dan diperdaya oleh syaitan dan hawa nafsunya sendiri, seperti yang kita lihat dialog dibawah, bagaikan mempersoalkan ketentuan Allah terhadap mereka. Dengan kata lain yang agak kasar, Allah berat sebelah dan meletakkan kaum wanita dalam keadaan tertindas.

Keluhan remaja perempuan A:
“Aduh, situ tutup, sini tutup. Susah la gini. Apasal laki-laki mudah saja. Tak pakai baju pun takpe. Perempuan auratnya lagi banyak.”

Keluhan isteri A:
“Kenapa la kita para isteri ni nak keluar kena minta izin dari suami kita, padahal suami kita nak keluar kemana-mana pun tak bagitau kita takpe pulak.”

Keluhan remaja perempuan B:
“Jika kita ikut faraid dalam hal pusaka, rugilah kita. Sebab bahagian harta pusaka perempuan lagi sedikit berbanding harta yang anak lelaki dapat. Kami mahu keadilan!”

Keluhan isteri B:
“Kenapa Allah jadikan wanita mengandung dan rasa sakitnya nak melahirkan anak. Suami kita rileks saja? Masa buat anak carilah kita, masa nak beranak kita tanggung sendiri!”

Keluhan isteri C:
“Islam kata kita perempuan wajib taat pada suami, tapi ada Islam cakap suami perlu taat pada isterinya? Mana keadilan pada kaum hawa?”

Keluhan isteri D:
“Bila nak cerai je, suami yang boleh jatuhkan talak. Kenapa isteri tak bolek ceraikan suaminya? Kenapa?”

Keluhan remaja perempuan C:
“Wanita tak boleh nak beribadat macam lelaki, sebab bila kita ada haid dan nifas, takleh nak solat dan puasa. Ingat perempuan ni suka ke tak solat dan puasa?”.

Dan kemudian datanglah pertubuhan dan organisasi yang membela kaum wanita, dan menuntut hak samarata antara gender, mengekploitasi fahaman wanita yang terjejas akidahnya dek kerana disogok pertanyaan. 


Mereka sebenarnya membunuh wanita dan institusi kekeluargaan


Kaum lelaki pula cakap, “Ah, mujur aku ni lelaki!”

Tunggu..! Istigfarlah pada wanita yang ada perasaan seperti di atas. Mujur ada seorang lelaki yang bukanlah seorang ustaz namun amat yakin bahawa Allah itu Maha Adil. Dia tidak mampu menuturkan sabda Rasulullah s.a.w dan petikan dari ayat Al-Quran, namun dengan keimanan dan ilmu sedikit yang dia ada ,diolah sebaiknya untuk menjawab soalan-soalan melampau itu.

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan A:
“Cik adik, Islam lah yang mengangkat aurat wanita. Benda yang mahal harganya akan dijaga dan dibelai serta disimpan ditempat yang teraman dan terbaik. Awak ada emas dan permata, adakah awak nak letak terdedah ditepi laluan lalu lalang atau disimpan dirumah agar tiada siapa melihat perhiasan itu? Ok, jika awak letakkan perhiasan tadi dikalangan orang, agaknya apa akan jadi dengan barang perhiasan tadi? Lelaki, yang utama hanyalah bawah pusat ke lutut tapi awak? Saya tidak dapat melihat kulit anda pun kecuali muka dan tangan! Awak tak mungkin akan terangsang nafsu tengok saya hanya berseluar pendek ke lutut kan? Tapi kalau sebaliknya, jangankan saya, tapi tok imam pun akan tercabut serbannya jika tengok awak pakai hanya seluar pendek!”

Lelaki beriman menjawab keluhan isteri A:
“Ok, isteri perlu taat pada suami. Jadi, lelaki apa? Suami perlu wajib taat juga kepada ibunya tiga kali lebih utama dari ayahnya, walaupun dia sudah berkeluarga. Isteri tidak perlu lagi, taatnya hanya pada suami. Kenapa awak perlu taat pada suami? Kerana suami kalian lah yang menanggung dosa yang kalian lakukan!”

Lelaki beriman menjawab keluhan remaja perempuan B: 
“Betul ke wanita menerima warisan pusaka lagi sedikit daripada lelaki? Tapi kan, harta itu memang hak untuk wanita itu dan dia berhak lakukan apa saja yang dia mahu. Shh.. jangan kongsi dengan sesiapa walaupun suami. Tak kesian pada lelaki ke, dia perlu membahagikan harta pusaka itu kepada isteri dan anak-anaknya. Kalau isteri dia ramai, anak dia ramai, harta pulak secebis, tak merasa lah jawabnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri B:
“Tahniah la sebab awak dapat mengandung dan melahirkan. Setiap kali awak begitu, wanita itu didoakan oleh sekalian makhluk dan malaikat! Beruntungnya awak! Andaikan awak meninggal pula masa beranak tu, percayalah… itu mati syahid dan ganjarannya syurga. Ya, syurga menanti awak malah beranak 15 kali pun sihat sampai ke tua! Sebab tu tak ramai orang wanita meninggal masa melahirkan”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri C:
“Akhirat nanti, saya dan lelaki lain didunia ini akan diminta bertanggungjawab keatas empat jenis wanita. Siapa? Mereka ialah isteri saya, ibu saya, anak perempuan saya dan adik perempuan saya. Tahu maksudnya? Awak nanti di akhirat, awak akan dibantu oleh empat lelaki! Siapa mereka? Mereka ialah suami, ayah, adik atau abang malah anak lelaki awak!”

Beruntung perempuan ini


Lelaki beriman menjawab Keluhan remaja perempuan C: 
“Nak beribadat macam lelaki? Ingat mudah ke nak dapat syurga? Sedarlah, awak sebagai wanita boleh masuk sebarang pintu syurga yang awak sukai. Ya, dah la syurga, ada pilihan pula hanya dengan empat cara. Apa itu? Solat lima waktu, berpuasa bulan Ramadhan, menjaga kehormatan dan tahu apa satu lagi? Taat pada suami awak. Itu saja asasnya!”

Lelaki beriman menjawab Keluhan isteri D:
“Saya, seorang lelaki wajib berjihad fisabilillah. Awak, seorang wanita jika taat akan suaminya,dan menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, maka awak akan turut menerima pahala setara seperti pahala orang pergi berjihad fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata!”

Isteri kepada lelaki yang sedang berjihad menerima pahala jihad walaupun tidak turut sama dengan suaminya


Lelaki beriman bertanya, “Sebenarnya, apa lagi yang awak mahu, wahai kaum hawa?”

Namun, wanita-wanita tadi menangis dan salah seorangnya berkata, “MasyaAllah, sayangnya Allah pada wanita, namun kami sendiri yang mengheret diri ke neraka yang mana ramainya kaum kami berbanding kaum lelaki.”

Demikianlah dialog wanita-wanita yang curiga itu dengan seorang lelaki biasa namun beriman. Musuh Islam tidak akan berhenti melakukan segala upaya, sampai kita ikut dan tunduk kepada cara-cara dan peraturan yang dipromosikan dan diperjuangkan mereka.

Allah, yang menciptakan kita, maka sudah pasti Dia yang Maha Tahu pada manusia, sehingga segala hukumNya malah peraturanNya, tentulah yang terbaik bagi manusia dibandingkan dengan segala peraturan yang dicipta manusia.

Wahai lelaki, jagalah isterimu kerana dia perhiasan, pakaian dan ladangmu, sebagaimana Rasulullah s.a.w pernah mengajarkan agar kaum lelaki berbuat baik selalu (lembut) terhadap isteri anda sekalian.

Berbahagialah wahai para muslimah. Tunaikan dan tegakkan agamamu, nescaya syurga menanti.


Usahlah mengeluh kaum wanita. Sesungguhnya Allah swt sayang padamu

Read more...

Pengaruh Wanita Dalam Kehidupan Lelaki

>> Tuesday, February 22, 2011

Al-Quran tidak pernah meletakkan kesalahan Adam yang melanggar perintah Allah dalam syurga atas bahu isterinya Hawa. Sekalipun Bible dan riwayat-riwayat Israiliyyat dalam sesetengah buku tafsir menyatakan Hawa adalah punca yang menyebabkan Adam memakan buah larangan dalam syurga, namun al-Quran tidak pernah menyatakan demikian.
Menurut al-Quran, kesalahan tersebut ditanggung oleh kedua belah pihak. Sementara Bible (Genesis 3:6-17) menceritakan Hawa (Eve) telah mempengaruhi Adam, dengan itu Tuhan telah menghukum Hawa dengan diberikan kesakitan ketika melahirkan anak. Hal ini juga disebut oleh riwayat-riwayat Israiliyyat yang sering dibaca oleh sesetengah penceramah di masjid dan surau. Namun, para pengkaji hadis mendapati riwayat-riwayat itu tidak boleh dijadikan pegangan dan bercanggahan dengan apa yang disebut dalam a-Quran.
Al-Quran menyebut:
“dan Kami berfirman: “Wahai Adam! Menetaplah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua suka, dan janganlah kamu berdua hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka kamu akan termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim. Setelah itu maka syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”. (Surah al-Baqarah: 35-36).
Dalam Surah Taha pula Allah berfirman:
“dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”, lalu mereka pun sujud, kecuali Iblis, dia enggan sujud. Maka, Kami berfirman: “Wahai Adam! Sesungguhnya Iblis ini musuh bagimu dan bagi isterimu; oleh itu, janganlah dia menyebabkan kamu berdua keluar dari syurga, kerana dengan itu nanti kamu akan menderita. Sesungguhnya telah dikurniakan berbagai nikmat bagimu, bahawa kamu tidak akan lapar dalam syurga dan tidak akan bertelanjang. Dan sesungguhnya kamu juga tidak akan dahaga dalamnya, dan tidak akan merasa panas matahari”. Kemudian, syaitan membisikkan (hasutan) kepadanya (Adam), dengan berkata: “Wahai Adam, mahukah, aku tunjukkan kepadamu pohon yang menyebabkan kekal hidup selama-lamanya, dan kekuasaan yang tidak akan hilang lenyap?”. Kemudian mereka berdua memakan dari pohon itu, lalu terdedahlah kepada mereka aurat masing-masing, dan mereka mula menutupnya dengan daun-daun dari syurga; dan dengan itu derhakalah Adam kepada Tuhannya, lalu tersalah jalan (dari mencapai hajatnya). (Surah Taha: 116-121).
Ayat-ayat ini jelas bahawa kesalahan Adam yang membuatkan manusia tercampak ke bumi, bukanlah berpunca daripada isterinya Hawa, sebaliknya berpunca dari kelemahan Adam sendiri yang ditipu oleh Iblis, yang akhirnya dia dan isterinya terlibat bersama dalam kesalahan tersebut. Ini berbeza dengan Bible. Berbeza juga dengan cerita-cerita sesetengah penceramah agama yang mengutip kisah Adam dan Hawa dari riwayat Israiliyyat, ataupun Bible atau diwarisi cerita dari satu ustaz ke satu ustaz tanpa dibandingkan dengan apa yang terkandung dalam al-Quran.
Lebih buruk lagi, kononnya Iblis masuk ke syurga melalui perut ular dan pelbagai lagi episod ‘kartun’ yang dimuatkan. Cerita Hawa yang dipergunakan oleh Iblis sehingga mengeluarkan manusia dari syurga adalah unsur luaran yang dimasukkan ke dalam pemikiran umat Islam. Kata Dr Abu Syahbah:
“Semuanya ini dari sumber Bani Israil yang mereka tokok tambah dan mencampurkan antara yang benar dan yang batil”.(Dr. Muhammad Abu Syahbah, al-Israiliyyat wa al-Maudu’at fi Kutub al-Tafasir, 179. Kaherah: Maktabah al-Sunnah).
Maka, umat Islam atau lelaki muslim tidak akan menganggap bahawa punca kejatuhan lelaki kesemuanya bermula dari wanita. Walaupun wanita itu memang mempunyai pengaruh yang kuat ke atas lelaki, seperti mana pengaruh lelaki terhadap wanita, namun kejatuhan lelaki atau wanita dari kelemahan diri sendiri yang kadang-kala dieksploitasi oleh pasangannya.
Muslihat Wanita
Namun masa yang sama, al-Quran juga menyatakan kehebatan ‘usikan’ wanita atau lebih jelas ‘muslimat’mereka jika mereka bermaksud ingin melakukan ‘perancangan halus’. Wanita jika kena gaya memang boleh menjadikan lelaki ‘mengidaminya’ angau dan terpengaruh atas segala kehendaknya. Perancangan atau ‘plot’wanita begitu hebat sehingga al-Quran merakamkan ungkapan yang ditujukan kepada isteri Menteri Mesir (riwayat Israiliyyat konon menamakannya Zulaikha) dalam kisah Yusuf:
“Ini adalah perancangan kamu (kaum wanita), dan sesungguhnya perancangan kamu (kaum wanita) itu hebat”. (Surah Yusuf: 28).
Perkataan Arab yang al-Quran gunakan dalam ayat berkenaan ialah Kaid yang bermaksud perancangan yang mempunyai unsur licik dan muslihat. Sebab itu Louay Fatoohi dalam bukunya The Prophet Josephmenterjemahkan perkataan Kaid sebagai scheme yang bermaksud tindakan yang licik dan perancangan sulit yang kadang-kala membabitkan tipu daya. Kata beliau: “..this word, which I have translated as scheme means guile and plotting that could involve lies, as in this case”. (ms 86. Kuala Lumpur: Islamic Book Trust).
Maka, atas kelicikan itu, ramai lelaki yang tewas. Wanita ada kuasa ‘licin’ dan licik. Walaupun Nabi Yusuf tidak tewas, tetapi ramai lelaki selain nabi yang tewas dengan ‘kaid’ atau perancangan halus dan ‘sulit’ wanita. Senjata rahsia wanita pada tubuh, bahasanya dan jelingannya. Walaupun bukan semua mereka ada kelebihan itu, namun bagi yang berkelebihan jika perangkapnya mengena, sukar untuk lelaki terlepas daripadanya, kecuali mereka yang memenangkan takwanya atas godaan atau kaid tersebut.
Nabi s.a.w pernah bersabda:
“Aku tidak tinggal cubaan yang lebih hebat ke atas lelaki lebih dari wanita” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Sabda baginda juga:
“Sesungguhnya dunia itu manis lagi hijau dan Allah menjadikan kalian berketurunan di atasnya. Allah melihat apa yang kalian perbuat. Takutlah kamu kepada (fitnah) dunia dan takutlah kamu kepada (fitnah) wanita, karena sesungguhnya awal fitnah yang menimpa Bani Israil dari wanitanya” (Riwayat Muslim).
Maka, tidak hairan berapa ramai pemimpin yang gagah, tetapi ditewaskan oleh wanita idamannya, atau isteri kesayangannya. Betapa banyak reputasi pemimpin dirosakkan disebabkan isteri mereka, sehingga rakyat membenci seseorang pemimpin kerana gelagat isterinya. Dalam negara tertentu, kerenah wanita yang memakai gelaran ‘first lady’ boleh menghancurkan kerjaya dan masa depan politik seorang pemimpin negara. Demikian kerenah isteri pemimpin di pelbagai peringkat.
Maka, tidak hairanlah jika Elena Ceausescu, isteri bekas diktator Romania Nocolae Ceausescu dihukum mati bersama suaminya oleh rakyat Romania disebabkan peranannya dalam pemborosan harta negara dan kezaliman kuasa. Maka, jika suami tidak berperanan sebagai pembimbing dan pengawal yang soleh terhadap isteri mereka maka pelbagai kemungkinan boleh berlaku atas kemahiran wanita dalam perancangan atau kaid mereka.
Perhiasan Terindah
Namun wanita itu apabila solehah, mereka kadang-kala lebih baik daripada lelaki. Kehidupan yang buruk seseorang lelaki boleh diubah dengan kehalusan budi dan nilai yang ada pada seorang wanita. Nama baik seorang lelaki bertambah indah dengan kebaikan isterinya. Wanita benar-benar hiasan kehidupan lelaki. Lelaki tanpa wanita adalah lelaki yang cacat tabiatnya. Allah menjadikan wanita pasangan lelaki. Mereka tempat lelaki bermanja dan mendambakan perasaan kelakian. Nabi s.a.w bersabda:
“Dunia perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita yang solehah” (Riwayat Muslim).
Ada harta tiada wanita dalam kehidupan tiada ertinya. Ada rupa, tiada wanita tiada maknanya. Namun, wanita bagaimana yang lelaki perlukan dalam hidupnya dalam mengharungi bahtera kehidupan? Ya, wanita solehah yang membahagiakan suami, menjaga nama baik dirinya dan suaminya. Sabda Nabi s.a.w:
“Sebaik-baik wanita dia mengembirakan suami apabila engkau melihat kepadanya, mentaatinya apabila menyuruhnya, tidak menyanggahi suami dalam diri dan hartanya” (Riwayat al-Nasai, Ahmad dan al-Hakim, dinilai hasan oleh al-Albani).
Sabda Nabi s.a.w juga:
“Tiga dari kebahagiaan: “Wanita yang apabila engkau melihatnya, ia mengkagumkan engkau, apabila engkau tiada bersamanya dia menjaga dirinya dan harta engkau” (Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak, dinilai hasan oleh al-Albani)
Untuk menjadikan wanita itu berfungsi dengan baik, suaminya juga hendaklah baik. Jika tidak, kebaikan wanita akan hilang pada padangan suami yang songsang, seperti mana hilangnya kebaikan Asiah di mata firaun yang zalim. Suami yang baik juga, tidak akan dapat dilihat kemuliaannya di mata isteri yang jahat.

Read more...

Apa Erti Menjadi Isteri Solehah

>> Monday, September 20, 2010


Apa erti menjadi isteri solehah. Pelbagai pandangan dan jawapan mampu kita tafsirkan, samada melalui pembacaan, perbincangan dan perkongsian pengalaman. Kita menyingkap kembali sejarah Nabi Ibrahim sewaktu baginda menziarahi menantunya. Pada  waktu itu, puteranya, Nabi Ismail tiada di rumah sedangkan isterinya belum pernah  bertemu  bapa  mertuanya, Nabi  Ibrahim.
Apabila  sampai  di rumah anaknya itu, terjadilah  dialog  antara Nabi Ibrahim dan menantunya.
Nabi Ibrahim    :  Siapakah kamu? 

Menantu          :  Aku isteri Ismail. 

Nabi Ibrahim     :  Di manakah suamimu, Ismail? 
Menantu           :  Dia pergi berburu. 
Nabi Ibrahim     :  Bagaimanakah keadaan hidupmu sekeluarga? 
Menantu          : Oh, kami semua dalam kesempitan dan (mengeluh) tidak  pernah senang dan lapang. 
Nabi Ibrahim    :  Baiklah!  Jika suamimu  balik,  sampaikan  salamku padanya. Katakan padanya, tukar  tiang  pintu rumahnya (sebagai kiasan supaya   menceraikan isterinya). 
Menantu          :  Ya, baiklah.

Setelah Nabi  Ismail  pulang  daripada  berburu,  isterinya terus menceritakan tentang orang tua yang telah singgah di rumah mereka.
Nabi Ismail       : Adakah apa-apa yang ditanya oleh orang tua itu? 

Isteri               :  Dia bertanya tentang keadaan hidup kita. 

Nabi Ismail       :  Apa jawapanmu? 
Isteri                :  Aku ceritakan kita ini orang yang susah. Hidup  kita ini selalu dalam kesempitan, tidak pernah senang. 
Nabi Ismail      :  Adakah dia berpesan apa-apa? 
Isteri               :  Ya ada. Dia berpesan supaya aku menyampaikan  salam kepadamu serta meminta kamu menukarkan tiang  pintu rumahmu. 
Nabi Ismail       :  Sebenarnya  dia  itu  ayahku.  Dia  menyuruh  kita berpisah. Sekarang  kembalilah  kau  kepada keluargamu.


Ismail  pun  menceraikan isterinya  yang  suka  merungut,  tidak bertimbang  rasa serta tidak bersyukur kepada takdir   Allah  SWT. Sanggup  pula mendedahkan rahsia rumah tangga kepada  orang  luar.
Tidak lama selepas  itu, Nabi Ismail berkahwin lagi. Setelah  sekian lama,  Nabi  Ibrahim  datang lagi ke Makkah  dengan  tujuan menziarahi  anak dan menantunya. Berlakulah lagi pertemuan  antara mertua dan menantu yang saling tidak mengenali.
Nabi Ibrahim     :  Dimana suamimu? 

Menantu           :  Dia tiada dirumah. Dia sedang memburu. 

Nabi Ibrahim     :  Bagaimana keadaan hidupmu sekeluarga? Mudah-mudahan dalam kesenangan? 
Menantu           :  Syukurlah kepada tuhan, kami semua  dalam  keadaan sejahtera, tiada apa yang kurang. 
Nabi Ibrahim     :  Baguslah kalau begitu. 
Menantu           :  Silalah  duduk  sebentar.  Boleh  saya  hidangkan sedikit  makanan. 
Nabi Ibrahim     :  Apa pula yang ingin kamu hidangkan? 
Menantu           :  Ada sedikit daging, tunggulah saya sediakan minuman dahulu. 
Nabi Ibrahim     :  (Berdoa) Ya Allah! Ya Tuhanku!  Berkatilah  mereka dalam makan minum mereka. (Berdasarkan peristiwa  ini, Rasulullah beranggapan keadaan mewah negeri Makkah adalah 
berkat doa Nabi Ibrahim). 
Nabi Ibrahim   :  Baiklah, nanti apabila suamimu  pulang,  sampai- kan salamku kepadanya. Suruhlah dia menetapkan  tiang pintu rumahnya sebagai kiasan untuk  mengekalkan isteri Nabi Ismail).


Apabila  Nabi Ismail pulang daripada berburu, seperti  biasa dia bertanya sekiranya sesiapa datang datang mencarinya.
Nabi Ismail       :  Ada sesiapa datang semasa aku tiada di rumah? 

Isteri               :  Ya,  ada.  Seorang  tua yang  baik rupanya dan perwatakannya sepertimu. 

Nabi Ismail       :  Apa katanya? 
Isteri               :  Dia bertanya tentang keadaan hidup kita. 
Nabi Ismail       :  Apa jawapanmu? 
Isteri               :  Aku nyatakan kepadanya hidup kita dalam keadaan baik, tiada apapun  yang kurang. Aku ajak juga dia makan  dan minum. 
Nabi Ismail       :  Adakah dia berpesan apa-apa? 
Isteri               :  Ada, dia berkirim salam buatmu dan  menyuruh kamu mengekalkan tiang pintu rumahmu. 
Nabi Ismail       :  Oh, begitu. Sebenarnya dialah ayahku. Tiang  pintu yang dimaksudkannya itu ialah dirimu yang dimintanya untuk aku kekalkan. 
Isteri               :  Alhamdulillah, syukur.


Bagaimana pandangan pembaca tentang petikan sejarah ini? Kisah sejarah ini sungguh menyentuh jiwa. Anda juga  tentu  merasai  dan  mengalami  sendiri  ujian   hidup berumahtangga  yang  sentiasa  perlukan  kesabaran.
Berpandukan sejarah  tersebut, bolehlah kita tegaskan kepada  diri sendiri bahawa isteri solehah itu sepatutnya ‘sabar di hati dan syukur pada wajah’. Daripada sini akan terpancar ketenangan setiap kali  suami  berhadapan dengan  isteri  solehah. Isteri solehah tidak cerewet  dan  tidak mudah merungut. Isteri solehah hendaklah sentiasa bersyukur dalam keadaan senang  mahupun  susah  supaya  Allah  tambahkan  lagi rahmat-Nya seperti firman-Nya yang bermaksud:
“Sesungguhnya  jika  kamu  bersyukur,  pasti  Aku tambahkan  nikmat-Ku kepadamu. Dan jika kamu mengingkari nikmat-Ku, maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”  (Surah Ibrahim, ayat 7)
Untuk menambahkan kegigihan kita berusaha menjadi isteri solehah, ingatlah hadith Rasulullah yang bermaksud:
“Sampaikanlah kepada sesiapa yang engkau temui daripada  kaum wanita, bahawasanya taat kepada suami serta mengakui  haknya adalah menyamai pahala orang yang berjihad pada jalan Allah, tetapi sangat sedikit sekali golongan kamu yang dapat melakukan demikian.”
(Riwayat Al-Bazzar dan Ath-Thabrani)

Begitulah,  untuk  menyediakan  diri  sebagai isteri solehah,  hati  kita  hendaklah sentiasa  dipenuhi  dengan  kasih sayang rabbani. Contoh teladan yang sepatutnya jadi rujukan kita ialah sejarah kehidupan nabi serta orang soleh.

Read more...

Anak-anak di Bawah Naungan Islam : Suatu Kebiasaan Jahiliyah

>> Monday, August 16, 2010

Di antara tradisi yang masih wujud dalam masyarakat dan yang telah menyebabkan kebanyakan keluarga tidak memberikan kesempatan kepada anak-anak mereka untuk menikmati kehidupan bersuami isteri yang bahagia yang merupakan puncak harapan dan dambaan setiap anak perempuan, iaitu dua perkara:

Pertama, membanggakan keturunan. Maksudnya adalah rasa saling membanggakan keturunan, dan keyakian mereka bahawa keturunan mereka lebih terhormat daripada keturunan orang lain, sekalipun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, “Ketahuilah, sesungguhnya Allah Subhaanahu Wata'ala telah menghapus kesombongan kaum jahiliyah dan kebanggaan mereka terhadap para keturunannya.

Yang ada hanyalah seorang mu’min yang bertaqwa atau seorang pembangkang yang celaka. Manusia adalah anak-cucu Adam, dan Adam berasal dari tanah, maka hendaklah orang-orang meninggalkan (kebiasaan) membangga-banggakan para keturunan, kerana sesungguhnya mereka adalah sebagian dari arang api neraka Jahannam, atau bahkan mereka lebih hina di hadapan Allah daripada bajing-bajing.”

Kedua, merendahkan atau menghinakan keturunan orang lain. Maksudnya adalah menganggap rendah dan hina keturunan suatu suku atau kabilah tertentu di masyarakat disebabkan mereka tidak mengenal silsilah keturunan mereka pada salah satu suku atau kabilah Arab yang terkenal.

Padahal Al-Qur’an yang Suci telah menetapkan ukuran kelebihan dan keutamaan di antara manusia itu adalah terletak pada keistiqamahan di dalam menjalankan kepatuhan kepada Allah Subhaanahu Wata'ala, sebagaimana firman-Nya,

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu.” (Al-Hujurat: 13).

Ayat ini menjelaskan bahawa selagi seluruh manusia itu berasal dari satu nenek moyang (Adam dan Hawa), maka keturunan dan mata rantainya tidaklah mempunyai nilai. Dua masalah inilah yang telah menyebabkan kesengsaraan kebanyakan remaja, dan masih ada sebahagian keluarga yang masih berpegang teguh kepada keduanya kerana tunduk kepada tradisi jahiliyah yang sudah usang itu. Implikasinya adalah dua hal, iaitu:

Pertama: menjauhnya para pemuda dari starta suku yang memandang dirinya lebih tinggi daripada starta yang lain, serta merupakan suatu aib dan kehinaan apabila mereka menikah-kan anak-anaknya dengan pemuda dari suku atau starta yang mereka pandang lebih rendah.

Sebagai akibatnya, anak anak mereka hidup sepanjang hayat dengan tidak berkahwin kerana tidak ada laki-laki yang setaraf dengan keturunan mereka. Ini adalah tindakan jenayah terhadap anak-anak remaja, yang penyebabnya adalah berpegang teguh kepada tradisi jahiliyah kuno yang dibatalkan oleh Islam.

Kedua, munculnya kehancuran di kalangan keluarga-keluarga darah biru seperti itu yang disebabkan anak-anak mereka dilarang menikah, lalu dengan sembunyi-sembunyi mereka mencari jalan untuk memenuhi tuntutan biologisnya.

Maka, oleh karena khawatir kerosakan moral itu akan menyebar di dalam masyarakat dan sebagai pembatalan terhadap tradisi jahiliyah itulah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda, sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Hatim Al-Muzaniy:

إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِيْنَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوْهُ، إِلاَّ تَفْعَلُوْا تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي اْلأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيْرٌ. قَالُوْا: يَا رَسُوْلَ اللهِ وَإِنْ كَانَ فِيْهِ؟ قَالَ: إِذَا أَتَاكُمْ مَنْ تَرْضَوْنَ دِيْنَهُ وَخُلُقَهُ فَأَنْكِحُوْهُ.

“Apabila datang kepada kamu orang (laki-laki untuk melamar) yang kamu rela (ridha) akan agama dan akhlaknya, maka nikahkan ia (dengan putrimu), sebab jika kamu tidak melakukannya, nescaya terjadi kehancuran (fitnah) dan malapetaka besar di muka bumi ini.

” lalu para shahabat bertanya, “Hai Rasulullah, apakah sekali pun ia (bukan dari suku terkenal)?” Jawab beliau, “Apabila datang kepada kalian seorang lelaki (untuk melamar) yang kamu rela akan agama dan akhlaknya, maka nikahkan ia (dengan putrimu)”. Nabi mengulangi sabdanya itu tiga kali.

Sekali lagi penulis ingin mengatakan, sesungguhnya membangga-banggakan dan menyombongkan diri dengan keturunan, menghinakan dan menganggap rendah keturunan orang lain adalah merupakan tradisi Jahiliyah, tugas Islam adalah menghapus dan memerangi setiap tradisi dan budaya buruk jahiliyah tersebut.

Sekalipun sudah ada ikatan agama dan darah di antara komunitas suatu masyarakat, namun pada sebagian masyarakat kita masih ada sekelompok manusia yang hidup dikungkung oleh pemikiran: “ini orang udik dan itu orang berbudaya”.

Hal itu tentu merupakan pemikiran dan budaya yang sangat jauh dari ajaran Islam yang telah menjadikan ukuran kemuliaan di antara sesama manusia itu terletak pada taqwa dan kesolehan saja! Cukuplah penulis ketengahkan satu contoh di mana segala macam keturunan kesukuan menjadi cair, yang pada suku atau golongan ningrat tertentu sangat dipelihara dan dipegang teguh melebihi keteguhan mereka kepada ajaran-ajaran agama yang diwajibkan oleh Allah. Contoh dimaksud adalah kisah pernikahan Zaid bin Haritsah dengan Zainab binti Jahsy.

Zaid bin Haritsah adalah mantan budak Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, sedangkan Zainab binti Jahsy adalah seorang perempuan berdarah biru dari kabilah Quraiys, anak cucu Bani Hasyim. Sekali pun perbedaan starta sosial dan perbedaan nasab antara keduanya, namun Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap menikahkan Zaid dengan Zainab.

Apakah setelah pernikahan cucu Abdul Muttalib, putri dari bibi Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang berdarah biru (dari keturunan Quraisy) dengan seorang mantan hamba sahaya itu masih ada logika yang dapat diterima yang membeza-bezakan antara anak anggota masyarakat kerana pandangan bahwa si A orang udik, sedangkan si B itu orang berbudaya?!

Adalah sesuatu yang, demi Allah, tidak diajarkan oleh Allah..! Sekali lagi penulis katakan, “Sesungguhnya membanggakan keturunan dan mencela nasab orang lain adalah dua perkara yang termasuk tradisi dan budaya Jahiliyah, maka kewajiban setiap muslim adalah memerangi setiap tradisi dan budaya yang dibatalkan oleh Islam!”

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP