Showing posts with label Umat Islam. Show all posts
Showing posts with label Umat Islam. Show all posts

Apabila Islam Hanya Tinggal Nama

>> Tuesday, January 31, 2012

Mesti kalimah ini tergantung di dinding rumah anda kan?


Alangkah bahagianya jika kita ditakdirkan lahir dan berada pada zaman kegemilangan Islam bersama dengan Rasulullah SAW. Ini kerana kita dapat berjuang, belajar secara langsung daripada Baginda, dapat melihat wajahnya serta boleh berkomunikasi secara langsung dengannya apabila menghadapi sesuatu masalah. Zaman Baginda itu adalah satu masa yang sangat hebat kerana dapat melahirkan generasi individu Muslim yang unggul dalam segenap aspek kehidupan hingga mendapat jolokan daripada Allah sebagai sebaik-baik umat kerana menjalankan tugas menyampaikan yang makruf, mencegah kemungkaran dan beriman dengan Allah.

Inilah generasi yang telah dicatat dalam lembaran sejarah kerana membantu Baginda menundukkan dua kuasa besar pada masa itu iaitu Rom dan Parsi yang mendakwa memiliki sumber tamadun yang hebat, namun kehebatan individu di kalangan Sahabat Rasulullah terdapat pada diri mereka akhlak mulia mampu menundukkan keangkuhan kedua-duanya sekali.

Empayar Islam begitu gah dan dihormati suatu ketika dulu. Adakah mereka maju dengan meniru barat?


Mereka mencipta nama dalam sejarah tamadun manusia sebagai pahlawan Islam dengan menyebar dan memperluaskan ajaran Baginda Rasulullah SAW sesuai dengan pegangan mereka kepada agama Islam yang membawa maksud kesejahteraan, keharmonian, kedamaian, keamanan dan keselamatan untuk umat manusia sejagat.

Bagaimana dengan kita hari ini? Adakah kita bersemangat sama seperti Para Sahabat?

Tidak dinafikan bahawa kita sebagai umat Nabi Muhammad, di antara mereka ada yang diberikan nama oleh ayah-ayah kita sebahagiannya dengan menggunakan nama Para Sahabat seperti Abu Bakar As Siddiq, Umar, Uthman, Ali, Ubadillah, Salman, Khalid, Hamzah, Abbas, Bilal, Zubair dan sebagainya. Tetapi apakah nama-nama tersebut benar-benar meresap masuk dalam sanubari kita hingga mencontohi Para Sahabat dalam mendepani segenap isu agama.

Alangkah malangnya segelintir umat Islam hari ini yang sudah mula menamakan anak-anak mereka dengan nama-nama yang kadang-kadang tidak memberi makna langsung berkaitan dengan agama. Nama-nama seperti yang disebutkan di atas tidak lagi menjadi sebutan di bibir mereka. Mengapa? Sama-samalah kita mencari kekurangannya.

Malah Islam hanya tinggal pada nama sahaja, sedangkan cara dan gaya hidup tidak melambangkan mereka seperti orang Islam, ini termasuk cara berpakaian, penampilan diri lelaki dan wanita Islam, cara berkeluarga, cara berfikir, cara mendidik anak-anak dengan agama dan seribu satu macam karenah lagi tidak menampakkan diri mereka persis individu Muslim yang beramal dengan ajaran Islam sebenar.

Inilah yang pernah disabdakan oleh Baginda Rasulullah SAW lebih 14 abad lalu, seolah-olah ia bagaikan satu ramalan tepat, kerana Baginda sentiasa menerima wahyu daripada Allah Taala, sudah tentu Dia mengetahui segala-galanya kerana ia di bawah kawalan dan pengawasan-Nya. Benarlah sabda Nabi SAW yang bermaksud, daripada Ali bin Abi Talib RA berkata: 

“Telah bersabda Rasulullah SAW bahawa sudah hampir tiba suatu masa, di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya, tidak tinggal daripada Al Quran itu kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka tersergam indah, tetapi ia kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di bawah kolong (naungan) langit. Daripada merekalah berpunca fitnah, dan kepada merekalah fitnah itu akan kembali”. 
(Hadis riwayat Al Baihaqi)

Kalau kita perhatikan dunia Islam pada hari ini, keadaannya tidak begitu jauh daripada gambaran yang telah ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Kalau belum sampai pun, ia sudah hampir menjurus ke sana. Apa yang Baginda sebutkan dalam hadisnya di atas bolehlah kita bincangkan satu persatu untuk melihat sejauh mana kebenaran kenyataan baginda itu.

  1. Islam hanya tinggal namanya sahaja.
  2. Al Quran hanya tinggal tulisannya.
  3. Masjid tersergam indah tetapi kosong daripada hidayah Allah.
  4. Lahirnya ulama jahat yang mementingkan periuk nasi daripada Islam.
  5. Fitnah tersebar akibat kedangkalan ulama-ulama jahat.

Islam Hanya Tinggal Namanya Sahaja

Kelak akan banyak orang yang mengaku beragama Islam namun perbuatan sehariannya tidak mencerminkan sebagai seorang Islam yang baik, hanya namanya sahaja Islam. Islam diperalatkan untuk kepentingan tertentu. Oleh kerana itu kita dapat lihat ramai orang Islam melanggar syariat.

Solat mengikut ‘mood’, ada seminggu sekali, ada sebulan sekali, setahun sekali dan ada yang tidak pernah solat sama sekali. Yang kaya pula enggan membayar zakat, yang pergi haji mahu digelar ‘pak haji’ namun masih lagi melepak di kedai judi dan menghabiskan masa.

Ramai yang bercakap tentang Islam padahal mereka tidak mengamalkannya. Pandai berpidato agar orang percaya dia seorang Islam yang baik dan memperjuangkan Islam, sehingga ada yang mengubah halal menjadi haram dan haram menjadi halal, bahkan hukum nas kalau boleh disesuaikan dengan zaman, bukan keadaan zaman disesuaikan dengan ketentuan nas.

Islam yang hanya tinggal nama


Sebenarnya orang yang sebegini tergolong daripada golongan orang munafik sebagaimana Sahabat Nabi yang bernama Abu Huzaifah ditanya apa itu nifak? Beliau menjawab:

“Kamu berbicara tentang Islam, tetapi kamu tidak mengamalkan ajaran-ajarannya”. 
(Masnad ar-Rabi’)

Al Quran Hanya Tinggal Tulisannya

Dalam banyak hadis Rasulullah SAW, Baginda menganjurkan kita umatnya agar membudayakan pembacaan Al Quran, ia bukan sekadar penawar kepada pelbagai penyakit yang sukar diubati, malah ia juga bertindak sebagai penyembur kepada hati yang berkarat dengan penyakit-penyakit cintakan dunia secara berlebihan.

Tujuan Al Quran diturunkan adalah untuk menjadi pedoman dalam soal akidah, iman, beribadah kepada Allah dengan membacanya, dipelajari isi kandungannya, diamalkan segala apa yang ada di dalamnya. Menjadi rujukan dalam segenap masalah yang dihadapi oleh manusia, dan yang paling utama ialah melaksanakan hukum, undang-undang dan perintah Allah yang ada di dalamnya.

Ayat Quran terukir indah di dinding masjid, lebih indah lagi jika terukir di hati umat Islam


Apa yang mendukacitakan kita pada hari ini, Al Quran dijadikan bahan untuk musabaqah menjelang ketibaan Ramadan iaitu bulan yang diturunkan Al Quran di dalamnya. Sedangkan undang-undangnya tidak diguna-pakai walaupun sudah merdeka lebih setengah abad, orang-orang Islam yang melakukan jenayah tidak dihukum dengan undang-undang hudud atau qisas di dunia ini. Inilah gambaran ketegasan Nabi bahawa Al Quran hanya tinggal tulisannya untuk dibaca, bukan untuk diamalkan.

Masjid Tersergam Indah Tetapi Kosong Daripada Hidayah Allah



Indahnya masjid disebabkan pengunjungnya


Inilah kebenaran kenyataan Baginda Rasulullah SAW bahawa masjid-masjid umatnya pada akhir zaman memang cukup indah dan megah, tetapi pengisian di dalamnya tidak memberangsangkan. Masjid yang sepatutnya menjadi tempat menyampaikan kuliah agama kadang-kadang sepi daripada pengunjungnya.

Terdapat masjid yang membiayai urusan pembayaran bil elektrik, air dan penyelenggaraan mencecah nilai ringgit yang cukup tinggi, namun kadang-kadang apa yang menduka-citakan kelas pengajian pun tidak ada, ada yang diisi dengan kelas marhaban atau barzanji, itu pun tidak memahami dengan baik maksud apa yang dibacakan. Malah ada pula masjid dipertandingkan sempena Maulidur Rasul sebagai masjid yang paling cantik dan bersih.

Lahirnya Ulama Jahat

Tidak dinafikan juga wujud kalangan ilmuan Islam yang tidak berani untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim seperti yang disabdakan oleh Baginda, justeru itulah yang diingatkan oleh Baginda dalam hadisnya di atas. Golongan ulama ini sama seperti Bal’am bin Ba’ura (ulama Bani Israil) yang ditegaskan dalam ayat 176 surah Al ‘Araf.

“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.
(surah Al ‘Araf ayat 176)

Menurut Imam Fakhruddin Ar-Razi, Imam Ibni Khathir, Imam Tabari dan ramai mufassirin bahawa ayat ini diturunkan berkenaan dengan seorang lelaki dari Negara Yaman bernama Bal’am bin Ba’ura’. Sebilangan ulama lain menyatakan, Bal’am adalah seorang ahli ibadat yang mempunyai kemakbulan doa dari bangsa Bani Israel.

Menurut cerita daripada Ibnu Abbas, pada zaman Nabi Musa a.s ada seorang alim bernama Bal’am bin Ba’ura. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Bal’am rahsia khasiat-khasiat nama-nama Allah Yang Maha Besar (Doa Bal'am bin Ba'ura mustajab). Setelah peristiwa firaun dilemaskan dalam laut, Nabi Musa A.S dan bani Israel yang terselamat terus mengembara sehinggakan hampir sampai dengan negeri tempat tinggal Bal’am. Raja negeri tersebut ketakutan, takut kalau-kalau negerinya diserang oleh kaum yang telah berjaya menewaskan Firaun. Setelah bermesyuarat dengan penasihat-penasihatnya Raja tersebut memutuskan untuk meminta pertolongan Bal’am agar Bal’am menggunakan ilmunya (berdoa) untuk mengalahkan Nabi Musa AS.

Pada mulanya Bal’am masih tidak mahu mendoakan. Akan tetapi setelah isterinya tidak bercakap, melayannya dan menyediakan makanan seperti biasa dibuat. Lama kelamaan Bal’am pun bertanya kepada isterinya mengapa isteri beliau mogok dan beliau tidak dilayan seperti biasa dilakukan. Isteri Bal’am berkata “berdoalah bukan susah seperti yang dipinta oleh Raja”.

Bal’am dengan kekuatan ilmunya dan kemujaraban doanya telah mengenakan sekatan kepada Nabi Musa AS, doa Bal’am itu termakbul, menyebabkan Nabi Musa tersesat di satu tempat yang bernama Teh (sekarang dinamakan semenanjung Sinai) selama 40 tahun.

Kesesatan yang maha dahsyat itu, menyebabkan Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di ladang Teh ini?”.

Jawab Allah SWT, “berpunca dari doa Bal’am”

Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “Wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkan doaku terhadap Bal’am”.

Lalu, Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah, menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir sepertimana anjing.

“Minta berlindung kita dengan Allah daripada menjadi seperti Bal’am bin Ba’ura’”. Wallahua’lam (Kisah ini isra’iliyyat yang wajar dijadikan pengajaran kepada kita).

Kepentingan dunia kerana mahu mengejar pangkat dan populariti menguasai hidup mereka hingga ada yang berani menghalalkan apa yang diharamkan Allah, menyembunyikan kebenaran kerana takut keduniaannya tersekat dan periuk nasinya terjejas hingga sanggup menggadai prinsip-prinsip agama, dalam hal ini, siapa yang makan cili maka dialah yang merasa bahang pedasnya.

Fitnah Tersebar Akibat Kedangkalan Ulama-Ulama Jahat

Fitnah terhadap Islam sudah semakin menular yang tidak pernah terfikir oleh individu Muslim yang baik di sisi Allah. Industri hiburan yang melibatkan artis-artis beragama Islam hingga ke peringkat paling seksi menjadi juadah mata pada hari ini, perkara ini berlaku adalah kerana ulama-ulama yang jahat mendiamkan diri tidak mahu bercakap kerana takut segala kemudahan yang dikecapinya akan hilang, walaupun Islam daripada diri umat Islam bukan menjadi perkiraan hidup.

Read more...

Hikmah di Balik Gerhana, Menurut Pandangan Islam

>> Monday, December 12, 2011

Gerhana matahari dan gerhana bulan merupakan fenomena alam yang diciptakan oleh Allah swt untuk memperlihatkan tanda–tanda kebesaranNya. Berlakunya gerhana matahari disebabkan posisi bulan yang berada di antara matahari dan bumi sehingga menghalang cahaya matahari sampai ke bumi. Manakala gerhana bulan terjadi apabila keadaan bumi berada di antara matahari dan bulan yang menyebabkan bulan tidak memantulkan cahaya matahari ke bumi.

Pada zaman Nabi saw telah terjadi satu kali kejadian gerhana matahari. Menurut ulama, gerhana ini terjadi pada 29 Rabi’ul Awal tahun 10 Hijriah, iaitu pada akhir bulan Hijriah sedangkan gerhana bulan pula berlaku pada pertengahan bulan Hijriah, bertepatan dengan meninggalnya putera beliau yang tercinta iaitu Ibrahim.

Gerhana Bulan

Kejadian gerhana bukan disebabkan oleh kematian atau kelahiran seseorang sebagaimana teguran Rasulullah SAW terhadap para sahabat yang membuat pelbagai andaian tentang kejadian gerhana matahari yang berlaku berkebetulan dengan hari kewafatan anakandanya Ibrahim

Rasulullah shallallahu alaihi wasallam bersabda :

Dari Abu Mas’ud radhiyallahu anhu berkata: Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda kebesaran Allah, di mana Allah menakuti hamba-Nya. Tidak terjadi gerhana kerana kematian seseorang manusia, akan tetapi keduanya merupakan dua tanda kebesaran Allah, apabila kamu menyaksikannya, maka laksanakan solat dan berdoalah kepada Allah sehingga dikembalikan kembali oleh Allah” 
(HR Bukhari dan Muslim, nas ini lafaz Muslim 4/463 hadits nomor 1516)

Apabila berlaku kejadian gerhana, baginda akan berdoa sehingga mengalirkan air mata kerana bimbang Allah SWT akan mengazab umatnya di sebabkan dosa dan maksiat yang mereka lakukan. 

Ini menunjukkan betapa perlunya kita sebagai umat yang dikasihinya agar memohon keampunan daripada Allah SWT, bertaubat dari segala kesalahan yang telah kita lakukan. 

Bertaubat dalam Islam bukan hanya menyebutnya di lidah tanpa pembuktian melalui amal dan perbuatan. Taubat hendaklah dilakukan dengan hati yang ikhlas tanpa paksaan dari mana-mana pihak. Segala kesalahan yang dilakukan hendaklah dikesali dengan sepenuh-penuh kesal dan berazam tidak mahu mengulanginya semula. Jika seseorang itu ada melakukan kesalahan dengan manusia maka hendaklah memohon maaf kepada orang yang dilakukan kesalahan itu bersungguh-sungguh. 

Di samping bertaubat, dianjurkan juga supaya bersegera untuk melakukan perkara-perkara kebajikan iaitu berdoa, berzikir, bersembahyang, bertakbir dan bersedekah di jalan Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW, 

“Maka jikalau kamu melihatnya berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”. 
(Hadis riwayat Bukhari)

Namun ramai yang menilai gerhana menggunakan mata bukannya hati, di mana manusia menilai kejadian yang berlaku hanya dengan kaca mata semata-mata tanpa menoleh ke sisi syar’i. Mereka melihatnya dengan pandangan sekadar fenomena alam, tanpa melihat siapa yang menakdirkannya dan apa tujuannya.

Hati yang bersih dapat melihat jauh lebih dari pandangan mata

Ada juga yang percaya dengan cerita-cerita tahyul seperti serigala kejadian, hantu dan bermacam-macam lagi apabila gerhana berlaku. Dan lebih malang lagi anak kecil pun di ajar begitu.

Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhi sebarang kepercayaan tahyul dan khurafat dari sebarang fenomena alam ciptaan Allah SWT. Mempercayai kepercayaan karut dan khurafat boleh membawa ke lembah syirik kepada-Nya.

Read more...

Masuk Neraka Kerana Seekor Lalat

>> Monday, November 14, 2011


Dari Tariq ibn Shihab,

“
Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda “ Seorang lelaki telah masuk syurga kerana seekor lalat dan seorang lelaki lain masuk neraka kerana seekor lalat. Sahabat bertanya “ Bagaimana boleh berlaku ya Rasulallah : Baginda saw bersabda : Dua orang lelaki telah melalui perkampungan satu kaum yang memiliki berhala. Setiap orang yang melalui berhala tidak akan dibenarkan lalu kecuali jika melakukan korban untuk berhala berkenaan. Dua orang tadi ditahan lalu dikatakan kepada mereka berkorbanlah. Berkata seorang dari mereka kami tidak memiliki sesuatu untuk dikorbankan. Lalu berkata penjaga berhala ” berkorbanlah walaupun seekor lalat". Lalu lelaki ini mengorbankan seekor lalat, lalu dia pun dibenarkan lalu. Kepada seorang lelaki yang lain , ia berkata “ aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain kepada Allah, lalu mereka memancung kepalanya maka masuklah dia kedalam syurga.” 
(HR Imam Ahmad)

Situasi ini mungkin sudah tidak berlaku di zaman sekarang. Tidak ada lagi orang yang memaksa untuk berkorban untuk patung ataupun berhala. Tetapi di zaman yang serba maju ini, keadaan ini sebenarnya masih berlaku tetapi dalam keadaan yang berbeza dan tidak lagi dipaksa tetapi rela. Menarik bukan.


Saya ingin kaitkan hadis ini dengan situasi masyarakat sekarang yang masih taksub dengan bomoh. Bomoh yang membakar kemenyan dan meminta pengeras sebagai korban untuk mencapai hajat apa yang diingini. Bukankah situasi ini sama dengan kisah di dalam hadis tersebut.

Pengeras

Pengamal perubatan tradisional yang juga dikenali sebagai bomoh ataupun dukun akan mengenakan bayaran tertentu sebagai upah kepada perkhidmatan yang mereka berikan. Untuk nampak lebih hebat, kononnya jumlah bayaran tu telah pun ditetapkan oleh khadam ataupun jin belaan bomoh tersebut. Bayaran Pengeras tidak sama antara bomoh dan jenis penyakit. Dari puluhan ringgit hinggalah boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. 

Pengeras yang agak tinggi biasanya akan cuba dibayar oleh pesakit walaupun tinggal sehelai sepinggan disebabkan desakan penyakit yang di alami. Cuba kita fikirkan, adakah jin memerlukan duit? Jin tidak perlu menghulurkan duit pun untuk membeli sekampit beras dikedai runcit.

Selain meminta pengeras dalam bentuk duit, ada juga yang meminta yang bukan-bukan seperti darah ayam, telur ayam kampung, pulut kuning. Barang-barang yang diminta oleh jin ataupun syaitan ini berlainan mengikut keadaan geografi (negara). Kenapa? Sebenarnya syaitan tidak memerlukan barangan tersebut. Tetapi mereka gembira kita dapat mengikut kemahuan mereka. Tujuan mereka cuma satu, untuk sesatkan manusia dan mendiami neraka bersama mereka.

Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenarnya. Berserah kepada Allah swt. Jangan biarkan diri diperdaya oleh Syaitan. Sesungguhnya Syaitan adalah musuh yang nyata. 

Read more...

Beribadat 500 Tahun Tidak Menjanjikan Syurga

>> Wednesday, October 19, 2011


Dari Jabir r.a. berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah s.a.w katanya, "Wahai muhammad demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun diatas sebuah bukit yang lebar, panjang bukit itu 30 puluh hasta dan lebarnya 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru".

Dan di situ Allah s.w.t mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah s.w.t juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu dia pun sembahyang. Dalam sembahyang, dia telah meminta kepada Allah s.w.t. supaya mematikannya ketika dia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari berbangkit. Maka Allah s.w.t. pun menerima permintaanya.

Berkatalah malaikat lagi, "Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat tahu bahawa dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah s.w.t. lalu Allah s.w.t. menyuruh Malaikat: "Masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku". Maka berkata orang itu, "Dengan disebabkan amalku?" Maka Allah s.w.t. menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah s.w.t. berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, iaitu nikmat pengelihatan yang Allah s.w.t. berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah s.w.t. berfirman, "Masukkan dia ke dalam neraka". Apabila dia ditarik ke neraka maka dia pun berkata," Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu. "Lalu Allah s.w.t. berfirman kepada malaikat, "Bawakan dia ke mari". Kemudian Allah s.w.t. bertanya orang itu, "Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada". Lalu orang itu menjawab, "Engkau ya Allah". Kemudian Allah s.w.t. bertanya lagi, ”Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?”. Jawab orang itu, "Ya Allah, dengan rahmatmu.” Allah s.w.t. bertanya lagi, "Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?". Jawab orang itu, "Engkau ya Allah". Allah s.w.t. bertanya lagi, "Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?"

lalu orang itu berkata, "Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya." Allah s.w.t. berfirman, "Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku." Malaikat Jibrail berkata, "Segalaa sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah s.w.t".

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah s.w.t. berikan pada hambanya, oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah s.w.t. sebaliknya mohonlah dengan rahmatnya.

Kerana hanya dengan rahmat Allah s.w.t. sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah s.w.t. supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah s.w.t. memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam Syurga Firdaus.

Masuk 
Syurga itu terletak pada rahmat Allah, dengan melakukan apa yang diperintahkannya dan menjauhi dari segala apa larangannya mendekatkan kita pada RahmatNya. Jangan sesekali kita angkuh dengan amal ibadah dan ilmu yang kita ada namun hendaklah kita sentiasa bersyukur, ikhlas dan sentiada merendah diri kerana tiap suatu nikmat atau dugaan datang daripada Allah.

Read more...

Lanjutan Kisah Zakat Dan Murtad

>> Friday, September 9, 2011

Salah Siapa ?

Lanjutan dari artikel Kisah Murtad Dan Kesalahan Diri Kita Umat Islam untuk lebih memahami.

Minggu lepas saya dan beberapa orang sahabat pergi menemui salah seorang dari 12 individu yang dikaitkan dengan isu murtad baru-baru ini. Dia seorang janda yang mempunyai tiga orang anak. Usianya masih muda. Latar pendidikannya saya rasa ‘amat sederhana’. Saya tidak pergi untuk mempersalahkannya kerana pergi ke gereja dan terjebak dalam usaha kristiansasi. Saya pergi untuk membolehkan dia merasakan bahawa masih ramai yang ingin mengambil berat tentangnya. Lebih penting lagi, saya pergi untuk mengetahui apakah yang membawa dia sehingga terpaksa meminta simpati dan bantuan hidup dari pihak gereja.

Sedih

Saya sedih mendengar ceritanya. Menurutnya, dirinya seorang janda yang ditinggalkan suami. Terpaksa menanggung hidup tiga orang anak. Dalam kesempitan hidup yang amat, diminta keluar dari rumah sewa dan tenat mencari sesuap nasi untuk diri dan anak-anak dia pergi merintih di pejabat zakat. Dia tidak dilayan. Bahkan pegawai bertugas dengan tegas memberitahunya peruntukan sudah habis. Rayuannya tidak diendahkan. Dia keluar berusaha lagi. Dia berjaya mendapatkan surat sokongan ahli politik. Kembali ke pejabat zakat membawa surat tersebut, terus sahaja dia mendapat peruntukan zakat. Peruntukan yang kononnya sudah habis sebelum itu, kembali ada untuknya. Dengan berbekalkan wang zakat itu dia berusaha survive. Dia juga pergi ke bahagian kebajikan masyarakat, juga tidak dilayan. Dia bekerja untuk meneruskan hidupnya yang sempit.

Di tempat kerja, melihatkan keadaannya yang susah dan miskin maka ada rakan sekerja yang beragama kristian mencadangkan untuk dia pergi ke suatu tempat yang mudah dan mesra dalam memberikan bantuan. Di situlah bermula hubungan dia dengan pihak gereja. Apa tidaknya, dia susah, kehidupan terhimpit dan anak-anak yang masih kecil memerlukan makanan dan perlindungan. Pihak gereja membantu keperluan hidupnya. Diberikan wang serta menziarahi keluarganya. Mereka tidak menjadikan dia peminta sedekah, tetapi mereka menggunakan pendekatan ‘mesra dan sayang’. Hatinya terpaut dengan kehalusan budi. Walaupun saki baki akidahnya membantah untuk dia menukar agama, tetapi dia tidak dapat menafikan perasaan sayang dan terhutang budi kepada pihak gereja yang berjasa menyelamatkannya.

Bagaimana mungkin untuk dia merasai kehebatan Islam di saat penganut yang seagama dengannya tidak memperdulikannya. Bahkan enggan membantunya. Bagaimana pula dia dapat melihat kesilapan pihak gereja secara lahiriahnya sedangkan ternyata merekalah menolongnya? Orang mungkin berfalsafah dan berceramah secara retorik, namun jiwa insani terpengaruhi dengan apa yang dia rasai. Sakit demam anak-anaknya pihak gereja yang mengambil berat. Makan-minum mereka, pihak gereja yang membiayai. Bahkan keperluan rumah juga diberikan satu persatu.

Tangkap

Menurutnya, dia tidak menukar akidahnya, tetapi dia terus ke gereja membawa anak-anaknya. Anak-anaknya diterapkan ajaran Kristian oleh pihak gereja. Diajar nyanyian keagamaan dan nilai-nilai budi tertentu. Baginya, dilakukan semua itu untuk hidup. Rupanya ramai lagi yang senasib dengannya berada di bawah bantuan pihak gereja. Sebahagian mereka memang menukar agama kerana kecewa dengan sikap masyarakat Islam dan terpengaruh dengan budi pihak gereja. Menurutnya juga, tiada paksaan dari pihak gereja. Cumanya, pendekatan mereka amat mempengaruhi.

Akhirnya, apabila pihak berkuasa agama mengetahui dia ke gereja, dia ditangkap untuk kali pertama dan beritanya disiarkan dalam akhbar. Menurutnya, sebaik sahaja ditangkap dan beritanya tersiar di media barulah pejabat zakat tergesa-gesa datang ke rumahnya. Begitu juga pihak kebajikan masyarakat. Dia memberitahu kepada pihak zakat bahawa dia ingin membuka taska. Mereka menyuruh dia mendapatkan rumah yang sesuai dan mereka akan bantu. Dia pun mendapatkan sebuah rumah yang mereka setujui yang agak besar dan sudah pasti sewanya agak tinggi.

Malangnya, selepas dia menyewa rumah tersebut, selama tujuh bulan pihak zakat tidak menghulurkan bantuan kepadanya. Terkapai-kapai ketika itu. Pihak gereja jugalah yang datang dan melangsaikan kesempitannya untuk menjelaskan sewa rumah tersebut. Sehinggalah apabila timbul isu, pegawai zakat menghubungi dan meminta agar dia memaklumkan kepada pihak yang bertanya bahawa pegawai zakat memang ada datang. Ya, selepas itu memanglah pihak zakat memberikan satu jumlah bantuan yang agak besar kepadanya dengan ‘tukaran’ yang tidak dapat saya maklumkan di sini. Semasa pihak berkuasa agama membuat penyiasatan ke atas gereja berkenaan, dia berada dalam gereja berkenaan bersama dengan sejumlah orang Islam yang lain yang senasib dengannya. Walaupun, kali kedua media menyiarkan dia termasuk dalam senarai murtad dalam peristiwa itu, hakikatnya dia tidak murtad, cumanya ada di situ bersama dengan mereka yang senasib dengannya. Namun, menurutnya memang ada yang murtad.

Alhamdulillah dia masih kekal dengan keislamannya. Semuanya itu kerana desakan hidup. Terus-terang dia sebut ‘semua untuk wang kerana saya ingin membesarkan anak-anak saya’.

Semasa saya menziarahinya (tanpa notis awal) dia baru sahaja selesai menunaikan solat terawih. Menurut dia memang ramai lagi yang terpengaruh dengan usaha kristianisasi yang dilakukan. Mereka yang banyak terlibat terdiri dari kalangan ibu tunggal yang miskin, saudara baru muslim yang tidak dipedulikan, wanita yang mengandung tanpa suami, pesakit aids dan juga muslim dari Sabah dan Sarawak yang dalam kesusahan. Apa yang hendak dipelikkan, begitulah tabiat agama yang merasakan mereka berkhidmat untuk Tuhan. Apa yang hendak pelik jika gereja mengajar ajaran Kristian kerana itu memang kerja gereja. Tak mungkin gereja hendak berdakwah kepada Islam. Namun yang pelik apabila ada negeri yang puluhan individu yang mempunyai Ph.D dan masters dalam pengajian Islam yang disahkan oleh kerajaan tetapi tidak dibenarkan mengajar Islam di masjid dan menyampaikan Islam kepada orang Islam.

Salah Siapa?

Jika kita ingin melepaskan diri, mudah sahaja, kita letakkan kesalahan ini kesemua di pihak gereja. Kita tuduh merekalah punca segalanya. Kemudian kita buat demonstrasi, kita bakar semangat orang awam untuk bangun menentang gereja yang melakukan aktiviti bantuan dan ‘dakwah’. Adapun kita yang tidak membantu dan berdakwah ini, tidak perlulah disalahkan. Begitukah kita? Supaya orang dapat melupakan kesilapan kita, kita letakkan segala dosa ke atas orang lain semata.

Cubalah bayangkan jika ada sebuah rumah yang didiami oleh satu keluarga yang besar dan kaya tiba-tiba salah seorang ahli rumah itu lari ke rumah jiran atas atasan tidak diberikan perhatian dan mendapat perlindungan serta makanan. Sementara si jiran sebelah pula menghulurkan bantuan dengan pelbagai tawaran. Apakah suatu penyelesaian yang tuntas dengan hanya kita mencadangkan agar dibakar rumah jiran, atau ditangkap si jiran atau dihukum si jiran kerana mempengaruhi ahli keluarga kita. Dalam masa yang sama kita, kita tidak persoalkan tanggungjawab kekeluargaan yang kita abaikan selama ini.

Zakat

Zakat mestilah diagihkan seadilnya


Saya tidak menafikan usaha-usaha baik pengurusan zakat yang telah pun berjaya dilakukan. Kita tahu, zakat kita banyak. Jika dihimpun seluruh negara, mungkin mencecah lebih satu billion. Itu setiap tahun. Bangunan-bangunan zakat cantik dan indah. Iklan-iklan mengutip zakat juga canggih dan mahal. Gaji-gaji yang terlibat mengurusnya jangan ditanya lagi. Cara membayar zakat juga dipermudahkan dengan pelbagai kaedah dan teknologi. Tiba-tiba si miskin kita terpaksa merintih simpati dari gereja?

Sesetengah pegawai zakat bersifat begitu meterialistik. Berwajah manis jika hadir di depannya pembayar zakat, tapi berwajah suram jika yang hadir itu pemohon zakat. Tiada semangat dakwah dan ukhuwwah Islamiyyah. Pemohonan menjadi sulit dan sukar. Apatahlagi jika mak cik tua yang uzur disuruh mengisi borang. Maka, pemohon zakat bagaikan peminta sedekah. Sebab itu barangkali ramai fakir yang tidak sanggup ke pejabat zakat.

Jika program ‘Bersamamu’ boleh menemui si fakir saban minggu, kenapa pula pihak zakat gagal mengesan mereka. Jika usaha mengutip zakat begitu hebat, alangkah baik dihebatkan juga usaha mencari mereka yang layak menerima zakat. Mencari orang miskin itu penting, bukan menunggu mereka datang. Bukan semua yang miskin sanggup atau dapat datang kepada pihak zakat. Menurut al-Quran, yang miskin tidak meminta itu lebih patut diutamakan. Firman Allah (maksudnya):

“(Pemberian sedekah itu) adalah untuk golongan fakir miskin yang telah menentukan dirinya (dengan menjalankan khidmat atau berjuang) pada jalan Allah (membela Islam), yang tidak berupaya mengembara di muka bumi (untuk berniaga dan sebagainya); orang yang jahil menyangka mereka kaya, kerana mereka menahan diri daripada meminta-minta. Engkau kenal mereka dengan (melihat) tanda-tanda mereka, mereka tidak meminta daripada orang ramai secara mendesak-desak, dan (ketahuilah), apa jua yang kamu belanjakan dari harta yang baik maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya”.
(Surah al-Baqarah ayat 273)

Berilah zakat kepada mereka, kerana itu memang hak mereka. Jangan jadikan mereka pengemis di pejabat zakat. Berilah dengan kasih dan perancangan agar mereka keluar dari daerah kemiskinan. Kata Saidina ‘Umar r.a.:

“Apabila engkau memberi zakat, kayakanlah mereka”. Kata Ibn Hazm (meninggal 456H): “Apa yang kami tahu tiada sahabah yang berbeza dalam hal ini” 
(Ibn Hazm, Al-Muhalla 4/280, Beirut: Dar al-Kutub al-‘ilmiyyah)

Bahkan zakat boleh diberikan kepada bukan muslim yang miskin atas peruntukan fakir dan untuk dakwah atas peruntukan muallaf. Lihatlah perbahasan fekah yang lebih luas. Jika zakat berfungsi, bukan muslim akan tertarik dengan Islam. Jika ia tidak berfungsi, yang sudah Islam pun ingin keluar dari Islam!


Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Read more...

Kisah Murtad Dan Kesalahan Diri Kita Umat Islam

>> Wednesday, August 24, 2011



Sejak akhir-akhir ini kita 'dipeningkan' dengan masalah murtad dikalangan umat islam di dunia ini dan di negara Malaysia khususnya. Walaupun kes ini adalah kes yang terpencil dan kebiasaannya perkara ini cuba disorokkan dengan alasan menjaga keharmonian kaum. Kes yang biasa kita dengar alasan orang yang murtad ini adalah kesempitan hidup mereka. Ramai dari mereka yang telah berulang kali memohon bantuan dari masyarakat Islam, tetapi gagal. Apabila ada pihak yang sudi menghulurkan bantuan dengan mudah, maka mereka rasa ‘jatuh hati’ dan ‘terhutang budi’. Itulah permulaannya kepada murtad.


Rintihan Orang Yang Memerlukan

Rintihan muallaf yang mahu dikenali sebagai Nur di bawah ini saya petik dari sebuah web untuk kita memahami kenapa murtad amat senang berlaku di negara Malaysia ini.

You know what, it’s mostly the fault of the system, muslims and new muslim converts who are in deep need of help have to go through so much red tape and then turned away. 

I am one example. I embraced islam on my own. Not because of marriage. Aged 51 now but recently divorced. No nafkah and my rights as a muslim woman were ignored. I never have received any form of help form any islamic body even sicne i embraced islam but that is not important. What is important is now, when I am in deep need of help. 

I tried working for 4 years but got very sick due to my spondylosis ailment and for 2 years i was struggling to make ends meet with my own savings and help from friends. I went to zakat office at masjid negeri Shah Alam for help and you know what they told me? They said applications closed and to come back after Raya. 

applications closed and to come back after Raya

I have no home of my own, no money and I have to live with my aged Christian parents who barely have enough to manage on their pensions. JAIS and Zakat office have the odacity to tell me I cannot live with my Christian parents yet they turn me away and cannot help me. The Ustazah at JAIS told me that they house people like me to Sabak Bernam but noone wants to go there and I also most definitely do not want to go there. Zakat office also say I cannot live with them yet turn me away even for help. 

Alhamdulillah I embraced islam because I believe in Islam and I know the environment is not 'proper in the eyes of the islamic authorities' but what choice do i have? I am at the masjid daily from asar till after tarawih and i have my buka puasa at the masjid also. What if my iman was weak? Then what? Out of desperation, if i am unable to get the help i need after Raya. I have no choice but to accept whoever it is who can help.

Do not blame the non muslims. Blame the system and the muslims themselves for not taking care of their own. Educate our children in schools. Educate them well with good religious teachers and reach out to the muallafs, new and old. Make sure that they have proper islamic understanding and classes for fardu ain and Quran recitation etc. Don’t wait for them to come out. Many do not know and do not understand. Seek them out. If the Christians can do it, why not the muslims? 

I was had no proper fardu ain classes because I embraced islam in 1986. I had no formal classes for anything and no follow up to check on me at all even. I gave up my career for family but after the divorce, I was left with no home, no nafkah and no job. I am unable to work even due to an ailment. I know many abuse this and I understand that the authorities have to do their job with all the red tape. But after my experiences with JAIS and the Zakat office, I would have to say that the authorities are not concerned enough.

If these muslims are weak in iman, can you really blame these muslims for losing their faith in the system and turning elsewhere out of desperation for survival? Most might have their hearts with islam but just lose respect in the system. If it were kids, then consider them lost for good because their fragile minds are so easy to influence. - Nur

Beberapa Persoalan Yang Patut Ditimbulkan


1. Ke mana perginya wang zakat kita? Ratusan juta hasil kutipan yang diumumkan saban tahun, apakah tidak mampu untuk membantu fakir miskin ini keluar dari kesusahan mereka sehingga tidak perlu meminta ‘sedekah’ kepada orang lain?

2. Mengapa kerenah birokrasi begitu tinggi untuk fakir miskin mendapatkan bantuan zakat? Semua orang yang pernah berurusan dengan hal ini, akan ada pengalaman mereka sendiri. Untuk mendapatkan RM100-200 pun, begitu banyak kerenahnya. Sedangkan pejabat zakat kelihatan mewah, gaji pegawai dan bos begitu tinggi dan peralatan urusan juga begitu canggih. Apakah belanja yang tinggi itu hanya untuk urusan mencari pembayar, tetapi tiada kesungguhan yang memadai untuk mencari penerima yang layak? Bagi saya, tidak perlulah badan zakat terlalu berhati-hati dalam memberi zakat. Lebih baik ditipu dari tidak amanah dan tidak menjalankan tanggungjawab.

3. Tujuan zakat antaranya untuk mendekatkan hati manusia dengan Islam. Sebab itu, ada hak untuk golongan muallaf. Bagaimanakah mungkin pengurusan zakat gagal melakukan hal ini, sehingga yang sudah muslim ingin meninggalkan Islam kerana gagal mendapat bantuan dari umat Islam khususnya zakat?

Mereka adalah tanggungjawab kita

4. Bukan sesuatu yang haram untuk seseorang muslim menerima bantuan daripada bukan muslim. Apatah lagi, jika mereka dalam kesusahan yang amat. Tindakan mereka menerima bantuan tidak boleh dipersalahkan, sebaliknya perbuatan pihak muslim yang sepatutnya memberi bantuan kepada mereka tetapi tidak melakukannya itulah yang patut disalahkan.

5. Jika dibincangkan disudut bantuan, pada asasnya, kita tidak boleh menyalahkan orang lain kerana memberikan bantuan. Adalah menjadi hak setiap orang untuk memberikan bantuan kepada sesiapa yang mereka mahu. Selagi mengikut peraturan dan undang-undang, seseorang boleh memberikan bantuan kepada sesiapa sahaja tanpa terbatas dengan agama atau bangsa. Janganlah jika kita gagal membantu (sedangkan kita mampu), kita menyalahkan orang lain yang membantu.

6. Setiap orang akan terpengaruh dengan pihak yang berbuat baik kepadanya. Itu fitrah manusia. Jika dia lemah iman, mungkin agamanya juga diserahkan. Mereka yang terpengaruh dengan pihak gereja atas budi baik, itu sesuatu yang tidak pelik. Namun yang pelik, bagaimana dalam negara Islam, umat kita boleh menukar agama disebabkan layanan yang tidak memuaskan oleh masyarakat muslim? Sebaliknya mereka terpengaruh dengan sikap baik penganut agama lain. Apakah slogan-slogan agama kita selamat ini hanya kosmetik yang tidak berpijak kepada realiti kehidupan?

Maka, banyak persoalan perlu masyarakat muslim tanya diri sendiri sebelum menyalahkan orang lain. Selain badan-badan berwajib menjalankan tanggungjawabnya, saya dan pembaca sekalian juga haruslah menjalankan tugas masing-masing. Tabiat menuding jari kepada orang lain untuk menutup kelemahan sendiri tidak akan dapat menyelesaikan masalah kita.

Read more...

Puasa Mengikut Cara Rasulullah s.a.w

>> Sunday, July 31, 2011

Sahabat yang dihormati Allah, Ramadhan yang kita nanti-nantikan telah tiba untuk sekali lagi kita berada di dalamnya. Ini tanda Allah masih sayang kepada hamba-hambanya dengan memberi sekali lagi peluang untuk kita bertemu dengan bulan yang penuh keberkatan ini. Berpuasa adalah aktiviti terpenting dalam bulan ini. Persoalannya bagaimana tips-tips yang diajar oleh Rasulullah s.a.w untuk puasa kita dinilai tinggi oleh Allah? Mari kita telusuri satu persatu. 

Rasulullah s.a.w Bersahur

Rasulullah menganjurkan kita untuk bersahur sebelum aktiviti menahan diri dari makan dan minum di siang hari dimulakan. Bagaimana Rasulullah s.a.w bersahur? Bersahur bukanlah dilakukan ditengah malam, tetapi ia dilakukan di awal pagi, iaitu waktu yang sangat hampir dengan waktu solat subuh. Bersahur juga memberi kesegaran untuk kita menghabiskan hari siang kita dengan berpuasa. Rasulullah s.a.w bersabda:

Dari Anas Bin Malik r.a: Rasulullah s.a.w bersabda: Bersahurlah kerana pada sahur itu terdapat keberkatan.
(HR: al-Bukhari)

Rasulullah s.a.w juga menekankan kepada kita untuk bangun bersahur kerana ia adalah salah satu dari cirri-ciri bersahur orang Islam. Sabdanya: 

Perbezaan antara puasa kami dengan puasa ahlu al-Kitab adalah makan sahur 
(HR: Muslim)

Rasulullah Menyegerakan Berbuka 

Tidak melewat-lewatkan berbuka puasa adalah salah satu tips berpuasa yang di ajar oleh Rasulullah. Ini kerana, perbuatan itu sangat mendatangkan kebaikan untuk mereka yang menahan diri dari makan dan minum. 

Rasulullah s.a.w di dalam hadithnya menerangkan kepada kita seperti mana yang dilaporkan oleh al-Bukhari & Muslim: 

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " لا يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الْفِطْرَ "
Manusia itu akan terus berada dalam kebaikan selagi mana dia menyegerakan berbuka puasa.

Perbuatan melambat-lambatkan berpuasa puasa adalah salah satu perbuatan yang dilarang oleh Rasulullah s.a.w. Masyarakat kita sering melihat perkara ini sebagai satu isu remeh. Apa yang terjadi dalam rata-rata masyarakat kita di Malaysia, ketika masuknya waktu solat maghrib (waktu untuk berbuka puasa), mereka masih lagi berada di bazaar-bazar ramadhan untuk membeli juadah mereka. Penjual juga masih lagi melayan pelanggan tanpa terus berbuka walaupun azan maghrib telah berkumandang. Ibu-ibu di rumah pula masih berada di dapur menyiapkan juadah berbuka puasa ketika azan maghrib bergema. Ini kerana melewat-lewatkan berbuka puasa adalah amalan Yahudi dan Kristian.

Persiapan seharusnya dilakukan dengan segera agar seruan Rasulullah s.a.w untuk kebaikan umatnya dapat diamalkan sebaiknya. Rasulullah telah bersabda di dalam satu hadithnya yang dilaporkan oleh Abu Daud & Ibn Majah yang sanadnya berstatus hasan seperti yang dinilai oleh al-Albani r.h: 

قال النبي صلى الله عليه وسلم : " لا يزال الدين ظاهراً ما عجل الناس الفطر لأن اليهود والنصارى يؤخرون "
Agama ini akan sentiasa zahir (jelas) selagi mana umatnya menyegerakan berbuka puasa, ini kerana orang-orang Yahudi dan Kristian, mereka melewat-lewatkannya.

Dikeluarkan dari Musannaf Abdul Razzak dan Fathul Bari (kitab syarah sahih al-Bukhari) ‘Amr Bin Maimun r.h berkata: 

وقال عمرو بن ميمون الأودي رحمه الله : " كان أصحاب محمد صلى الله عليه وسلم أسرع الناس إفطارا ًوأبطأهم سحوراً "
Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w adalah manusia yang paling cepat (ketika) berbuka puasa dan yang paling lewat (ketika) bersahur.

وعَنْ عُمَارَةَ بْنِ عُمَيْرٍ عَنْ أَبِي عَطِيَّةَ قَالَ :
دَخَلْتُ أَنَا وَمَسْرُوقٌ عَلَى عَائِشَةَ فَقُلْنَا يَا أُمَّ الْمُؤْمِنِينَ : رَجُلانِ مِنْ أَصْحَابِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدُهُمَا يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ، وَالآخَرُ يُؤَخِّرُ الإِفْطَارَ وَيُؤَخِّرُ الصَّلاةَ ..
قَالَتْ : أَيُّهُمَا الَّذِي يُعَجِّلُ الإِفْطَارَ وَيُعَجِّلُ الصَّلاةَ ؟
قَالَ قُلْنَا عَبْدُ اللَّهِ يَعْنِي ابْنَ مَسْعُودٍ .
قَالَتْ كَذَلِكَ كَانَ يَصْنَعُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ .
Dari Abi ‘Atiyyah katanya: Aku dan Masruq telah bertemu Ummu al-Mu’minin r.anha dan kami berkata kepadanya: “Dua orang lelaki dari sahabat Muhammad s.a.w, salah seorang darinya mempercepatkan berbuka dan mempercepatkan solat, manakala seorang lagi melewatkan berbuka dan melewatkan bersolat...” Ummu al-Mu’minin berkata: “Siapakah diantara mereka berdua yang mempercepatkan berbuka dan menyegerakan bersolat?” Kami berkata: “Abullah iaitu Ibn Mas’ud.” Kata (Ummu al-Mu’minin): “Perbuatan (menyegerakan berbuka) Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w”.

Berbuka Dengan Beberapa Biji Kurma 

Antara kaedah yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w adalah memulakan memakan beberapa biji kurma basah ketika berbuka puasa. Ini untuk memudahkan dirinya bersolat dalam keadaan tidak terlalu kenyang. Pernah diriwayatkan dari Anas Bin Malik, seperti yang dilaporkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi katanya:

Rasulullah s.a.w apabila baginda berbuka puasa, baginda berbuka dengan beberapa biji kurma basah sebelum solat. Jika tiada kurma basah, baginda berbuka dgn kurma kering. Jika tiada kurma kering, baginda berbuka dengan beberapa teguk air.

Ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. Ramai diantara kita yang sering meninggalkan sunnah ini. Mereka menyegerakan berbuka puasa serta makan dan minum sehingga kekenyangan lalu melewatkan bersolat maghrib. Rasulullah makan dengan beberapa biji kurma, kemudian bersolat. Apabila Rasulullah s.a.w terasa lapar, Rasulullah s.a.w makan selepas baginda solat.

Tidur Qailulah

Nabi s.a.w mengajarkan kepada kita agar sentiasa cergas ketika berpuasa di siang hari dan bersemangat melakukan amal ibadat di malamnya. Antara kaedah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah dengan tidur sebentar sebelum solat zohor, perbuatan itu dinamakan dengan Qailulah. Ini untuk memudahkan kita bangun di waktu malam mengerjakan amal ibadat.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Ibn Majah:

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ” اسْتَعِينُوا بِطَعَامِ السَّحَرِ عَلَى صِيَامِ النَّهَارِ وَبِالْقَيْلُولَةِ عَلَى قِيَامِ اللَّيْلِ “
Dari Ibnu Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w telah bersabda; Carilah kekuatan melalui sahur untuk puasa keesokan hari dan melalui Qailulah (tidur sekejap sebelum Zohor) untuk mendirikan ibadah malam.

Apa yang terjadi hari ini pada sesetengah masyarakat kita, mereka tidak menerapkan sunnah ini bahkan perbuatan mereka menyalahi sunnah ini. Mereka terutama anak-anak muda menghabiskan waktu siangnya dengan tidur sepanjang hari dan hanya bangun untuk berbuka puasa sahaja. Berpuasa bukanlah bulan tidur kerana keletihan. Puasa adalah bulan untuk melakukan seberapa banyak amalan sunnah kerana padanya pahala dilipatgandakan.

Menjaga Lidah

Terlalu rugi jika kita berpuasa, tetapi tidak mendapat sedikitpun pahala dari amalan tersebut. Akibatnya, kita hanya mendapat lapar dan dahaga. Antara faktor berlaku kerugian rohani tersebut adalah kerana tidak menjaga lidah. Mengumpat, mencaci, mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah, mengadu domba, banyak bercakap, berbohong, menyanyi lagu-lagu yang lagha juga dilakukan ketika berpuasa.

Umumnya perbuatan ini adalah perbuatan haram untuk dilakukan walaupun bukan pada bulan Ramadhan. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sepotong hadith yang dilaporkan oleh Ahmad dan al-Tabarani: 

رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ , وَرُبَّ قَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ قِيَامِهِ السَّهَرُ
Ramai orang puasa, tetapi balasannya hanya lapar dan dahaga (tiada pahala) dan ramai orang berjaga malam (beribadah) balasannya hanyalah mengantuk (tiada pahala)

Rasulullah s.a.w bersabda lagi dalam sebuah hadith yang dilaporkan oleh Imam al-Bukhari:

وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ
Apabila seseorang daripada kamu berada dalam hari puasa, maka janganlah ia memaki dan mengherdik orang lain. Andainya ia dicela oleh seseorang atau dimusuhi, hendaklah ia berkata "Saya berpuasa".

Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda lagi sepertimana yang dilaporkan oleh al-Bukhari, Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang tidak menghentikan percakapan dusta dan terus melakukannya, Maka Allah s.w.t tidak mempunyai hajat pada orang tersebut untuk dia meninggalkan makan minumnya.

Memberi Makan Orang Yang Berpuasa

Antara amalan dan tips yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w untuk meningkat neraca kita adalah dengan cara menginfaqkan sedikit harta dengan menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka-mereka yang berpuasa. Terlalu besar ganjarannya seperti yang diberitahu Rasulullah di dalam hadith-hadith baginda yang mulia. Antaranya ialah seperti yang dilaporkan oleh Tirmidzi dan Ibn Majah:

Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (untuk berbuka puasa), dia akan mendapat balasan pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa dikurangkan sedikitpun daripadanya

Bagi mereka yang dijemput untuk berbuka puasa bersama, wajib baginya untuk memenuhi undangan tersebut. Ini kerana, berpuatan membelakangi undangan tersebut dicela oleh Rasulullah dan ianya seoalah-olah telah menentang Rasulullah s.a.w.

Adalah sunnah mereka yang dijemput untuk berbuka puasa mendoakan orang yang menjemput dengan doa-doa yang baik setelah selesai berbuka puasa. Antara doa yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:

  1. Ya Allah, berilah makan orang yang memberiku makan, dan berilah minum orang yang memberiku minum (riwayat Muslim).
  2. Ya Allah, Ampunkanlah mereka, rahmatilah mereka dan berkatilah apa yang telah kau rezekikan kepada mereka (riwayat Muslim).

Doa Ketika Berbuka Puasa

Nabi s.a.w memberitahu kepada kita bahawa berdoa ketika berbuka puasa adalah mustajab berdasarkan hadith-hadith sahih yang warid dari baginda s.a.w. Kita disyorkan untuk berdoa apa sahaja yang kita ingini ketika menunggu waktu tersebut. Rasulullah s.a.w bersabda seperti yang dilaporkan Tirmidzi, Ibn Majah dan Ibn Hibban:

إبي هريرة قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :ثلاثه لاترد دعوتهم : الأمام العادل , والصائم حتى يفطر , ودعوة المظلوم...
Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka: Pemimpin yang adil, Orang yang berpuasa sehingga dia berbuka, dan doa mereka yang dizalimi...

Rasulullah s.a.w juga mengajarkan cara berdoa ketika berbuka puasa. Berikut adalah doa yang baik untuk dibacakan oleh kita sebagai memenuhi tuntutan ittiba’ al-Sunnah. Imam al-Darulqutni menilai sanad hadith ini sebagai hasan. Doa tersebut adalah:

ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله تعالى
Telah hilang kehausan, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala-pahala insyaAllah.

Marilah sama-sama kita berpuasa sepertimana puasanya Rasulullah s.a.w dan para sahabat yang mulia. Semoga puasa kita pada tahun ini mampu mengubah dimensi hidup kita yang bercerminkan sunnah Rasulullah dalam beribadat. Perbanyakkanlah membaca al-Quran dan berzikir, nasihat menasihati serta berdakwah kepada Islam. Jadikan ramadhan kali ini penuh makna untuk diri kita dan masyarakat. Wallahu A’lam.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP