Sunday, May 2, 2010

Tony Blair Akui Al-Quran Kitab Progresif


Keajaiban mukjizat Al-Quran tiada siapa yang dapat menyangkalnya. Kitab itu curahan ilmu yang tertinggi dalam dunia keilmuan kerana isiannya bukan ciptaaan mana-mana manusia walau pernah didakwa oleh golongan yang memusuhi Islam dan ajarannya baik di zaman Baginda Rasul SAW hinggalah ke zaman ini. Dakwaan itu begitu sinis dan mengelirukan kerana golongan ini mendakwa bahawa catatan “yang mulia” itu, datangnya dari minda lelaki bernama Muhammad bin Abdullah. Astaghfirullah. Keterlaluan. Binasa bagi mana-mana manusia memikirkan sedemikian. Harus diberi pengertian dan pemahaman agar beroleh jalan kebenaran.



Kalam suci itu yakni Al-Quran adalah KALAAMULLAH (kata-kata Allah), ucapan Yang Maha Tinggi, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Mengetahui dan segala miliknya pada Asma’ul Husna. Tiada gandingan untuk mempersekutukan Dia Yang Maha Kaya. Al-Quran adalah hantaran kasih sayang, curahan cinta dan belas ihsan buat umat akhir zaman yang mahu menjadikan ia sebagai panduan tika menemui kesesatan jalan, pedoman sebagai petunjuk arah kebenaran, penenang diri kala menghadapi keresahan atas ujian dan cobaan, penyuluh bercahaya menyusuri kegelapan dan peneman diri tika keseorangan.



Al-Quran membuktikan keajaiban mukjizatnya dalam menceritakan sejarah lampau para Nabi dan Rasul serta umat terdahulu kepada kita yang hidup berjuta tahun sesudah mereka dengan jelas bagi memberi makna teladan jua sempadan. Al-Quran dengan hebatnya menjelaskan alam ghaib yang tidak pernah didengar oleh telinga, dibayang oleh mata, dihidu oleh hidung dan disentuh oleh rasa.



Ia menceritakan juga berita gembira dan amaran duka kepada para manusia yang mahu memikirkan dengan akalnya tentang dunia yang fana dan akhirat yang kekal abadi, nikmat syurga dan azab neraka, penghidupan di alam barzakh dan perhimpunan yang besar sekelian manusia di padang mahsyar. Subhanallah. Siapakah yang dapat menceritakan semua ini kepada manusia sekeliannya.



Jika mahu disimpulkan perucapan Yang Berhak dan Yang Maha Penguasa itu, tentu tiada batasan had untuk mencari punca jalan kepada penamat cerita dan berita yang hendak disampaikan. semuanya merangkumi semua aspek kehidupan. Sama ada sejarah, sosial, ekonomi, falsafah, perundangan, pengibadatan, geografi, astronomi, biologi, psikologi, pendidikan, pertahanan, kesenian, sistem kehidupan, sisten kekeluargaan, jalan hukum, kasih sayang, balasan baik dan buruk.



Aduuh…terlalu banyak. Terkesan di jiwa yang boleh menimbulkan kesedaran. Mana mungkin manusia boleh memikirkan kehebatan yang sedemikian. Sungguh sempurna jalan cerita dan berita yang dihamparkan sehingga ramai musuh Islam mengakui kehebatan dan ketinggian ilmu yang tersirat di dalam kitab suci Al-Quran tersebut.



Maka pengakuan dari pemimpin Barat Kristian ini membuktikan kehebatan Al-Quran walau di mana-mana ia ditampilkan. Ruang masa dan jarak zaman membuktikan Al-Quran hidup dan dalam pemeliharaan Yang Empunya dirinya.



“Bagi saya, perkara paling luar biasa berkaitan al-Quran ialah betapa progresifnya kitab ini. Saya menulis dengan penuh rendah diri, sebagai seorang penganut agama lain. Sebagai orang luar, al-Quran saya anggap sebagai sebuah kitab yang membawa pembaharuan, cuba mengembalikan Judaisme dan Kristianiti ke asalnya, sebagaimana yang cuba dilakukan oleh para reformis kepada gereja Kristian berabad kemudian. Al-Quran bersifat inklusif. Ia menyanjungi sains serta ilmu pengetahuan, dan membenci perkara karut-marut.”



Ini ialah pandangan Perdana Menteri Britain, Tony Blair yang disiarkan jurnal Foreign Affairs keluaran Januari/Februari lalu dalam artikelnya, A Battle For Global Values. Artikel ini memang baik dibaca mereka yang berminat dalam kajian oksidental kerana memberi gambaran jelas pemikiran seorang pemimpin besar Barat, khusus berkait Muslim dan dunia Islam.

No comments:

Post a Comment