Pada suatu hari, seorang ayah memanggil isteri dan tiga orang anak-anaknya berkumpul dan menceritakan masalah kewangan keluarga yang melanda keluarga mereka.
Ayah: Anak-anak sekalian, mulai esok ayah terpaksa memotong duit belanja sekolah harian kamu, keadaan ekonomi sekarang teruk jadi kita harus berjimat cermat kerana jika tidak ayah mungkin tak boleh nak bayar duit ansuran rumah dan kereta, keluarga kita akan jatuh bankrap. Rumah dan kereta kita akan ditarik oleh bank jika ayah tidak melakukan "tindakan tidak popular ini".
Anak bongsu: Ok ayah, rumah kita besar... cantik... tak nak pindah rumah flat dulu, kereta import yang ayah baru beli tu pun sayang jugak tapi sempit sikit la dari wira lama ayah dulu tapi ayah cakap kan biar sempit asal ada gaya.
Anak no 2: Tapi minggu lepas ayah baru beli set golf baru, camna lak kami kena jimat tapi ayah tak payah?
Ayah: Ayah kan main golf untuk bisnes jadi kenalah pastikan ayah "up to date" dengan peralatan baru, barulah ayah boleh setaraf dangan kenalan bisnes ayah.
Anak sulong: Tapi Ah Kau cakap ayah selalu kalah dengan ayahnya masa main golf, pastu kalah ribu-ribu ringgit pulak tu, dia dengar ayah dia kata ayah bukannya pandai main, tukar set golf pun sama je, mengapa ayah bertaruh dipadang golf? Bukankah itu judi?
Ayah: Hish, banyak soallah kamu ni....
Si ayah naik berang dengan kata-kata dari anak sulong yang sudah matang dan boleh berfikir.
Ayah: Kamu budak mana tau hal orang dewasa, ayah bertaruh tu dah jadi "trend" golfer masa kini, baru lah ada semangat nak main. Dah jangan banyak cakap. Milah... esok potong duit sekolah budak ni separuh.
Isteri: Abang, takkanlah sampai begitu sekali, kalau teruk sangat bisnes abang tu eloklah kita pindah balik rumah flat lama kita, lagi pun rumah tu dah habis bayar, ni kita berhutang balik dengan bank, saya terbaca didalam internet bila pinjam dengan bank ni kita jadi hamba bank, mungkin elok abang jual rumah dua tingkat kita ni je.
Suami: Ish, jangan keliru dengan apa orang kata dalam internet tu, kan kita guna pembiayaan islamik, mana pulak jadi hamba, kita setuju dengan harga jualan. Dah jangan banyak soal.
Kisah diatas mungkin suatu yang agak bodoh dan terlampau untuk diberikan contoh akan tetapi itulah lebih kurang gambarannya keadaan negara kita sekarang ini yang mana kesenangan sedikit yang dinikmati oleh rakyat akan ditarik balik dengan ugutan negara akan jatuh bankrap. Adakah itu suatu yang logik? Cuba tukarkan watak dan situasi diatas dengan situasi negara kita sekarang.
Ayah = kerajaan
Anak-anak dan isteri = rakyat dan pembangkang
Set golf = projek mewah
Bertaruh dipadang golf = pemerintahan yang korup
Pinjaman rumah/kereta = Hutang luar negara dari bank dunia, bank jepun dan sebagainya untuk menjalankan projek mewah
Pada skala kecil, inilah keadaan keluarga dengan ayah yang tidak bertanggungjawab, pada skala besar pula inilah sikap pemimpin yang mementingkan diri sediri dan juga kroni, mengenepikan kepentingan rakyat jelata walaupun acapkali mereka mendabik dada sebagai pimpinan berjiwa rakyat. Agak hairan juga mengapa pengumuman ini dilakukan oleh "machai" kepada "ayah" dan bukannya "ayah" sendiri. Ohh... "ayah" pemimpin berjiwa rakyat jadi tak boleh berbuat demikian, nanti tak popular pulak.
Saya berpeluang kembali ketanah air dua minggu lepas kerana tugas dan semasa menginap di hotel, akhbar The Star telah di sediakan untuk saya di bilik. Amat terkejut apabila membaca berita muka depan bagaimana rakyat diugut oleh kerajaan bahawa negara akan bankrap jika tindakan tidak popular iaitu pemberian subsidi terpaksa di berhentikan secara berperingkat-peringkat. Alasannya adalah kerana negara menanggung hutang yang banyak disebabkan pemberian subsidi jadi jika subsidi tidak diberhentikan maka negara akan bankrap.
Timbul persoalan di minda saya, angkara siapakah yang menyebabkan lebihan hutang ini terjadi jika bukan tindakan mereka sendiri iaitu pemimpin negara yang memerintah? Jika mereka memimpin menggunakan akal berdasarkan hukum Allah dan bukan menggunakan nafsu iaitu meminjam dari negara luar (yang pastinya berlandaskan riba') dan kemudiannya berjoli sakan dengan projek mewah, maka perkara ini tidak akan terjadi dan rakyat masih boleh menikmati kesenangan tempias dari hasil negara seperti minyak dan eskport utama yang lain seperti kelapa sawit. Inilah balasannya apabila kita mengingkari larangan Allah terhadap riba'. Riba' bukan hanya rakyat meminjam dari bank, kerajaan meminjam dari bank luar baik barat atau jepun, semua itu berlandaskan riba'.
Akan tetapi disebabkan pemimpin kita lebih mengutamakan kemajuan yang nampak iaitu bangunan tinggi pencakar langit dan sebagainya sedangkan kemajuan yang didalam iaitu iman makin tenggelam, maka kebinasaan lah nampak gayanya jalan yang sedang ditujui, baik binasa moral, sosial mahupun binasa ekonomi.
Yang lebih membuat saya bertambah sedih, sedang dimuka depan akhbar memaparkan rakyat biasa terpaksa mengikat perut, dalam muka 6 dalam akhbar yang sama didalam ruangan StarBiz, terdapat lapuran menyatakan bahawa kekayaan 40 orang terkaya di Malaysia naik sebanyak 42% berbanding setahun yang lalu. Jadi logik kah bahawa negara akan bankrap sedangkan mereka yang kaya semakin kaya, bukannya sejuta dua, lapuran dari Forbes Asia ini menunjukkan kenaikan jumlah keseluruhan kekayaan golongan ini adalah dari 36 billion USD kepada 51 billion USD. Mengapakah ini terjadi?
Jawapannya adalah kerana ekonomi kita, malah ekonomi serata dunia adalah berdasarkan ekonomi riba' yang mana kekayaan tidak lagi berkitar didalam masyarakat dan hanya tertumpu kepada golongan tertentu iaitu golongan kaya sahaja, buktinya sudah cukup jelas dengan lapuran Forbes Asia tersebut umpama gajah didepan mata maka sebab itulah terjadinya keadaan golongan miskin semakin miskin dan terpaksa mengikat perut sedangkan golongan kaya semakin kaya.
Siapa yang harus dipersalahkan? Siapa lagi jika bukan kita sendiri, pertama kerana memilih pemimpin yang memimpin dengan niat bukan "Lillahitaa'la", niat memimpin hanyalah "lilla fulus" atau "lilla kuasa dan kroni". Dan kedua kerana kita memberi kuasa kepada mereka yang berada di "tingkat atas" dan dengan kuasa tersebut jugalah mereka gunakan untuk memastikan pemimpin yang korup sentiasa menang didalam pilihanraya dengan memancing undi dengan wang, gasakan dari media massa dan banyak lagi cara untuk memastikan pemimpin korup terus kekal agar kepentingan bisnes mereka senantiasa terjamin. Mengapa saya kata kita memberi kuasa kepada mereka yang kaya ini? Bagaimana pula caranya kita menyokong mereka?
Apabila kita membeli barang dengan riba' baik konvensional atau pun riba' islamik, apa yang terjadi kita memberi tenaga kita kepada mereka dalam bentuk wang ringgit iaitu lebihan dari wang yang dipinjam. Hasilnya makin terkumpullah kekayaan mereka kerana yang memberi "tenaga" dan "kuasa" kepada mereka ini bukanlah seorang dua, malah kesemua umat masyarakat baik menyumbang kepada golongan "teratas" ini dari pembelian rumah, kereta, kad kredit dan apa sahaja pembelian ansuran yang menyebabkan kita terpaksa membayar lebih.
Sebab itulah Allah amat melarang riba malah mengistiharkan perang dengan mereka yang terlibat dengan riba', kerana apa? Kerana kita akan menyebabkan mereka yang tamak akan menjadi semakin kaya dan mereka akan gunakan kekayaan mereka itu untuk kembali menindas rakyat kebanyakan. Jadi janganlah ingat apabila kita meminjam, apabila kita rela membayar lebih, kita hanya melibatkan diri kita sahaja, sebenarnya konsep riba' ini harus dilihat dari sudut keseluruhan (wholism).
Akan tetapi melihat dari sudut keseluruhan itu juga belum cukup untuk membolehkan kita nampak kesannya pada diri sendiri ataupun pada insan-insan yang lain, perlu ada "nur" kurniaan Allah agar dapat ianya menerangi penglihatan supayakita dapat kita melihatnya dengan mata hati dan bukan hanya dengan mata fizikal sahaja. Dajjal bermata satu bukan sahaja bermaksud dia buta sebelah mata, mengikut kuliah Sheikh Imran Hossein ianya adalah sebagai simbolik agama yang bermaksud dajjal buta mata hati. Jika manusia hari ini hanya melihat dunia dengan mata fizikal iaitu apa yang jelas kelihatan dan tidak lagi dapat melihat dengan mata hati, maka manusia itu juga sudah tergolong menjadi pengikut dajjal tanpa mereka sedari.
Ramai pemimpin semasa berkempen dipilihanraya menyatakan mereka pemimpin berjiwa rakyat dan akan menjaga kebajikan rakyat. Melihat pada lapuran Forbes Asia sudah terbuktilah mereka ini memang pemimpin berjiwa rakyat, bukan rakyat miskin tetapi berjiwa rakyat yang kaya. Buktinya sudah cukup jelas yang mana rakyat kaya semakin kaya dan rakyat miskin harus mengikat perut.
Jika mereka membesar dengan makanan disuap dengan sudu garpu emas dan perak, kesekolah dengan berjemput pemandu dan pengawal peribadi, hidup rumah besar dan mewah dengan hawa dingin sepanjang masa, makan makanan paling enak yang boleh dibeli dengan wang, adakah apabila mereka dewasa dan menjadi pemimpin, golongan sebegini akan kenal erti keperitan hidup yang ditanggung oleh rakyat miskin? Makan nasi dengan ikan masin, kesekolah berjalan kaki sahaja dengan kadangkala tidak punya wang saku, rumah atap nipah yang bocor ketika hujan. Tidak pernah wujud sebarang cantuman neuron didalam otak mereka ini (orang kaya) yang merakam dan mengaitkan erti sebenarnya kepayahan dan penderitaan sebenar menjadi orang miskin maka apabila mereka mereka berkuasa dan menyatakan mereka pemimpin berjiwa rakyat, semasa memikirkan untuk membuat keputusan, jaringan neuron diotak mereka hanya lebih mengaitkan pengalaman rakyat kaya. Rakyat miskin hanyalah untuk memancing undi sahaja. Hampir kesemua tindakan mereka secara tanpa sedar (melalui minda separa sedar) akan lebih memilih untuk menjaga kepentingan golongan seperti mereka sahaja.
Jadi adakah maksud saya mereka dari golongan berada tidak boleh menjadi pemimpin atau mereka yang miskin apabila menjadi pemimpin itu tidak akan korup? Tidak, bak saya katakan dalam artikel sebelum ini, hidup ini penuh kebarangkalian dan kemungkinan sahaja. Untuk memastikan kita mendapat kejayaan dunia dan akhirat, wajiblah kita memilih pemimpin yang niat memimpin hanyalah kerana Allah. Dan apabila memimpin kerana Allah maka, undang-undang Allah akan ditegakkan, dan apabila undang-undang Allah ditegakkan maka baru ketika itulah kebajikan semua golongan manusia baik yang islam atau tidak akan terjamin sepenuhnya.
Undang-undang Allah itu untuk kebaikan semua umat manusia, hanya minda manusia sahaja yang terpedaya dengan "basuhan" dari barat melalui media seperti TV dan filem malah menerusi sistem pendidikan itu sendiri yang menyebabkan manusia menjadi jauh dari Islam, sedangkan yang mengaku Islam itu sendiri menolak hukum Allah, apatah lagi yang bukan Islam.
Klip diatas adalah sedutan dari *filem Zeitgeist Addendum yang menceritakan rahsia sebenar disebalik kehidupan didunia ini baik dari segi kewangan, politik, kerakusan korporat barat, terrorist dan beberapa isu lain lagi. John Perkins adalah bekas penjenayah ekonomi yang bekerja bagi pihak CIA untuk menjaga kepentingan korporat Amerika, antara tugas beliau adalah memujuk pemimpin dunia dari negara yang banyak sumber asli agar mengambil pinjaman dari bank dunia atau menerima bantuan dari badan kewangan antarabangsa untuk membuat projek besar yang kononnya membantu menaikkan ekonomi negara tersebut akan tetapi pada masa yang sama akan menyebabkan negara tersebut dibebani dengan hutang luar yang teruk. Walaupun projek yang dibiayai kononnya untuk rakyat, kebanyakan yang mendapat manafaat besar adalah syarikat Amerika dan juga segelintir pihak dinegara tersebut sahaja.
Mendengar penjelasan beliau mengenai bagaimana penjenayah ekonomi ini bekerja, mungkinkah pemimpin negara kita juga telah termakan pujuk rayu penjenayah ekonomi ini? Maka tak hairanlah jika negara kita dibebani hutang luar yang banyak dan akan bankrap tidak lama lagi. Dari klip diatas, agaknya ada tak dikalangan tokoh pemimpin kita yang sanggup mati hanya kerana tidak mahu korup? Bekas Presiden Panama Omar Torijos tetap tidak mahu korup walaupun tahu beliau akan mati disebabkan kejujuran beliau sebagai pemimpin berjiwa rakyat miskin. Golongan yang di"atas" tidak mahu pemimpin yang jujur dari berkuasa membela nasib rakyat miskin, mereka hanya mahukan golongan terbawah ini iaitu rakyat miskin terus menjadi hamba kepada rakyat kaya. Perhambaan fizikal sudah lama berlalu, perhambaan kewangan sedang rancak berlaku baik konvensional mahupun islamik dan rata-rata kebanyakan kita masih lena dibuai mimpi materialistik.
Dengan melihat pada situasi sekarang ini, Berkesempatankah agaknya kita menikmati kehidupan dengan berlandaskan Islam sepenuhnya? Mungkin sempat, mungkin tidak. Akan tetapi kita tidak sepatutnya berpeluk tubuh dan mengikut sahaja apa yang ditentukan oleh pemimpin korup yang membawa negara kemajuan dunia tetapi kehancuran masaalah sosial, moral apatahlagi akhirat. Khilafah harus dikembalikan agar kegemilangan Islam itu kembali bersinar dibumi Allah ini, dan jika tidak berkesempatan untuk kita melihatnya semasa hayat, sekurang-kurangnya didepan Allah nanti kita boleh menyatakan bahawa kita telah pun mencuba melakukannya.
Bangun dan sedarlah rakan-rakan sekalian, dunia ini akan menjadi "syurga" jika semua manusia dapat melihat dunia ini dari sudut yang berbeza, dari sudut hati yang penuh dengan keimanan takutkan Allah dan sayangkan semua manusia sejagat. Kita dahagakan insan-insan yang boleh dengan jujur mengungkapkan "I love you so much all the people", kita bukanlah berasingan, kita semua berkait, kita telah ditipu dengan menganggap ruang yang wujud antara kita sebagai ruang pemisah sedangkan dari sudut paling halus iaitu dunia subatomik, kita semua berkait, kita semua saling "bersentuhan". Sayangilah diri insan lain sepertimana anda ingin disayangi, apa yang anda mahukan untuk diri anda, itu juga sepatutnya di berikan kepada insan lain dan bukan mengambil kesempatan, menghambakan dan mengaut keuntungan maksimum, menjadi kaya dan senang tanpa mempedulikan penderitaan insan lain. Insyaallah moga kita semua akan berusaha untuk menjadi umat yang lebih penyayang. Amin.
ps; *Filem Zeitgeist ini harus ditonton dengan berhati-hati kerana ia dibuat oleh atheis yang menolak agama. Jika mereka benar-benar mendalami Islam dan tidak hanya memahami Islam menerusi media massa, pasti mereka akan mengambil Islam sebagai jalan hidup.
(sumber)
Assalamualaikum, terimakasih kerana menjadi agen penyebar ilmu, moga usaha saudara dirahmati, diberkati, diredhai Allah SW selalu.
ReplyDeleteWassalam,
Helmis
http://syurgadidunia.blogspot.com