Sunday, April 11, 2010

Siapa di Sebalik Al-Quran itu

“Quran ini, Quran itu, Quran bla bla bla…”, tidak habis-habis orang memperkatakan tentang al-Quran.

Terkini, seorang ahli politik berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders pun bercakap tentang al-Quran. Percakapannya menjadi fitnah kepada dunia, sesuai dengan tajuk filemnya itu sendiri, Fitna.

Ramai pihak yang mahu mengkritik, menghentam, membela atau mempertahankan al-Quran, terlepas satu proses yang penting. Proses yang disepakati oleh sesiapa sahaja yang bercakap dengan rasional dan berakal waras, tanpa mengira agama. Proses yang saya maksudkan itu adalah proses menganalisa kesahihan al-Quran.

Di dalam disiplin sejarah sebagai cabang sains sosial, sebelum satu-satu bahan mahu dijadikan rujukan kajian, proses menganalisa ketulenan bahan tersebut harus dilakukan terlebih dahulu. Apakah benar duit syiling yang ditemui itu, merupakan syiling asli, atau syiling palsu. Apakah benar teks tulisan seorang tokoh itu, benar-benar ditulis oleh beliau, dan teks itu merupakan teks asal.

Atas dasar yang sama, proses mengedit dan menyaring manuskrip, memerlukan kepada sekurang-kurangnya tiga salinan berbeza untuk manuskrip yang sama, supaya perbandingan boleh dibuat bagi mengawal ketulenan bahan yang dikaji. Soalnya, sebelum debat atau kritikan mahu dikenakan ke atas al-Quran, seseorang itu harus memeriksa adakah al-Quran itu benar, tulen, atau palsu serta rekaan semata-mata.

Logiknya mudah.

BUKU PETA

“Hmm, nak kena beli A-Z London ni. Takut sesat”, kata Ahmad ketika di Lapangan Terbang Heathrow. Baru pertama kali beliau menjejakkan kaki ke kota London. Ahmad menuju ke kedai buku, untuk mencari peta yang boleh memandunya selama keberadaan beliau di kota London.

“Hmm… printed in Bangalore!“, Ahmad terkejut.

Peta yang cantik, komprehensif dan murah di tangannya itu dicetak di Bangalore. Peta London dicetak di India!

“Aduh, printed in 1985!”, kata Ahmad menambahkan terkejutnya dia.

Peta London dicetak di Bangalore, India, pada tahun 1985! Apakah Ahmad akan membelinya untuk dijadikan panduan agar tidak sesat semasa berada di kota London? Tentu sahaja Ahmad tidak akan membelinya. Ahmad meragui kesahihan peta tersebut, biar pun ia diberikan percuma.

Benar sekali. Kita tidak akan jadikan sesuatu yang kita ragui kesahihannya sebagai panduan.

QURAN PULA

Cuba lihat al-Quran. Di’turun’kan di Arab Saudi.

Masya Allah.

Fahamkah al-Quran ini dengan isu di Eropah atau di Malaysia? Di’turun’kan bukan pada tahun 1985, tetapi lebih 1430 tahun yang lalu! Allahu Akbar! Apakah al-Quran ini faham situasi manusia pada tahun 2008 sedangkan ia sudah wujud lebih seribu tahun yang lalu. Sejauh manakah keyakinan kita kepada kesahihan al-Quran?

“Alif Laam Miim. Itulah al-Kitab (al-Quran), tiada keraguan di dalamnya, menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa” [Al-Baqarah 2: 1-2]

Al-Quran memperkenalkan dirinya sebagai petunjuk, bagi orang-orang yang bertaqwa. Tetapi syarat besarnya ialah, al-Quran itu tidak dihinggapi keraguan. Tiada keraguan di dalamnya. Maka menjadi ujian bukan sahaja ke atas manusia yang tidak atau belum mempercayai al-Quran, bahkan kepada Muslim yang mendakwa dirinya pengikut al-Quran, harus membuat ketentuan, di manakah letaknya keyakinan beliau tentang kesahihan al-Quran.

Jika seorang Muslim mempercayai bahawa al-Quran itu merupakan kalam Allah, Tuhan yang Satu, maka di manakah buktinya? Jika seorang non-Muslim mahu mempertikaikan al-Quran, bercakap tentang al-Quran, mengimani atau mengkufurinya, sudahkah diperiksa kedudukan al-Quran tersebut?

Jika anda menolak al-Quran, apakah alasannya?

Jika anda mahu mengimaninya, apakah asasnya?

Oleh yang demikian itu, setiap kita harus mengimani al-Quran yang dipilih, bukan menerima al-Quran sekadar suatu warisan. Soalnya, di manakah kesahihan al-Quran itu mahu ditentukan?

BAHASA

Ada pelbagai cara yang boleh kita gunakan untuk memeriksa al-Quran. Apakah ia benar kalam Tuhan, kalam insan, atau apa?

Permulaannya, mungkin pada aspek bahasa. Bagi yang pernah belajar bahasa Arab, cuba semak kembali karangan Bahasa Arab kita semasa SRP / PMR beberapa tahun yang lalu…

Hadhizi madrasati. Madrasati kabiratun, waasi’atun, mulawwanatun, jamilatun, mahbubatun…!"

Tahniah, anda telah mendapat ‘A’ untuk Bahasa Arab setaraf itu. Malu rasanya membaca tulisan sendiri.

Betapa rendahnya kualiti Bahasa Arab kita pada masa itu, berbanding dengan beberapa tahun selepasnya. Sama juga dengan bahasa-bahasa yang lain. Cuba lihat al-Quran. Mampukah dari aspek bahasa, kita bezakan ayat-ayat tahun 1, dan ayat-ayat tahun ke-23? Nampakkah bezanya dari segi bahasa di antara Iqra’, Bismi Rabbikalladhee khalaq dengan Idhaa jaa’a nasrullaahi wal fath?

Bahasa al-Quran sungguh konsisten. Tiada bahasa matang dan pra matang dalam tempoh 23 tahun ia terbentuk. Nyata sekali, konsistensi bahasa al-Quran adalah sesuatu yang mustahil untuk manusia. Tiada manusia yang mampu mengekalkan konsistensi bahasa seperti bahasa al-Quran.

Jika tiada manusia yang mampu berbahasa secara tinggi lagi konsisten sebagaimana bahasa al-Quran, maka tidak masuk akallah untuk al-Quran itu dinisbahkan kepada mana-mana manusia, biar sepakar mana sekali pun dia di dalam bahasanya, kerana konsistensi bahasanya di luar kemanusiaan. Sesungguhnya ia bahasa Tuhan.

Pihak yang bercakap di dalam al-Quran itu bukan manusia.

Bukan Muhammad.

Sesungguhnya Dia yang bercakap di dalam al-Quran itu adalah Tuhan. Allah Subhanahu wa Ta’aala Pengucap firman. Tapi sudah tentu, untuk memeriksa kesahihan al-Quran dari sudut ini, anda harus punya upaya Bahasa Arab.

ASBAB NUZUL (SEBAB TURUN AYAT)

Ketika Aishah radhiyallahu ‘anha difitnah oleh golongan Munafiq dengan tuduhan zina (Kisah al-Ifk), Nabi Muhammad S.A.W dan seluruh umat Islam hidup dalam keresahan. Rancaknya golongan Munafiq mengadu domba memburuk-burukkan Ummu al-Mu’mineen ketika itu, ditambah lagi dengan tiadanya ‘hujah pembelaan’ dari al-Quran.

Jika al-Quran ini karangan Muhammad, maka pada saat-saat itulah Muhammad sangat perlu mengarang sesuatu untuk membela isterinya. Tetapi ia tidak berlaku sedemikian rupa. Tatkala isterinya terfitnah, ujian ditambah dengan ‘tiada’nya ayat al-Quran baru yang ‘turun’ membela. Hingga Muhammad sendiri terdongak-dongak ke langit menunggu sesuatu.

Kerana al-Quran itu adalah kalam Tuhan.

Firman Allah.

Semasa Aishah terfitnah, Allah menguji Muhammad S.A.W, Aishah dan seluruh umat Islam dengan ‘menahan’ wahyu. Hinggalah akhirnya Allah membebaskan Aishah dan membersihkan maruahnya dengan terwahyunya ayat-ayat di dalam surah al-Noor (24 : 1-26).

Ia suatu peristiwa yang dicatatkan sejarah, betapa Muhammad tiada upaya untuk mendatangkan al-Quran, biar pun pada saat yang paling kritikal, melainkan pada apa yang diterima oleh baginda dari Sumber al-Quran, iaitulah Tuhan, Allah Subhanahu wa Ta’aala sendiri.

Namun sudah tentu kisah ini tidak relevan bagi yang menolak literature Muslim, khususnya Hadith Nabi Muhammad S.A.W.

MATEMATIK YANG UNIVERSAL

Mencari kebenaran al-Quran, bahawa the absolute truth itu ada padanya, mungkin memerlukan kepada pendekatan yang lebih universal. Bahasa sejagat yang boleh diguna pakai oleh sesiapa sahaja, berbekalkan akal pembeda manusia dari binatang. Gunakan matematik dan teori kebarangkalian yang kita semua tahu.

Kita semua sedia maklum bahawa di antara keistimewaan al-Quran ialah pada kewujudan fakta-fakta Sains yang mengagumkan. Begitu banyak penemuan Sains yang hanya ditemui pada era moden ini, telah tercatat dengan jelas di dalam al-Quran, teks yang telah wujud sejak lebih 1000 tahun yang lalu, era yang masih jauh dari upaya manusia menganalisa alam dengan disiplin sains.

Dari manakah datangnya fakta-fakta yang betul itu?

“Aghhh… mungkin hanya lucky guess!”, jawab segelintir yang tidak atau belum mengimani al-Quran. Baiklah, kita terima alasannya bahawa fakta Sains di dalam al-Quran hanyalucky guess, oleh ‘penulis’nya bernama Muhammad. Dengan menggunakan teori kebarangkalian, mampukah Muhammad membuat ‘lucky guess‘ di dalam al-Quran?

Blog ustaz boleh didapati di sini

1 comment:

  1. artikel ini baik....namun hampir sahaja tidak beradab dgn baginda nabi MUHAMMAD s.a.w..........dgn hanya menyebut nama baginda..dan corak penyusunan ayat yang kurang tertib untuk kemuliaan nabi kita...

    ReplyDelete