Tuesday, December 15, 2009

Paulus Dan Kesan Ajarannya: Siapakah Paulus?


Sejurus selepas pemergian Nabi Isa a.s., seorang lelaki berbangsa Yahudi bernama Saulus, seorang yang anti kepada ajaran Nabi Isa a.s. yang asli, telah berusaha untuk memesongkan ajaran Isa a.s. dengan membunuh berpuluh-puluh orang penganut ajaran Nabi Isa a.s. Malah Saulus juga bertanggungjawab di dalam pembunuhan Stefanus, salah seorang daripada pengikut Isa a.s.



Umumnya telah mengetahui bahawa Paulus sebelum dikenali sebagai pendeta terulung agama Kristian adalah seorang Rabbi (pendeta) Yahudi yang bernama Saul Ben Kissai (Saulus) daripada suku Benyamin. Beliau pernah mendapat pendidikan agama Yahudi di Yerusalem. Di antara para gurunya adalah Gamaliel, seorang pendeta besar Yahudi yang meninggal dunia pada tahun pertengahan kurun yang pertama. Beliau juga pernah menuntut di beberapa buah tempat yang kuat pengaruhnya daripada falsafah Yunani dan Rom. Setelah tamat pengajiannya, beliau telah kembali ke kampung halamannya di Tarsus untuk membantu ayahnya sebagai seorang saudagar dan dalam masa yang sama, Paulus telah berusaha mengembangkan agama Yahudi aliran Farisiyyin kepada anak-anak bangsanya. Agama Yahudi aliran Farisiyyin ini merupakan satu aliran yang paling kuat menentang dakwah yang dibawa oleh baginda Nabi Isa a.s ketika itu.



Rujuk: KISAH PARA RASUL (22): 3



Saulus berharap ajaran tersebut akan menjadi semakin lemah lantaran kurangnya sambutan yang diterima oleh masyarakat. Namun yang berlaku adalah sebaliknya. Ajaran Nabi Isa a.s. yang disebarkan oleh para pengikut baginda yang dipimpin oleh Petrus, salah seorang pengikut Isa a.s. yang paling setia, semakin hari semakin berkembang.



Melihatkan keadaan itu, Saulus menjadi seperti berputus asa, namun niatnya untuk menyelewengkan ajaran Nabi Isa a.s. yang dibawa oleh pengikut-pengikut setia baginda a.s. masih lagi terbuku di hati. Mungkin apa yang timbul di fikiran Saulus ketika itu adalah dengan menghancurkan ajaran Nabi Isa a.s. dari dalam. Maka untuk menyakinkan para pengikut Isa a.s. supaya menerimanya, Saulus harus menunjukkan bukti bahawa dia telah menerima suatu mesej terus dari Nabi Isa a.s. dan dilantik sebagai pengikutnya yang sah. Dengan cara inilah maka bolehlah beliau melakukan kegiatan-kegiatan subversif untuk menghancurkan ajaran Isa a.s. daripada dalam.

No comments:

Post a Comment