Tuesday, December 15, 2009

Paulus Dan Kesan Ajarannya: Kata Pengantar


Segala puj-pujian hanyai bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w., ahli keluarga baginda, para sahabat baginda dan semua generasi umat Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengikuti mereka.



Buku ini ditulis dengan penuh kesedaran mengenai gerakan misionaris Kristian yang semakin aktif dengan dakyah-dakyah mereka mutakhir ini yang mengakibatkan gejala murtad di kalangan orang Islam di Malaysia. Terbaru adalah kes Lina Joy, seorang Islam yang telah berjaya didakyahkan agama Kristian kepadanya dan natijahnya menuntut di mahkamah sivil agar penukaran agamanya daripada Islam kepada Kristian menjadi rasmi. Apa yang menyedihkan ialah kebanyakan yang terlibat ialah anak-anak yang kurang berpedidikan agama. Walaupun tidak dinafikan sesetengah daripada mereka telah dibekalkan secangkiran ilmu agama tetapi ia terlalu nipis untuk menjadi benteng serangan murtad.



Kita berlindung kepada Allah s.w.t. dari segala keraguan iman dan daripada segala tipu daya orang-orang kafir terutamanya dari kalangan Ahli Kitab yang selalu berusaha melemahkan keyakinan kita. Sesungguhnya Allah s.w.t. telah menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi yang ingin mencari kebenaran. Namun kebenaran tidak akan diperolehi apabila proses pencarian didasari perasaan benci yang mendalam terhadap Islam. Manusia perlu sekali memerdekakan kisaran roda pemikirannya dari sebarang unsur jahilliyyah, mengubah corak, warna dan budaya hidup yang menjijikkan, menilai semula aksi-aksi perbuatan dan amalan-amalan khurafat yang mencemarkan, meminda semula budaya hidup dan etika-etika yang tidak diperlukan, justeru di sana akan terbinalah semula struktur baru kehidupan yang lebih komprehensif dan lebih universal dengan keagungan nilai-nilai sejagat dan keagungan iman yang kuat setelah perkara-perkara tersebut dapat dikuburkan.



Ternyata, jika kita mengkaji asas-asas ajaran agama Kristian pada hari ini, ia bukannya datang daripada ajaran Nabi Isa al-Masih a.s. tetapi melalui melalui ajaran seorang Yahudi daripada bandar Tarsus (kini terletak di negara Turki) yang bernama Saulus, yang kemudian menukar namanya menjadiPaulus. Tidak ramai yang mengetahui bahawa Paulus sebenarnya adalah seorang pemabuk (2 Kor 12:1-5) dan pembunuh (rujuk kepada Kisah Para Rasul 9:1-3). Paulus telah berjaya menyakinkan para pengikut Nabi Isa a.s. bahawa dia telah menerima “wahyu” untuk meneruskan ajaran Isa a.s. dan telah menyertai mereka untuk menyebarkan ajaran-ajaran Nabi Isa a.s. Namun begitu, ternyata Paulus mempunyai niat jahat yang terpendam, iaitu untuk menghancurkan agama Nabi Isa a.s. dari dalam dengan memperkenalkan doktrin-doktrin palsu yang langsung tidak mempunyai asas di dalam ajaran asli Nabi Isa a.s. Tujuannya semata-mata untuk menarik golongan bukan Yahudi menyertainya. Keadaan ini akhirnya telah menyebabkan Paulus terbabit di dalam pertelingkahan dengan para sahabat Nabi Isa. a.s. yang kemudiannya menyebabkan beliau meninggalkan golongan hawariyyun untuk menyebarkan ajarannya secara bersendirian bersama-sama pengikutnya.



Penulis telah berkecimpung di dalam bidang perbandingan agama (comparative religion) sejak 9 tahun yang lalu dan terlibat secara aktif dalam menyelenggara laman web bismikaallahuma.org yang memberi fokus kepada agama Kristian dan polemik-polemik para pendakyah Kristian terhadap ajaran Islam yang suci. Buku ini adalah usaha berterusan penulis untuk menyebarkan ajaran Islam dan menegakkan prinsip beliau yang termaktub di dalam peribahasa Arab, al-kufru millatun wahidah (kekufuran adalah sama, tidak mengira apa jua bentuknya).



Maka diharapkan buku ini dapat memberikan panduan yang jelas mengenai sejarah dan asal-usul agama Kristian dan bagaimana ia telah berkembang sehingga ke hari ini, selain daripada menyumbang ke arah penyebaran ilmu di kalangan umat Islam dan menyedarkan mereka mengenai asal-usul ajaran Kristian dan pengasasnya yang sebenar, iaitu Paulus dan bukannya Isa al-Masih a.s.

1 comment:

  1. Sy hanya ikut ajaran Yesus/Isa bukan ajran Paulus.

    ReplyDelete