Solat dan Gelombang Theta

>> Thursday, April 21, 2011

Frekuensi gelombang otak mempunyai 4 tahap utama iaitu:

1. Sedar (Beta: 15-30Hz)
2. Bawah Sedar (Alpha:9-14Hz)
3. Bawah Sedar (Theta: 4-8Hz)
4. Tidak Sedar (Delta: 1-3Hz)

Frekuensi Otak

Sesetengah buku mengatakan frekuensi otak adalah kegiatan otak di dalam pusingan sesaat. Mungkin ia tidak berapa jelas. Sebenarnya frekuensi ini adalah cetusan elektrokimia yang berlaku di dalam otak apabila kita berfikir. Ia melibatkan neuron otak untuk menghantar signal-signal ketika proses berfikir berlaku. Inilah yang dimaksudkan dengan kadar kegiatan otak iaitu kadar cetusan elektrokimia (signal) dalam masa sesaat yang berlaku di dalam otak. Banyak berfikir, lagi banyak cetusan elektrokimia dan makin laju kadar cetusan per saat (frekuensi).

1. Sedar (Beta: 15-30Hz)

Di tahap ini, kita berada di dalam keadaan sedar. Segala analisis, pilihan dan semua aktiviti yang melibatkan kita berfikir berada di bawah frekuensi beta. Dengan kata lain, apabila kita banyak berfikir secara sedar, kita berada di frekuensi ini.

Tahap fikiran di frekuensi ini merupakan realiti fikiran. Kita akan memikirkan sesuatu itu berdasarkan apa yang kita nampak dan rasakan mengikut daya pemikiran kita ketika itu.

Jika kita memberi arahan kepada mereka yang berada di frekuensi ini, arahan tersebut akan dianalisis terlebih dahulu mengikut pendapat orang yang menerimanya. Sebab itu agak sukar untuk memberi arahan seperti apa yang kita inginkan kepada orang yang berada di frekuensi ini.

Sebab itu ketika kita ingin menasihati seseorang, kita perlu elakkan menasihat mereka ketika mereka berada di dalam keadaan beta.

Contoh yang jelas adalah ketika saudara mula-mula belajar memandu kereta. Saudara pasti berfikir sebelum menekan pedal minyak, pedal break, menukar gear dan sebagainya. Ketika ini pemanduan menjadi agak sukar kerana saudara perlu berfikir sebelum melakukan sesuatu.

2. Bawah Sedar (Alpha: 9-14Hz)

Di tahap ini, kita berada di dalam keadaan bawah sedar atau dengan nama lain sedang dalam keadaan asyik dan fokus. Ini adalah frekuensi terbaik ketika belajar.

Di tahap ini, kita hanya boleh menerima tetapi tidak mampu membuat tindak balas. Semua arahan yang diberikan akan kita ikuti tanpa membuat analisis terlebih dahulu.

Tahap ini mempunyai kebaikan dan keburukan. Kebaikan adalah kerana di saat ini, apa yang masuk ke fikiran tidak lagi ditapis oleh fikiran kita. Jika kita memberi nasihat kepada anak dalam keadaan ini, ia terus akan masuk ke dalam fikiran anak kita dan terus diingati.

Jika kita berada di frekuensi ini, kita berada di dalam keadaan tenang dan tenteram. Fikiran tidak celaru dan berserabut kerana otak kita tidak banyak berfikir ketika ini.

Contoh yang jelas adalah ketika kita sudah pandai memandu kereta. Kita tidak perlu berfikir untuk menukar gear, menekan pedal minyak atau menekan break. Kita dapat lakukan tanpa kita sedari. Segalanya berlaku secara automatik.

Keburukan di frekuensi ini adalah, saudara seolah-olah dipukau ketika ini. Orang yang menjalankan pemasaran dan juga jualan dari rumah ke rumah atau di pasar-pasar raya akan cuba menurunkan frekuensi saudara ke tahap ini.

Kemudian apabila saudara sudah berada di tahap ini, saudara tidak berdaya untuk berbuat apa-apa kerana setiap arahan akan saudara ikuti tanpa banyak cerita. Saudara tidak mampu untuk melakukan apa-apa tindak balas sehinggakan saudara tidak sedar menghulurkan segala wang ringgit saudara kepada penjual yang berjaya memukau saudara.

Pastikan saudara berada di dalam keadaan Beta ketika membeli belah atau berada di tempat awam. Jika tidak, saudara akan dipukau di dalam keadaan terjaga.

Frekuensi ini bagus ketika membaca, membuat penyelidikan dan sebagainya. Frekuensi ini juga bagus untuk menasihati ahli keluarga dan orang di sekitar kita.

3. Bawah Sedar (Theta: 4-8Hz)

Di tahap ini, kita masih terjaga tetapi kita sangat asyik dan dikatakan khusyuk. Khusyuk di dalam solat seharusnya berada di frekuensi ini. Ketika ini kita tidak mampu menganalisis atau menafsir apa-apa pun.

Jika frekuensi Alpha, kita hanya menerima dan boleh menafsir tetapi tidak boleh memberi tindak balas. Frekuensi Theta pula kita hanya menerima tetapi tidak mampu menafsir apatah lagi untuk memberi tindak balas.

Ketika ini, kita tidak sedar apa yang berlaku disekeliling kita akibat terlalu khusyuk dengan satu perkara. Jika kita bersolat, yang ada ketika ini adalah perasaan CINTA pada Allah dan hanya Allah yang hadir ketika ini. Tiada yang lain.

Gelombang Theta menyebabkan seseorang tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling

Sebab itu di zaman Rasullullah, sahabat yang terkena anak panah di betis hanya melakukan solat sunat sahaja disamping sahabat lain mencabut anak panah tersebut. Khusyuknya sehingga tidak berasa apa-apa pun kesakitan.

Jika kita berada di dalam frekuensi ini, kita akan berasa sangat tenang.

4. Tidak Sedar (Delta: 1-3Hz)

Tahap ini merupakan tahap tidak sedar di mana kita berada di dalam keadaan tidur. Namun tidur ini adalah tidur yang dikatakan tidur mati. Kita tidak bermimpi. Tidur yang sangat puas dan cukup. Walaupun mungkin 10 minit tetapi kita akan rasakan cukup segar setelah bangun.

Jika kita tidur tetapi kita bermimpi, kita sebenarnya masih berada di dalam keadaan Beta. Bukan delta. Ini bermakna otak masih berfikir. Sebab itulah datangnya mimpi yang mengarut. Kita menjadi sangat penat apabila bangun jika kita tidur tetapi masih di dalam beta.

Solat di pertiga malam membuatkan tidur lena dan puas walaupun sekejap

Orang yang selalu bersolat di pertiga malam yang menyerahkan 100% jiwa dan raga pada Allah dengan penuh rasa CINTA mampu tidur dalam keadaan delta. Tidur mereka sedikit tetapi puas dan tidak mengantuk di siang harinya. Begitu juga dengan mereka yang sering melakukan tafakur cara Islam.

Penutup

Semua frekuensi ini boleh dicapai dengan cara sengaja atau dengan kata lain mengikut kehendak kita. Ia memerlukan banyak latihan dan kita mampu mencapai di mana saja tahap frekuensi yang kita inginkan.

Sebab itu, apabila kita mampu untuk berada di mana-mana frekuensi, maka dengan mudah kita dapat berada di tahap khusyuk ketika solat.

Khusyuk ketika solat adalah sangat tenang. Sebab itu mereka yang merasainya sentiasa tenang, ceria dan sebagainya.

Berkomunikasilah dengan Allah agar kita dimudahkan untuk berdaya berada di frekuensi yang kita kehendaki. Banyak sangat kebaikannya. Ketika inilah kita mampu untuk menyerahkan 100% jiwa dan raga kita pada Allah SWT.

Sentiasa ingat dan sebut nama Tuhanmu.


7 comments:

Yaya Azura April 24, 2011 at 9:41 AM  

nice here ..banyak info
follow u ^__^
jom singgah ke blog ibu wafiq..

Ummu Hanif April 26, 2011 at 2:35 PM  

mohon izin untuk masukkan artikel yang menarik ini ke blok saya...t.kasih

Arif Aziz May 17, 2011 at 9:19 AM  

nice article.. i follow u.. blog ni mmg membuka minda pembaca.. :)

Hazieq Sanat May 18, 2011 at 9:35 AM  

banyaknya info yg saya dapat...

Anonymous June 17, 2011 at 4:24 AM  

camne cara nak khusyuk dalam solat.. khusyuk sampai tak sedar dgn keadaan sekeliling. agak sukar untuk aku khusyuk dalam solat.

yang jahil..

HIDUP SIHAT February 24, 2021 at 7:19 AM  

best atikel.
2021 baru baca.

Kenneth November 29, 2024 at 5:39 PM  

Lovelyy post

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP