NBA All Time Scoring Leader Memeluk Islam

>> Monday, May 23, 2011


Kareem Abdul Jabbar telah diakui oleh kebanyakan pemain bola keranjang (basket ball) sebagai salah seorang pemain bola keranjang popular sepanjang zaman. Shooting, slam dunk, rebound, block, dan aksi-aksi yang lain begitu memukau penonton. Ketika dalam perlawanan, lawannya mengalami kesukaran untuk menghalang keagresifan pemain yang memiliki ketinggian 2.18 meter ini.


Ketinggian kareem memeningkan lawannya

Dengan sokongan tubuhnya yang tegap dan tinggi, Kareem Abdul Jabbar sering melakukan lompatan dan lonjakan yang membuatkan penonton kagum, sama ada di kalangan para penyokong mahupun pasukan lawan. Dengan aksi dan kejayaannya yang membawa kelabnya meraih kejuaraan, Kareem Abdul Jabbar pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik dalam liga bola keranjang Amerika Syarikat (NBA Most Valuable Player). Gelaran itu diraihnya sebanyak enam kali.

Selama bermain di arena NBA, beliau berjaya mencipta rekod sebagai penjaring terbanyak sepanjang masa dengan 38,387 mata. Oleh sebab itu, beliau digelar ‘Raja Bola Keranjang’.

Kareem yang lahir di New York City pada 16 April 1947 telah memulakan kariernya dengan pasukan bola keranjang kampus, Universiti California, Los Angeles (UCLA). Aksi-aksinya dalam pasukan UCLA, mendapat perhatian yang serius daripada para jurulatih bola keranjang Amerika Syarikat ketika itu.

Pada tahun 1969, beliau menerima tawaran bermain di peringkat liga tertinggi di Amerika Syarikat (NBA) dengan menyertai kelab Milwaukee Bucks. Di kelab barunya itu, beliau turut meninggalkan impak yang besar dengan meraih gelaran juara NBA musim 1970-1971.


Pada 1975, beliau menyertai pasukan berprestij di Los Angeles, iaitu LA Lakers. Di kelab tersebut, karier Kareem semakin berkembang. Beliau berjaya membawa LA Lakers meraih beberapa kejuaraan. Di samping itu, beliau juga berjaya meraih gelaran peribadi, iaitu sebagai pemain terbaik NBA. Di kelab tersebut, beliau bermain dari tahun 1975 hingga 1989.

Memeluk Islam

Berdasarkan aksi-aksinya yang hebat itu, Kareem menjadi salah satu pemain bintang NBA All-Star dan Amerika Syarikat dalam kejohanan sukan terbesar dunia, Olimpik. Beliau juga menjadi pemain kebanggaan negara Uncle Sam tersebut. Tidak hanya itu, beliau juga merupakan pemain kebanggaan umat Islam di seluruh dunia.

Ya, pemain yang memiliki nama lengkap Ferdinand Lewis Alcindor Junior (Jr) ini, adalah salah seorang atlet NBA yang memeluk Islam. Beliau memeluk Islam ketika kariernya sedang memuncak naik.

Selepas meraih gelaran juara NBA bersama kelab Milwaukee Bucks pada tahun 1971, dan pada waktu yang sama meraih gelaran pemain terbaik (Most Valuable Player, MPV) dan ‘Rookie of the Year’ (Pemain Baru Terbaik) dalam Liga NBA, Kareem menyatakan bahawa beliau telah memeluk Islam. Perpindahan kepercayaan daripada Katholik menjadi Muslim ini, dirasakannya sebagai suatu ‘lompatan dan lonjakan’ tertinggi sepanjang hidupnya.

Saint Jude School, New York

Ayahnya, Ferdinand Lewis Alcindor Sr, dan ibunya, Cora Lilian adalah penganut Katholik. Oleh yang demikian, sejak kecil beliau mendapat pendidikan di sekolah Katholik. Beliau dimasukkan ke Saint Jude School. Ketika berada di sekolah menengah atas, beliau membawa pasukan bola keranjang sekolahnya menjuarai New York City Catholic Championship.

Perkenalan Kareem dengan Islam adalah melalui salah seorang kawannnya yang bernama Hamaas Abdul Khaalis. Daripada Hamaas, Kareem banyak belajar mengenai Islam. Beliau juga juga sempat berkenalan dengan peninju lagenda, Muhammad Ali (Cassius Clay) yang sudah menjadi Muslim terlebih dahulu daripada dirinya.

Nama hamba

Setelah banyak belajar mengenai Islam daripada Hamaas, tekadnya untuk memeluk Islam pun semakin membara. Atas ajakan Hamaas, beliau  mengunjungi sebuah pusat kebudayaan Afrika di Harlem. Di sana kaum Muslimin menghuni dan menyewa di tingkat lima bangunan itu.

”Saya pergi ke sana dengan memakai jubah Afrika yang berwarna-warni,” kata Kareem.

Kareem menyatakan hasratnya kepada seorang pemuda yang ditemuinya di pusat kebudayaan Afrika ini untuk menjadi seorang Muslim. Di hadapan beberapa kaum Muslimin itu, beliau mengucapkan dua kalimah syahadah. Ketika pertama kali mengucapkan dua kalimah syahadah itu, mereka memanggilnya dengan nama Abdul Kareem.

Bagaimanapun, Hamaas berkata, ”Anda lebih tepat sebagai Abdul Jabbar.” Sejak itu (1 Mei 1971) atau sehari setelah Milwaukee Bucks merangkul gelaran juara NBA, beliau memutuskan untuk menggantikan namanya daripada Ferdinand Lewis Alcindor Jr menjadi Kareem Abdul Jabbar. Keputusan untuk menggantikan nama tersebut, didorong keinginan untuk menguatkan identitinya sebagai orang Afro-Amerika dan sebagai seorang Muslim.

”Saya tidak akan menggunakan nama Alcindor. Secara literal itu adalah nama hamba. Ada seorang lelaki bernama Alcindor yang membawa keluarga saya dari Afrika Barat ke kepulauan Dominica. Dari sana mereka pergi ke kepulauan Trinidad sebagai hamba, dan mereka mempertahankan nama mereka. Mereka adalah hamba-hamba Alcindor. Jadi, Alcindor adalah nama bagi ‘pembekal’ hamba.” terangnya.

Sebagai satu-satunya anak kepada orang tuanya, keputusan Kareem untuk memeluk Islam menimbulkan kekhuatiran kedua-dua orang tuanya itu. Namun, kekhuatiran tersebut berjaya ditepisnya.

”Mereka tahu saya bersungguh-sungguh. Saya berpindah agama bukan untuk publisiti. Saya menjadi diri saya sendiri, dan melakukan perkara ini dengan cara saya sendiri,” ujar Kareem

Baginya, Islam adalah anugerah dan hidayah Allah yang tertinggi dalam menunjukkan jalan kebenaran bagi umat manusia.

Rajin dan tekun belajar

Di sebalik kesibukannya bermain bola keranjang, Kareem masih sempat meluangkan masa untuk mendalami Islam.

”Saya mula beralih kepada sumber segala ilmu. Saya mempelajari bahasa Arab. Saya mulai membaca al-Quran dalam bahasa Arab. Saya dapat menterjemahkannya dengan bantuan kamus. Untuk menerjemahkan tiga perkataan, saya memerlukan waktu 10 jam,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui amat sukar baginya untuk menunaikan kewajiban solat lima waktu setiap hari. Kesukaran ini berlaku ketika beliau sedang bermain bola keranjang.

”Saya terlalu letih untuk bangun menunaikan solat Subuh. Saya perlu bermain bola keranjang pada waktu Maghrib dan Isyak. Saya akan tertidur sepanjang waktu siang di mana saya seharusnya mengerjakan solat Zuhur. Begitulah, saya tidak pernah dapat menegakkan disiplin itu,” katanya kesal.

Begitu juga apabila bulan Ramadan tiba. Aktivitinya yang cukup padat di gelanggang, kadangkala memaksanya untuk membatalkan puasa.

”Kerana saya tidak dapat berpuasa di bulan Ramadan, saya selalu memberi makanan kepada sebuah keluarga. Saya memberi sedekah. Saya memberi wang kepada rakan sesama Muslim dan mengatakan kepadanya untuk apa wang itu.”

Pada tahun 1973, Kareem mengunjungi Mekah dan menunaikan ibadah haji.

Pada 28 Jun 1989, setelah 20 tahun menjalani karier profesionalnya, Kareem memutuskan untuk bersara daripada arena NBA. Sejak berhenti bermain, dirinya menjadi semakin baik dan dapat menjalankan semua kewajipannya sebagai seorang Muslim.

”Saya rasa saya harus berubah untuk hidup di Amerika. Saya berharap semoga pada Hari Akhir nanti Allah reda atas apa yang telah saya lakukan,” katanya.

Antara pelakon, penulis, dan jurulatih

Setelah bersara dari bermain bola keranjang, Pelbagai tawaran datang kepadanya. Kareem mendapat tawaran untuk beraksi di depan kamera. Dunia lakonan sebenarnya bukan merupakan sesuatu yang baru bagi Kareem Abdul-Jabbar. Ketika masih bermain untuk kelab LA Lakers, beliau pernah berlakon dalam filem Game of Death yang diterbitkan pada tahun 1978. Di dalam filem aksi itu, ia beradu aksi dengan Bruce Lee. Tawaran untuk berlakon bagi kedua kalinya dalam filem muncul pada tahun 1980. Ketika itu beliau memegang peranan juruterbang bernama Roger Murdork dalam filem komedi Airplane!

Kareem di dalam filem Game of Death bersama Bruce Lee

Penampilan Kareem di layar filem terhenti di situ sahaja. Nama beliau sebagai pelakon tercatat dalam beberapa siri televisyen di Amerika Syarikat. Di antaranya adalah siri komedi situasi Full House, Living Single, Amin, Everybody Loves Raymond, Martin, Different Strokes, The Fresh Prince of Bel-Air, Scrubs , dan Emergency!. Beliau juga muncul dalam drama Stepen King’s The Stand dan Slam Dunk Ernest. Dalam siri Full House, beliau berlakon bersama anaknya sendiri, Adam.

Pada tahun 1994, Kareem juga mengembangkan bakatnya di belakang tabir dengan menjadi co-producer eksekutif bagi drama televisyen The Vernon Johns Story. Kemudian pada 2006, beliau tampil dalam acara The Colbert Report. Pada 2008, beliau berlakon sebagai pengurus panggung dalam Nazi Gold.

Di luar dunia lakonan, ayah kepada Habiba, Sultana, Kareem Jr, Amir, dan Adam ini memiliki bakat yang lain, iaitu dalam bidang penulisan. Selain dikenali sebagai pemain bola keranjang dan bintang filem, Kareem juga dikenali sebagai seorang penulis buku. Beliau menghasilkan lebih kurang tujuh buah buku yang kesemuanya best seller.

Buku-buku hasil karyanya, Giant Steps yang ditulisnya bersama Peter Knobler (1987), Kareem (1990), Selected from Giant Steps (1999), Black Profiles in Courage: A Legacy of African-American Achievement yang ditulisnya bersama Alan Steinberg (1996), A Season on the Reservation: My Sojourn with the White Mountain Apaches yang ditulisnya bersama Stephen Singular (2000), Brothers in Arms: The Epic Story of the 761st Tank Battalion dan WWII’s Forgotten Heroes yang ditulisnya bersama Anthony Walton (2005), dan On the Shoulders of Giants: My Journey Through the Harlem Renaissance yang ditulisnya Raymond Obstfeld (2007).

Bagaimanapun, sukan bola keranjang tidak dapat dipisahkan daripada diri Kareem. Salah satu keinginan terbesarnya ketika ini adalah dapat melatih salah satu kelab dalam liga NBA. Setelah memutuskan berhenti bermain, kedudukan tertinggi Kareem hanya sebagai penolong jurulatih bagi beberapa kelab dalam liga NBA. Los Angeles Clippers dan Seattle SuperSonics menggunakan khidmatnya untuk melatih pemain muda, Michael Olowokandi dan Jerome James.

Pada tahun 2005, beliau kembali ke Lakers sebagai penolong jurulatih kepada Phil Jackson. Tugasnya mengasah kemampuan pemain muda Lakers, Andrew Bynum. Beliau dinilai berjaya melaksanakan tugas tersebut dengan semakin meningkatnya persembahan Bynum.

Beliau juga pernah menjadi ketua jurulatih, tetapi hanya bagi pasukan kurang ternama, iaitu Oklahoma Storm. Pasukan tersebut beraksi di United States Basketball League pada 2002, sebuah liga ‘kelas bawahan’, tempat para pemain mengasah kemampuan dan bakat sebelum berhijrah ke dalam liga NBA atau liga-liga lain.


Biodata:

Nama Asal : Ferdinand Lewis Alcindor Jr
Nama Muslim : Kareem Abdul Jabbar
Memeluk Islam: 1971
Lahir : New York City, 16 April 1947
Ibu Bapa : Ferdinand Lewis Alcindor Sr dan Cora Lilian
Kelab Pertama : UCLA

Kelab Profesional :
- Milwaukee Bucks (1969-1975)
- LA Lakers (1975-1989)

Penghargaan:

- Enam kali NBA MPV (1971-1972, 1974, 1976-1977, 1980)
- 19 kali menyertai pasukan NBA All Star (1970-1977 dan 1979-1989).
- Dua kali Finalis NBA MPV (1971, 1985)
- 10 kali All-NBA Team (1971-1973, 1974, 1976-1977, 1980-1981, 1984, 1986).
- Lima kali All-NBA Second Team (1970, 1978-1979, 1983, 1985).
- Lima kali NBA All-Defensive First Team (1974-1975, 1979-1981)
- Enam kali NBA All-Defensive Second Team (1970-1971, 1976-1978, 1984).
- NBA Rookie of The Year (1970)
- NBA All-Rookie Team (1970); dan banyak lagi

Pencapaian:

- Juara NBA (1971) bersama Milwaukee Bucks
- Juara NBA (1980, 1982, 1985, 1987, 1988) bersama LA Lakers

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP