Kajian Teknologi Umat Terdahulu bhg. 3

>> Thursday, September 2, 2010


Seperti mana yang telah dilakukan dalam evolusi manusia, perspektif sejarah evolusionis juga mengkaji sejarah manusia dengan membahagikannya kepada beberapa jangka waktu. Konsep rekaan seperti Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi merupakan bahagian penting kronologi evolusionis. Oleh kerana gambar khayalan ini dipaparkan di sekolah, surat khabar dan televisyen, kebanyakan orang menerima rekaan ini tanpa soal dan membayangkan manusia dulu kala hidup dengan hanya menggunakan peralatan batu purba dan ketiadaan teknologi.

Tetapi gambaran sebenar muncul apabila penemuan arkeologi dan fakta-fakta saintifik dikaji. Kesan dan tinggalan yang ada sehingga kini – peralatan, jarum, serpihan seruling, dekorasi dan hiasan peribadi – menunjukkan dari segi budaya dan sosial bahawa manusia sememangnya telah menjalani kehidupan bertamadun sepanjang sejarah.

Ribuan tahun dahulu, manusia tinggal di rumah, terlibat dengan pertanian, bertukar barangan, menghasilkan tekstil, makan, melawat kenalan, meminati muzik, membuat lukisan, merawat orang sakit, melakukan penyembahan – ringkasnya, mereka menjalani kehidupan normal seperti mana hari ini. Golongan yang memberi perhatian kepada ajaran nabi-nabi utusan Allah telah mengimani-Nya, Tuhan yang Satu, manakala golongan yang lain menyembah berhala. Orang beriman berpaut pada nilai moral seperti yang dikehendaki oleh Allah, sementara pihak lain terlibat dengan pelbagai amalan karut dan upacara menyimpang. Sepanjang sejarah, seperti mana hari ini, terdapat golongan yang percaya dengan kewujudan Allah, dan juga golongan pagan dan ateis.


Sejak dulu lagi, tentunya ada di antara manusia yang hidup serba ringkas dan dalam keadaan primitif, dan ada juga masyarakat yang hidup lebih maju. Tetapi ini sama sekali tidak membuktikan evolusi sejarah, kerana sementara satu bahagian dunia melancarkan kapal ke angkasa, masyarakat di satu bahagian lagi masih tidak dilengkapi dengan kemudahan elektrik. Walau bagaimanapun, ini tidak bermaksud bahawa mereka yang membina kapal angkasa adalah lebih maju secara mental atau fizikal – dan berkembang jauh dan lebih berbudaya – tidak juga bermakna golongan yang satu lagi hampir kepada manusia beruk khayalan. Semua ini sekadar menunjukkan perbezaan dalam budaya dan tamadun.

Jika anda mengkaji sejarah manusia seperti mana yang didakwa oleh evolusionis, anda akan menemui paparan terperinci tentang bagaimana moyang manusia yang kononnya primitif menjalani kehidupan seharian mereka. Sesiapa pun yang tertarik dengan cara berwibawa dan berkeyakinan ini tanpa sebarang ilmu tentang subjek tersebut, juga akan menganggap semua ‘rekaan semula yang serba artistik’ ini adalah berdasarkan bukti saintifik. Para saintis evolusionis hadir dengan penerangan terperinci seolah-olah mereka telah wujud sejak ribuan tahun dahulu dan berpeluang untuk melakukan pemerhatian. Mereka mengatakan bahawa moyang kita – yang kini telah belajar untuk berdiri di atas dua kaki dan tidak tahu menggunakan tangan – mula membuat peralatan dari batu, dan untuk sekian lamanya mereka tidak menggunakan selain daripada peralatan yang diperbuat daripada batu dan kayu. Hanya kemudiannya mereka mula menggunakan besi, tembaga dan loyang. Tetapi dakwaan ini lebih berdasarkan salah tafsiran dalam penemuan yang selari dengan pra-andaian evolusionis, bukan fakta saintifik.


Seorang ahli arkeologi, Paul Bahn dalam bukunya yang bertajuk Archaeology: A Very Short Introduction menjelaskan bahawa evolusi manusia adalah cerita dongeng semata-mata, dan menambah bahawa banyak sains yang berdasarkan cerita dongeng seumpamanya. Beliau bertegas bahawa perkataan ‘dongeng’ digunakan dalam makna positif, tetapi hakikatnya itulah yang sebenarnya. Beliau kemudian mengajak pembacanya untuk memikirkan tentang ciri-ciri tradisional evolusi manusia: memasak dan unggun api, gua yang gelap, upacara, pembuatan alatan, penuaan, perjuangan dan kematian. Beliau ternyata merasa ragu, berapa banyak daripada andaian ini yang berdasarkan kepada telulang dan tinggalan sebenar, dan berapa banyak yang berlandaskan kriteria sastera?

Bahn enggan untuk menjawab secara terbuka persoalan yang diutarakannya: iaitu, evolusi manusia lebih berlandaskan kepada kriteria sastera berbanding saintifik.

Hakikatnya, masih terdapat banyak persoalan yang belum terungkai dan ketidaksejajaran dalam penjelasan tersebut, dan sukar untuk dikesan oleh mereka yang mempunyai dogma evolusionis. Misalannya, mereka merujuk kepada Zaman Batu, tetapi gagal untuk menjelaskan bagaimana perkakas dan tinggalannya dibentuk dan diukir. Walaupun berkeras bahawa dinosaur mula bersayap dan terbang dalam usaha untuk menangkap lalat, tetapi mereka juga tidak mampu menerangkan bagaimana serangga bersayap berkebolehan untuk terbang. Mereka cenderung untuk melupakan semua persoalan, dan ingin orang lain mengikut jejak mereka.


Namun begitu, membentuk dan mengukir batuan bukanlah satu tugas yang mudah. Adalah mustahil untuk membuat peralatan batu yang tajam dan sempurna, seperti yang terdapat di zaman sekarang, dengan menggeserkan batu dengan batu. Membentuk batu kasar seperti granit, basalt dan dolerit tanpa memecahkannya hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kikir besi, mesin pelarik dan ketam. Begitu juga dengan gelang, anting-anting dan rantai leher yang berusia puluhan ribu tahun yang tidak mungkin dapat dihasilkan dengan perkakas batuan. Lubang-lubang halus pada objek berkenaan tidak dapat dibuat dengan menggunakan batu. Hiasan juga tidak dapat dibentuk dengan mengorek atau mengikisnya dengan batu. Kesempurnaan pada objek-objek yang dipersoalkan menunjukkan bahawa logam pejal pasti telah digunakan.

Ramai ahli arkeologi dan saintis telah membuat ujikaji untuk melihatkan sama ada artifak purba boleh dihasilkan seperti yang dibayangkan oleh evolusionis. Profesor Klaus Schmidt, contohnya, telah melakukan eksperimen terhadap ukiran pada blok batuan di Göbekli Tepe, Turki, yang dianggarkan berusia 11,000 tahun. Beliau memberi perkakas batu kepada beberapa pekerja, jenis sama yang telah digunakan pada waktu dulu berdasarkan dakwaan evolusionis, dan menyuruh mereka membuat ukiran sama pada jenis batuan yang sama. Selepas berusaha dua jam tanpa henti, apa yang mereka dapati hanyalah kebuntuan.


Anda juga boleh melakukan ujian yang sama di rumah. Dapatkan sepotong batu keras seperti granit dan cuba jadikannya lembing seperti yang telah digunakan oleh mereka yang hidup 100,000 tahun dahulu. Tetapi anda tidak dibenarkan untuk menggunakan selain daripada sepotong granit tersebut dan juga batu. Sejauh mana anda rasa dapat melakukannya? Mampukah anda menghasilkannya dengan hujung runcing, simetri, kehalusan dan gilapan yang sama seperti yang terdapat dalam lipatan sejarah? Mari kita bergerak lebih jauh; dapatkan sepotong granit berukuran satu meter persegi, kemudian cuba ukirkan gambar seekor haiwan untuk menunjukkan kedalaman ukiran pada permukaan granit. Bagaimanakah keputusan yang mungkin anda akan perolehi dengan mengasah batu pada sepotong batu pejal? Jelas bahawa tanpa adanya perkakas besi dan keluli, anda tidak akan mampu membuat walaupun sebentuk lembing, apatah lagi ukiran batu yang menarik.

Pemotongan dan pengukiran batuan adalah bidang yang memerlukan kemahiran tersendiri. Teknologi yang diperlukan adalah penting untuk membuat kikir besi, mesin pelarik dan perkakas lain. Ini menunjukkan bahawa alatan berkenaan memang telah digunakan pada masa tersebut dan teknologi ‘primitif’ juga berkembang maju. Dengan erti kata lain, dakwaan evolusionis bahawa cuma peralatan batu yang diketahui dan ketiadaan teknologi hanyalah sekadar mitos. Zaman Batu tidak pernah wujud.


Namun, adalah munasabah bahawa peralatan keluli dan besi yang digunakan untuk memotong dan membentuk batuan tidak kekal sehingga ke hari ini. Dalam persekitaran yang secara semulajadi lembap dan berasid, semua alatan logam akan melalui pengoksidaan dan akhirnya lesap. Apa yang tinggal hanyalah pecahan dan serpihan batuan hasil kerja mereka yang mengambil masa lebih lama untuk lenyap. Tetapi untuk mengkaji serpihan berkenaan dan mengatakan bahawa masyarakat dahulu kala cuma menggunakan batu bukanlah rumusan saintifik.

Kini, ramai evolusionis akur bahawa penemuan arkeologi tersebut langsung tidak menyokong Darwinisme. Seorang ahli arkeologi evolusionis, Richard Leakey, mengakui bahawa dakwaan terhadap penemuan-penemuan itu adalah mustahil dari perspektif teori evolusi, terutamanya peralatan batu:


Hakikatnya, bukti kukuh tentang kelemahan hipotesis pengikut Darwin boleh ditemui dalam rekod arkeologi. Jika mereka benar, maka kita berharap untuk melihat kewujudan serentak bukti dalam rekod-rekod arkeologi dan fosil bagi hidupan berkaki dua, teknologi dan pembesaran saiz otak. Tetapi tidak kita. Hanya satu aspek rekod pra-sejarah sudah mencukupi untuk membuktikan bahawa hipotesis itu tidak benar: rekod perkakasan batuan.1
bersambung..

6 comments:

Anonymous February 18, 2012 at 12:15 PM  

saya setuju dngan artikel ni.. yelah, dari segi al-quran dan buktinya. masa anak adam, Qabil, berebut nak kahwin dngan Iqlima instead of Labuda, kanke tuhan mintak persembahan dari dorang. dah dijelaskan Habil adalah penternak manakala Qabil adalah petani. sejak nabi adam lagi mereka dan pndai buat itu ini. wallahualam.

lagi, kanke nabi idris nabi yang mula-mula pandai menjahit dan memakai pakaian yang dijahit. nabi idris gak nabi yang cipta huruf arab kuno. kalo nabi idris, anak nabi adam sndiri dah pandai buat semua tu, xkkan cucu cicit dorang nak bertelanjang bulat pulak. kalu diorang x pandai bercakap, macamana nabi diris bercakap dengan malaikat masa nak melawat syurga dulu? xkan nak mendengus dengan malaikat nak berkomunikasi. kita sedia maklum, malaikat menuturkan bahasa ibrani, yakni bahasa hebrew yang dituturkan yahudi kini. bile mase plak malaikat belajar bahasa mendengus mendesah neh? Wallahualam.

sekadar bekongsi. wassalam.

Anonymous April 18, 2012 at 6:11 PM  

sokong..sokong!!..

Anonymous March 30, 2014 at 2:22 PM  

Mintak maap klu mencelah sdikit yer...bahasa hebrew yahudi tu baru lagi. Nabi2 terdahulu bertutur menggunakan bahasa aramaik lama yg dah pupus. Sekadar membetulkan fakta dan memberi sdikit pencerahan

Anonymous October 15, 2014 at 5:08 PM  

Sy setuju pasal dgn artikel ni...xp sy nk ask skit klu betol la citer ni knp pihak atasan xhpskn je sbmodul sejarah kt sekolah..kn tu smua pembohongan revolusi tersebut...

Unknown October 29, 2016 at 12:19 PM  

Mungkin disebabkan oleh penjajahan barat semasa zaman kolonial telah mempengaruhi sistem pembelajaran di Malaysia. Mereka nak kita percaya dan dokong kefahaman Darwinisme ini. Dan sebagai negara Komanwel, kita masih lagi ada kesan penjajahan mereka. Kita tak merdeka sepenuhnya.

Unknown October 29, 2016 at 12:19 PM  

Mungkin disebabkan oleh penjajahan barat semasa zaman kolonial telah mempengaruhi sistem pembelajaran di Malaysia. Mereka nak kita percaya dan dokong kefahaman Darwinisme ini. Dan sebagai negara Komanwel, kita masih lagi ada kesan penjajahan mereka. Kita tak merdeka sepenuhnya.

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP