Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips: Berdakwah kepada Tentera Amerika

>> Tuesday, December 29, 2009


SELEPAS enam bulan lamanya saya mengkaji dan berbincang secara serius, akhirnya saya membuat keputusan untuk memeluk Islam pada tahun 1972,” kata pendakwah terkemuka, Dr. Abu Ameenah Bilal Phillips.

Namun sebelum memeluk Islam dan sedang mengikuti pengajian di Universiti Simon Frasier di Vancouver, Kanada, Dr. Abu Ameenah yang mahir bermain muzik terutamanya gitar, sering menghabiskan masa mengadakan persembahan di kelab-kelab malam.

Sehinggalah tamat pengajian dan mengambil keputusan menetap di Sabah, Malaysia, Dr. Abu Ameenah meneruskan minatnya terhadap muzik dan dunia seni hiburan.



Di Sabah, beliau mengadakan persembahan-persembahan sehingga mendapat gelaran sebagai Jimmy Hendrix Sabah kerana begitu popular!



“Tetapi apabila memeluk Islam saya berasa tidak selesa dengan dunia hiburan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bersara, sama ada secara profesional dan peribadi.



“Saya tidak lagi bermain muzik walaupun tuhan sahaja yang tahu betapa saya begitu sukakan muzik dan menghiburkan para pendengar,” katanya.



Keputusan yang agak mengejutkan para peminat itu turut disebabkan apabila selepas setahun memeluk Islam, Dr. Abu Ameenah melanjutkan pelajaran mendalami Islam di Universiti Madinah di Arab Saudi. Katanya, beliau mahu mengenali Islam dengan lebih mendalam daripada sumber-sumber yang lebih asli dan sahih kerana Islam itu berasal dari Arab Saudi itu sendiri.



“Ini kerana Islam tidak boleh dikenali dari amalan-amalan tradisi kerana kadang kala tidak bersumber atau berasaskan ajaran Islam itu sendiri,” katanya.



Ketika menyiapkan pengajian di peringkat sarjana di Universiti Riyadh, beliau sempat menerbitkan program televisyen untuk Saluran Dua Televisyen Saudi iaitu rancangan yang dikenali sebagaiWhy Islam? Ia memfokuskan wawancara bersama mereka yang memeluk Islam dari asal usul dan latar belakang yang berbeza dan sebab musabab mengapa mereka memeluk Islam. Walaupun beliau beroleh pelbagai ilmu pengetahuan mengenai Islam sehingga ke peringkat sarjana namun perkembangan itu masih tidak membolehkan beliau menjawab pelbagai persoalan mengenai Islam. Terutama yang bertalu-talu ditanya oleh kalangan rakan dan ahli keluarganya sendiri.



Ini membuatkan beliau melakukan satu penyelidikan. Akhirnya segala kemusykilan bagaikan terjawab apabila beliau berjaya menulis sebuah buku bertajuk Poligami Dalam Islam. Dr. Abu Ameenah mengupas persoalan mengenai poligami itu daripada aspek sejarah dan biologi dan rasional di sebalik sistem itu.



Beliau benar-benar seorang penulis yang prolifik mengenai dunia Islam walaupun baru setahun jagung memeluk Islam. Ini apabila buku kedua beliau iaitu Fundamentals of Islam Monotheism diterbitkan bagi menjelaskan keunikan Islam dari aspek kepercayaan kepada Tuhan Yang Satu.



Selesai mendapatkan ijazah sarjana, beliau ditawarkan bertugas di Bahagian Agama di Ibu Pejabat Tentera Udara Arab Saudi semasa meletusnya perang Teluk (Desert Storm) pada tahun 1990. Di sini, Dr. Abu Ameenah bertanggungjawab memberi penerangan mengenai Islam kepada anggota-anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di Bahrain dan Wilayah Timur Laut Arab Saudi.



“Oleh kerana imej Islam menjadi begitu buruk di Amerika, saya bersama lima lagi rakan selama hampir enam bulan selepas tamatnya Perang Teluk itu, terlibat dalam projek menjelaskan dan memberikan gambaran sebenar mengenai Islam kepada hampir separuh anggota tentera AS yang berpengkalan di situ,” katanya.



Hasilnya, tanpa disangka seramai 3,000 anggota tentera AS itu memeluk Islam kerana tertarik dengan kebenaran dan keindahan Islam. Namun beliau menyedari bahawa tugas yang lebih berat adalah memastikan bahawa askar-askar itu tetap berpegang teguh kepada Islam dan mematuhi dan ajaran-ajaran agama itu. Lalu apabila askar-askar itu kembali semula ke tanah air, Dr. Abu Ameenah mengikut mereka pulang ke AS bagi membantu saudara-saudara baru itu.



Di Amerika, beliau dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Muslim Members of the Military (MMM) sering mengadakan persidangan dan pelbagai aktiviti. Ini termasuk berusaha mendapatkan kemudahan mendirikan ibadat dan solat bagi kemudahan askar-askar beragama Islam di seluruh dunia di mana pangkalan-pangkalan tentera Amerika ada ditempatkan.



Kerajaan AS akhirnya bersetuju dengan permintaan itu dan meminta supaya dilantik seorang dari kalangan anggota tentera beragama Islam itu bertugas sebagi Muslim Chaplains di setiap pangkalan tentera AS. (Nota: Chaplains lazimnya merujuk jawatan paderi Kristian yang bertugas di pangkalan tentera AS)



“Apa yang membuatkan saya lebih terharu, apabila ada di kalangan anggota tentera AS yang baru memeluk Islam ini menawarkan diri berjihad bagi membantu umat Islam yang tertindas dek kekejaman rejim dan puak Serbia di Bosnia Herzegovina,” katanya.



Dr. Abu Ameenah terus melebarkan usaha walaupun dikira baru dalam Islam dengan terus komited terhadap agama itu dengan mengembara ke Selatan Filipina iaitu Pulau Mindanao. Tujuannya mengajak umat Islam di situ supaya mencintai kedamaian berbanding bertindak terlalu agresif sehingga mencemarkan imej Islam itu sendiri. Beliau juga berjaya menaikkan taraf pengajian Islam di Universiti Cotabato City bagi menawarkan peluang pengajian sehingga ke peringkat Sarjana di universiti itu.



Pada tahun 1994, beliau kemudiannya berhijrah ke Emiriah Arab Bersatu bagi menerima jemputan Sheikh Salim Al Qasimi. Beliau diminta menjayakan satu pertubuhan kebajikan beribu pejabat di Dubai yang dikenali sebagai Dar Al Ber. Di pertubuhan itu, Dr. Abu Ameenah berjaya mendirikan sebuah Pusat Maklumat Islam dengan dibantu oleh para sahabat yang baru memeluk Islam tetapi sudah begitu komited terhadap segala perjuangan agama itu. Ini termasuklah Uthman Barry (saudara baru berbangsa Ireland), Ahmed Abalos (saudara baru dari Filipina) dan Abdul Latif, saudara baru dari Kerala, India.



Dalam tempoh lima tahun sejak penubuhan pusat itu, seramai 1,500 individu dari AS, Australia, United Kingdom, Russia, China, Jerman, Filipina, Sri Lanka, India dan Pakistan memeluk Islam di situ.



Sejak tiga tahun lalu, beliau berjaya menubuhkan jabatan yang dikenali sebagai Jabatan Kesusasteraan Asing di Dar Al Fatah, Kementerian Luar Dubai. Ia bagi menjelaskan mengenai Islam kepada yang bukan Islam melalui bahasa-bahasa asing selain bahasa Arab dan Inggeris. Namun hari yang paling menggembirakan beliau apabila kedua-dua orang tuanya yang dalam usia 70-an, yang sebelum ini menghabiskan kebanyakan usia mereka di utara Nigeria, Yemen dan Malaysia akhirnya memeluk Islam empat tahun lalu.



Walau mengecap dunia glamor semasa bergelar Jimmy Hendrix Sabah namun semua itu hanya tinggal kenangan. Berdakwah di jalan Allah dan hidup dalam kesederhanaan lebih menjanjikan kenikmatan dan ketenteraman dalam jiwa yang hakiki.




0 comments:

Related Posts with Thumbnails

  © Blogger templates Shiny by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP